Khamis, 15 Januari 2015

' BAH MERAH '


Kita adalah warga yang tidak banyak karenah. 

Ketika diarahkan turun mengundi semasa pilihanraya, kita patuh - pangkah pihak yang diyakini seperti yang dibenarkan oleh undang-undang.

Kita juga bukan warga yang taksub kepada pihak tertentu sehingga deria berfikir tidak berfungsi. 


Kita membaca semua jenis akhbar kerana kita buta warna politik ketika membaca. Kita berkawan dengan semua orang walaupun ada ketikanya kita menyaring tajuk perbualan supaya tidak menyinggung perasaan  pihak lain atau untuk menjaga keselamatan diri sendiri dari gejala fitnah.  

Saya adalah salah seorang daripada ' KITA ' itu.  

Di antara tajuk yang menarik perhatian saya untuk dibaca sekarang ialah saranan mewujudkan ikatan perpaduan dikalangan dua parti siasah gergasi Melayu di Kelantan selepas negeri itu ' cedera teruk ' dilanda ' Bah Merah ' baru-baru ini.  

Maka banyaklah artikal yang saya baca melalui berbagai jenis akhbar. Sayangnya, kebanyakkan kandungan artikal yang dibaca itu adalah umpama ' sampah-sampah ' yang dihasilkan oleh penulis upahan atau ' abdi ' kepada fahaman kepartian yang jumud samada dengan kerelaan diri sendiri atau arahan oleh tuan-tuan mereka (akhbar) .

Jumud kerana inginkan perpaduan bangsa tetapi masih mengangkat satu pihak dan melekehkan pihak lain yang selama ini sememangnya' diperangi '. Kalau jujur inginkan perpaduan bangsa, hentikanlah ' peperangan' itu!

Namun, di celah-celah timbunan ' sampah ' itu saya menjumpai sebuah artikal melalui kolum ' Gelombang Global ' bertajuk BEZA POLITIK BANJIR KELANTAN DAN TSUNAMI ' dalam akhbar Utusan Malaysia pada 15/1/15. Penulisnya ialah Azmi Hassan. Saya tidak mengetahui arah dan kiblat tulisan beliau sebelum ini. Bagaimanapun, artikal beliau kali ini sewajarnya dibaca dengan berlapang dada. Isi tulisan beliau tidak mempersendakan intelek pembaca, begitu harmoni, seimbang dan kelihatan sangat jujur.  
=======================================================================
BEZA POLITIK BANJIR KELANTAN DAN TSUNAMI
UTUSAN MALAYSIA

     
Keadaan kemusnahan rumah penduduk Kampung Manek Urai Lama  dalam
Keadaan kemusnahan rumah penduduk Kampung Manek Urai Lama dalam kejadian banjir di Manek Urai, Kelantan baru-baru ini.



Saranan pelbagai pihak yang mahu melihat parti politik UMNO dan Pas ber­satu dalam proses pem­bangunan semula Kelantan yang dilanda musibah banjir adalah manifestasi rakyat terutama sekali dari bangsa Melayu yang mahu kedua-dua parti ini melupakan perbezaan ideologi politik masing-masing demi masa depan negara.

Lebih menarik harapan tersebut terbit daripada kalangan rakyat biasa dan bukannya dalam kalangan ahli politik kedua-dua parti dan ia tidak tertakluk kepada rakyat Kelantan sahaja. Gesaan terbit dari semua kelompok rakyat kerana manfaat penyatuan adalah begitu nyata sekali bukan sahaja untuk bangsa Melayu tetapi juga bangsa lain.

Musibah banjir dilandaskan sebagai pemangkin penyatuan dua seteru politik kerana memikirkan pembangunan semula Kelantan memerlukan kerjasama rapat di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri. Tetapi penggerak yang paling utama mengapa musibah dijadikan sandaran oleh kebanyakan rakyat adalah sudah seringkali berlaku malapetaka telah menjadi penghubung di antara pihak bermusuh. Sesetengah melabelkan senario ini sebagai diplomasi bencana.

Tidak menghairankan juga mengapa banyak pihak menggunakan contoh malapetaka tsunami yang melanda Aceh pada 2004 yang menjadi pendorong utama mengapa pejuang Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dan kerajaan Indonesia sanggup bertolak ansur demi rakyat.

