Sabtu, 13 September 2014

CUCU


Jiran saya tersenyum sampai ke telinga apabila isteri anak tunggalnya akhirnya dianugerahkan seorang bayi perempuan setelah menunggu beberapa tahun . Setiap petang beliau dilihat mendukung cucu kesayangannya di sekitar kawasan perumahan kami. 

Sungguhpun ada yang mengatakan bahawa sayang kepada cucu melebihi sayang kepada anak sendiri, umumnya dan tidak keterlaluan dikatakan bahawa kedudukkan cucu dalam apa keadaan sekalipun adalah dalam kalangan ahli keluarga yang paling disayangi. Kasih dan sayang tersebut lebih terserlah apabila datuk dan nenek duduk serumah dengan keluarga anak sendiri di rumah pusaka di kampung-kampung tradisional. 

 Dalam masyarakat konservatif Melayu terdahulu, ' kekuasaan ' seorang datuk atau nenek kepada cucu-cucu mereka adalah setara dengan kekuasaan ibu dan bapa kepada anak-anak tersebut. Ini membawa maksud bahawa datuk dan nenek bebas melakukan apa sahaja kepada cucu-cucu mereka - memberi kasih sayang, menyuruh dan menghukum dengan cara sekehendak hati.

Mungkin melalui kuasa mandatori dan asuhan seorang datuk dan nenek sedemikian rupa telah menyebabkan tertanamnya perasaan kasih dan sayang yang sangat mendalam di pihak cucu kepada datuk dan nenek mereka. Bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila cucu-cucu kepada datuk dan nenek generasi terdahulu masih mengingati dan mendoakan arwah datuk dan nenek mereka hingga ke hari ini.

Masih adakah lagi ' kekuasaan ' itu kepada golongan datuk dan nenek hari ini? Soalan ini ditimbulkan kerana adanya dakwaan bahawa lesen ' kekuasaan' seorang datuk atau nenek kepada cucu-cucu mereka telah 'dilucutkan'. 

Salah satu di antara sebabnya (terlucutnya ' kekuasaan ') ialah kerana kuasa anak atau menantu yang lebih dominan sehingga mereka takut-takut untuk menumpahkan kasih sayang sekehendak hati atau menegur kesalahan cucu sebebas-bebasnya.

Tidak dapat dinafikan bahawa berlakunya ' kerenggangan ' perhubungan datuk/nenek - cucu hari ini sehingga datuk/nenek moden hilang ' kekuasaan ' dan perhubungan dengan cucu juga tidak ada ' chemistry ' sepertimana generasi terdahulu sememangnya tidak dapat dielakkan. Persekitaran kehidupan, status dan anjakan sosio masyarakat hari ini sangat jauh berbeza dengan generasi terdahulu. 
  
Namun demikian, sehebat mana pun anjakan cara hidup, struktur hubungan kekeluargaan termasuk mengingati dan mendoakan ahli keluarga yang telah meninggal dunia tidak akan diabaikan oleh keturunan yang masih hidup selagi ahli sesebuah keluarga itu mendapat didikan agama yang baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."