Rabu, 15 April 2015

ADAT PERPATIH SAMAD IDRIS


ADAhttp://waris-gadong.blogspot.com/2012/04/adat-perpatih-di-rembau-dan-naning-ada.htmlT PERPATIH DI REMBAU DAN NANING: ADA APA-APA PERBEZAAN? Allahyarham TS Abd. Samad Idris (kanan), mantan menteri dalam kabinet Persekutuan, juga pengarang buku tentang Adat perpatih yang gigih. Beberapa tokoh pengarang yang saling beliau hubungi ketika hayatnya ialah Allahyarham Dharmawijaya, Dharmala NS dan Norhalim Ibrahim. Menurut terombo di Negeri Sembilan, Datuk Perpatih Pinang Sebatang ini telah diperintahkan oleh Raja Minangkabau di Pagar Ruyung pergi ke tanah seberang (Semenanjung Malaysia) untuk menjaga kepentingan orang Minangkabau yang telah lama bermastautin di sana. Hari ini kawasan itu meliputi Negeri Sembilan, Alor Gajah, Segamat dan Kelang. Bagaimanapun, kedatangan datuk adat ini diceritakan dalam pelbagai versi. Dua yang paling terkenal ialah apa yang disebut Terombo versi Kuala Pilah dan Terombo versi Naning. Akhir-akhir ini penulis buku Negeri Yang Sembilan (1995), Norhalim Haji. Ibrahim telah memperkenalkan Teromba versi Rembau atau lebih tepat versi Batu Hampar. Kesemua versi ini cuba menegakkan keberanan masing-masing. Percanggahan amat nyata walaupun kesamaan masih terasa. Kata seorang Datuk Lembaga di Rembau, “Inilah masalahnya. Saya sekarang tak tahu versi yang mana yang boleh kita terima. Kuala Pilah, Naning atau Rembau. Dan siapa tahu tidak lama lagi akan muncul pula Terombo versi Jelebu, Johor, Tampin dan Sungai Ujong. Semua akan mengaku versinya lebih tepat dan betul.” Anggapan versi mana yang lebih tepat dan betul ini lazimnya dikaitkan dengan ketokohan dan karisme datuk peneroka adat itu sendiri. Secara psikologis kelompok masyarakat yang mendakwa mereka dari keturunan peneroka adat ini akan meletakkan status sosialnya lebih tinggi berbanding kelompok masyarakat lain yang sekadar menjadi pengikut. Sesetengah kalangan di Negeri Sembilan berpendapat oleh kerana “kehebatan tokoh inilah, maka banyak daerah di negeri itu mahu mengaitkan datuk ini dengan pembukaannya.” Terombo versi Kuala Pilah setakat ini lebih tertonjol berbanding versi-versi lain. Menurut Norhalim selagi tidak ada versi yang dapat menyanggah kebenaran Kuala Pilah ini selagi itulah ia dianggap versi terkuat. Lagi pula yang memperkenalkan versi ini adalah tokoh adat yang bukan “calang-calang”, antaranya Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris melalui buku Payung Terkembang (1990) dan pengarang Dharmala N.S.. Terombo versi Naning adalah pencabar terdekatnya. Menurut terombo versi Kuala Pilah yang dicatat Abu Cit Mat Serum, rombongan pertama orang Minangkabau datang ke Negeri Sembilan di bawah pimpinan Datuk Perpatih Pinang Sebatang. Rombongan meninggalkan Pagar Ruyung di Sumatera menuju Siak. Dari Siak rombongan belayar ke Muar. Dari Muar, rombongan mengikuti jalan darat menuju Bukit Kepong dan terus ke Johor (Lama?). Dari Johor rombongan mudik pula ke Pasir Besar dan terus ke Hulu Muar ke satu tempat yang disebut Pelangai. Setelah beberapa ketika rombongan meneruskan perjalanan ke Kampung Tengah, Seri Menanti dan akhirnya Pilah. Rombongan akhirnya menetap di Angga Bisa, Hulu Pilah. Ketua rombongan Datuk Perpatih mula