Sebelum tsunami melanda pada 26 Disember 2004, Aceh berada dalam pemerintahan tentera dan diisytiharkan darurat oleh Jakarta bermula 2002 kerana keadaan konflik yang berada dalam tahap tidak boleh dikawal. Tetapi dua hari selepas tsunami pemimpin GAM pada ketika itu Hasan Tiro mengisytiharkan gencatan senjata secara unilateral demi untuk memastikan bantuan kepada rakyat Aceh tidak terencat kerana situasi konflik.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang baharu sahaja dua bulan dilantik menjadi presiden Indonesia telah membalas tindakan GAM dengan mengutus wakil kerajaan bukan sahaja untuk menentukan bantuan sampai kepada yang memerlukan tetapi mencari ruang dan peluang untuk berdamai.

Lapan bulan selepas tsunami melanda Aceh, kerajaan Indonesia dan GAM memeterai persetujuan awal untuk berdamai di mana pejuang GAM bersetuju untuk menyerahkan senjata sementara Jakarta pula melaksanakan proses pengampunan terhadap pejuang tersebut. Memang benar bencana tsunami adalah pemangkin utama yang menjadi pendorong kepada kedua-dua pihak untuk bertolak ansur walaupun konflik telah berlarutan semenjak dari tahun 1976 lagi.

Sebab itu ramai yang mempersoalkan jika GAM dan Jakarta mampu bertolak ansur demi pembangunan rakyat Aceh, mengapa tidak pula UMNO dan Pas melakukan perkara serupa demi rakyat Kelantan. Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir yang dianggotai oleh kedua-dua pihak dari Kerajaan Persekutuan dan negeri, tidak keterlaluan diibaratkan sebagai permulaan kepada senario perpaduan yang lebih bermakna.

Tetapi rakyat Malaysia perlu memahami senario tsunami Aceh dan banjir Kelantan adalah agak berbeza sebelum melakukan perbandingan. Memang benar musibah malapetaka adalah pemangkin di Aceh, tetapi apa yang berlaku di sebalik tabir sebenarnya memaksa kedua-dua pihak bertolak ansur.

Struktur organisasi GAM menjadi lumpuh kerana ramai pejuang mereka terkorban apabila tsunami melanda dan oleh itu mereka tidak mampu membantu rakyat Aceh pasca tsunami. Kerajaan Indonesia juga mencuri peluang bukan sahaja menghalang GAM dari turut serta dalam misi bantuan tetapi juga memburu dan menahan pejuang yang masih hidup tetapi dalam tahap lemah.

Senario sebegini membuahkan persepsi kepada rakyat Aceh bahawa GAM tidak mampu mentadbir lebih-lebih lagi apabila bencana melanda dan faktor ini yang membuatkan GAM terpaksa bertolak ansur dalam perjuangan mereka menuntut kemerdekaan penuh dari Indonesia.

Tetapi berbeza pula dengan senario Kelantan di mana kerajaan negeri tidak lumpuh dan masih mampu menghulur bantuan kepada rakyat Kelantan. Tetapi yang paling penting adalah Kerajaan Persekutuan tidak mengambil peluang mengambil alih pentadbiran negeri kerana ini boleh dilakukan dengan mudah melalui pengisytiharan darurat banjir.

Tidak timbul keadaan sama ada Kerajaan Persekutuan atau negeri menghalang saluran bantuan kerana sejak dari mula lagi kedua-dua seteru ini bekerjasama demi rakyat Kelantan terutama sekali pasca banjir. Harapannya adalah perdamaian di Aceh boleh dijadikan iktibar walau bagaimana sukarnya untuk bersatu tetapi demi kepentingan rakyat, segala rintangan tersebut mampu direntasi. Perkara pokok adalah setiap pihak perlu bertolak ansur dan mempercayai di antara satu sama lain.

Paling terbaik adalah UMNO dan Pas mencontohi GAM dan Jakarta. Perlu dihindari apa yang telah menimpa Sri Lanka kerana akibat tsunami dua pihak yang bertelagah iaitu kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan kerajaan Sri Lanka meningkatkan permusuhan dan tidak mahu berkompromi pasca tsunami. Akibatnya adalah sedekad selepas tsunami melanda tahap pembangunan dan kestabilan Sri Lanka menjadi lebih buruk sementara Aceh bertambah makmur dan aman.



PENULIS ( AZMI HASSAN) ialah Geostrategis Institut 
Ge­ospatial dan Sekolah Perdana UTM.

sila rujuk www.utusan.com.my/.../beza-politik-banjir-kelantan-dan-tsunami-1.48044



2 ulasan:

  1. Banyak bercerita tentang negara luar tapi tiada hipotisis untuk negeri Kelantan dan kerajaan...

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."