Jumaat, 31 Oktober 2014

harga terima kasih dan minta maaf

" Saya ialah Ustaz yang tidak pernah mengucapkan terima kasih dan meminta maaf kepada anak-anak murid/jumaah tempat saya mengajar ".


Nada kata-katanya, seorang Ustaz bergelar Dato', berbaur sangat angkuh dan sombong.

Namun, beliau ada alasan yang diyakininya berasas kerana telah bergelumang berpuluh-puluh tahun dalam dunia dakwah - sebagai pegawai agama bergaji atau penceramah bebas.
 
" Perlukah saya meminta maaf kerana menyampaikan isi kitab ini? " Beliau mengangkat kitab yang menjadi bahan rujukannya.
 
Perlukah saya mengucapkan terima kasih kerana pengurusan masjid bermurah hati menjemput saya mengajar agama? Sayalah yang sepatutnya diucapkan terima kasih kerana menumpahkan ilmu dengan ikhlas kepada tuan-tuan."
 
"Kita patut bersyukur menjadi rakyat negara ini. Mana ada negara di dunia ini yang mengambut Maal Hijrah?"

Beliau juga menyentuh perkara-perkara lain dan mempamirkan keyakinannya (politik) yang mungkin tidak sealiran dengan sebilangan jumaah yang hadir pada kuliah maghrib malam itu.
 
Struktur tubuh Ustaz berusia 73 tahun bergelar Dato' itu kelihatan telah dimamah usia.  Namun, lanjut usia tidak mampu menggugat iltizam beliau memanjangkan ilmu dengan yakin, berani, lantang, tegas dan berotoriti.

Penganut politik kepartian samada yang tegar atau biasa-biasa sahaja dengan mudah boleh menghidu arah kiblat politik Ustaz ini. Di sesetengah masjid/surau penganut politik kepartian tegar yang tidak sealiran dengan Ustaz tua itu mungkin memendam rasa tidak puas hati atau menampakkan tentangan secara fizikal. Bagaimanapun, gejala ini tidak dinampakkan di masjid kariah saya.

Inilah 'cantiknya' masjid kariah saya. Inilah cantiknya anak kariah masjid saya. ' Gentleman ' . Mereka boleh berbagai ideologi kepartian. Sekalipun demikian, mereka sangat harmoni di bawah bumbung masjid yang sama.

Prinsip ' tidak mahu meminta maaf dan tidak mahu berterima kasih' yang dijunjung oleh Ustaz bergelar Dato' itu sekali imbas menelanjangkan sikap sombong dan angkuh. Bagaimanapun, apabila dikaji alasan-alasan yang dihujahnya, agak munasabah juga.  Atau, ' bolehlah ' diterima.

Sunggguh pun demikian, kerangka prinsip yang diamalkan oleh Ustaz bergelar Dato' ini tidak terkejar oleh budaya masyarakat kita. Uniknya, sikap ' sombong' dan 'angkuh' beliau boleh diterima dengan seadanya oleh anak-anak murid/jumaah yang berbeza latar belakang kehidupan dan fahaman politik.


2 ulasan:

  1. orang kg kito akan cakap orang macam ni jobo!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tuan Tanpa Nama,

      Jobo , banyak pokaro oghang boleh jobo... anak/cucu dapek keputusan cemerlang dalam SPM boleh jobo, sodaro jauh pangkat bosa pun boleh jobo....tu sodaro den..

      Oghang kampong jenguk blog kito pun boleh jadi jobo.... he.. he

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."