Isnin, 27 Oktober 2014

saya menjejakkan kaki di Masjid Negara lagi

Saya berada lebih kurang satu jam di Masjid Negara dan kawasan sekitarnya kerana ada urusan peribadi pada pagi Sabtu lebih kurang dua minggu lepas. Saya tidak ingat bilakah kali terakhir saya mengunjungi Masjid Negara yang dirasmikan pada 27 Ogos 1965 itu. Masjid Negara pernah dinobatkan sebagai masjid tercantik di Asia Tenggara  sebelum takhtanya diambil alih oleh Masjid Negeri Selangor, Shah Alam. 

Bagaimanapun, tempohnya (tidak datang ke Masjid Negara) pasti sangat lama. Lama sebelum Padang Lumba Kuda di persimpangan Jalan Yap Kwan Seng - Kuala Lumpur - Ampang dirobohkan untuk pembinaan Menara Kembar Petronas/KLCC. Mungkin juga pada era Kompleks Ampang Park dan Kompleks Belibelah Campbell belum ada pesaing setara. Mungkin juga tahun-tahun di sekitar Kompleks Belibelah Campbell terbakar.

Kerana tempohnya telah begitu lama, saya juga keliru samada kali terakhir saya ke Masjid Negara adalalah pada  hujung era Restoran Bilal di Malacca Street menjadi bualan kerana keenakan nasi berianinya yang bagaikan tiada tandingan.

Begitu juga era sop ayam mamak di Jalan Chow Kit ( Chow Kit - Datuk Keramat) masih menjadi venue ' wajib singgah ' di kalangan warga kota khususnya orang dari Datuk Keramat.

Di dalam Pasar Datuk Keramat ada sebuah kedai makan nasi ayam. Kedai makan nasi ayam itu tidak ada nama. Bagaimanapun, penduduk sekitar menamakannya Nasi Ayam Datuk Keramat. Kedai Makan Nasi Ayam Datuk Keramat tidak salah jika saya isytiharkan sendiri sebagai Kedai Nasi Ayam bertaraf 'legend'. Ketika zaman kegemilangannya di sekitar hujung tahun 70-an hingga 80-an, itulah kedai makan nasi ayam Nombor 1 (Satu) di sekitar Keramat/Ampang/Ulu Klang/Kuala Lumpur. Kedai makan nasi ayam ' The Legend' itu masih beroperasi hingga sekarang walaupun pada penilaian saya ' hebatnya' tidak lagi seperti zaman gemilangnya. Saya pasti, kali terakhir saya ke Masjid Negara adalah pada era Nasi Ayam Datuk Keramat berada dipuncak hebatnya. 

Yang pasti, lama sebelum LRT dan Monorel diperkenalkan kepada warga kota. Juga, lama sebelum PATI atau Pendatang Dengan Izin (PDI?) ' dari seluruh pelusuk muka bumi datang dan ada di antaranya mengacau-ganggu' mental dan fizikal penduduk tempatan. 

Masjid Negara meninggalkan nostalgia yang sangat mengesankan kepada warga kota. Pada zamannya, jumaah sejauh Ampang, Ulu Klang, Datuk Keramat dan lain-lain lagi seperti Klang bersusah payah datang ke Masjid Negara untuk menunaikan solat fardhu Jumaat. 

Masjid Negara, Kuala Lumpur - Rekabentuknya adalah kolobrasi 3 orang arkitek
(Dato' Baharuddin Kassim, Howard Ashley dan Hisham Albakri) 

Kedudukkan Masjid Negara yang dibina dengan kos RM10 juta dari sisi hadapan. Bangunan
Masjid Negara yang telah dibina sejak hampir 50 tahun yang boleh menampung 15,000
jumaah masih kekal dengan yang asal (stutus quo).

Masjid Negara masih menjadi tarikan ' wajib lawat' di kalangan pelawat termasuk
bukan Islam dari dalam dan luar negara. Pelawat wanita bukan Islam disyaratkan
memakai jubah yang disediakan

Majlis ilmu khas untuk kaum wanita pada hujung minggu/hari cuti

Pasangan pelawat dari negara Eropah yang begitu minat mendengar
penerangan mengenai Islam oleh seorang sukarelawan

Di antara struktur reka bentuk dalaman yang dihasilkan oleh 3 orang arkitek

Carilah sahabat untuk ke syurga. Dua orang sahabat yang sangat berbeza usia
 beriktiqaf dan membacaAl-Quran secara bertalaqi (betul-membetul).

Pelawat bukan Islam diberi penerangan mengenai hebatnya Islam oleh seorang
sukarelawan (berbaju putih) berusia awal 60-an

Di dalam Kompleks Masjid Negara ditempatkan sebuah pejabat Islamic Outreach ABIM.
Mungkin ramai tidak menyedari bahawa di dalam 'keteperasanan' kita telah
menjadi orang baik dan 'alim' kerana rajin berulang-alik ke surau/masjid dan menderma
seringgit-dua, ada segolongan orang menginfakkan diri masing-masing yang
melibatkan wang ringgit (harta), masa dan malahan nyawa untuk agama.   

Poster menarik yang sempat saya abadikan dalam blog ini


INI YANG DEN TAK BORAPO GOMA (Ini yang saya tidak berapa suka)
Sungguh pun salah satu tandas yang kemasannya (jubin) antik dan hampir
tidak terdapat lagi di kebanyakkan masjid di sekitar Ibu Kota/Selangor
dalam keadaan BERSIH,
didapati " dinding aluminium tandas itu kelihatan telah berkarat dan reput."
Dirasakan pihak pengurusan Masjid Negara tidak ada masalah mengatsi 
keadaan yang boleh memalukan kita ini khususnya dari pandangan
pelawat bukan Islam dari dalam dan luar negara. Ini MASJID NEGARA. Islam itu indah.

Saya meninggalkan Masjid Negara pada jam 10.30 pagi ke tempat letak kereta di Medan Selera Tanglin. Di Medan Selera Tanglin tentunya saya tidak melepaskan peluang menikmati Nasi Lemak Tanglin yang terkenal itu.

Saya tidak pasti bilakah agaknya saya akan menjejakkan kaki lagi di masjid yang membenam banyak kenangan masa lalu itu?.

2 ulasan:

  1. Saudara Ujang Kutik,

    Begitu juga saya mempunyai banyak kenangan nostalgia berkaitan Masjid Negara. Kenangan yang paling diingati bersolat berjamaah bersama Presiden Zia Ul Haq pada tahun 1982.

    Sepanjang pengetahuan saya, mimbar yang ada hari ini bukanlah mimbar asal. Mimbar asal adalah seperti sebuah 'platform' yang dibina tinggi dan jauh sedikit ke arah tengah dewan solat. Ini kerana saya masih ingat suatu ketika arwah ayah saya pernah membawa saya hadiri satu syarahan oleh agamawan dan tokoh politik Indonesia Mohammad Natsir pada tahun pertengahan 70an.

    Juga satu perkara lagi, saya rasa tidak sempurna apabila menulis mengenai Masjid Negara kalau tidak ada perihal Makam Pahlawan. Sekadar pandangan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Pak Mail,

      Naifnya saya terlupa perkara (makam) itu.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."