menyusun dan mengatur pantang dan sendi adat yang akhirnya dinamakan Adat Perpatih. Adat ini disebarkan ke seluruh kawasan yang berdekatan yang didiami orang asli, antaranya di Jenang, Jiru dan Johol. Datuk Perpatih kemudian bertolak ke Naning tetapi gagal menemui Datuk Batin ketua penduduk orang asli di sana. Dalam perjalanan pulang Datuk Perpatih singgah di Rembau, Sungai Ujong dan Jelebu. Menurut ceritanya ke mana sahaja datuk ini singgah, pengikut-pengikutnya terus meneroka negeri. Maksudnya mereka menetap di tempat-tempat yang dilalui dan berkahwin dengan penduduk-penduduk asli tempatan. Pada tahun 1372, dan setelah berada selama 20 tahun di Tanah Semenanjung, Datuk itu mengadakan satu perhimpunan besar di Gunung Datuk, juga disebut Gunung Rembau. Dalam perhimpunan itu Datuk Perpatih melantik Datuk-Datuk Undang dan Datuk-Datuk Lembaga untuk semua kawasan yang telah menerima sistem Adat Perpatih. Dikatakan setelelah pelantikan itu Datuk Perpatih pun menghilangkan diri (ghaib?). Penduduk-penduduk di kaki gunung itu mendakwa nama Gunung Datuk itu adalah mengambil sempena nama Datuk Perpatih Pinang Sebatang. Nama Gunung Datuk lebih terkenal berbanding nama rasminya Gunung Rembau. Terombo versi Naning pula membawa sedikit kelainan. Pencatat versi ini, Shahiba, menulis Datuk Perpatih Pinang Sebatang meninggalkan Pagar Ruyung menuju Kampar lalu ke Siak. Dari Siak rombongan belayar ke Bengkalis dan Bukit Batu. Rombongan kemudian menyeberang Selat Melaka ke muara Sungai Linggi. Dari muara ini mereka mudik ke hulu sungai hingga ke Paya Dalam dan meneruskan perjalanan ke Bukit Penyaling lalu membuat kampung. Datuk Perpatih berkahwin dengan anak Datuk batin, ketua orang Jakun di kawasan itu, sementara pengikut-pengikut Datuk itu berkahwin dengan anak-anak buah Datuk Batin. Tidak lama kemudian Datuk Perpatih menamakan tempat itu Naning dan beliau dilantik menjadi Penghulu Naning yang pertama bergelar Datuk Naning. Datuk Naning pertama mewujudkan Suku Semelenggang dan keturunan Datuk Naning dari suku ini menjadi pewaris jawatan Datuk Naning hingga ke hari ini. Datuk Naning pertama (Datuk Perpatih Pinang Sebatang) meninggal dunia dan dimakamkan di pinggir jalan yang menghala ke Lubok Kepong. Terombo versi Naning mendakwa Datuk Perpatih Pinang Sebatang bukanlah orangnya yang “membuka” dan memperkenalkan Adat Perpatih di Segamat, Hulu Muar, Johor, Rembau, Sungai Ujong, Jelebu, Kelang, Hulu Pahang, Jempul dan Serting. Semua daerah ini diteroka oleh kumpulan orang Minangkabau yang datang kemudian. Kumpulan inilah yang memperkenalkan adat ini setelah mendapat restu dari Datuk Perpatih di Naning. Maka jelas melalui kedua-dua versi ini terlihat percanggahan dalam penglibatan Datuk Perpatih di Negeri Sembilan dan Naning. Dari sudut geografi, versi Naning lebih mudah difahami dan lebih diterima akal. Secara alamiah, kawasan pantai barat Semenanjung akan menjadi kawasan pertama yang akan didiami oleh penghijrah dari Sumatera. Dalam hal ini kemungkinan amat besar bahawa rombongan Datuk Perpatih akan meneroka daerah di sepanjang pantai. Rombongan berikutnya akan “terpaksa” mudik dari muara sungai ke hulu atau mengikut jalan darat ke daerah pedalaman. Jika dikaji kedudukan daerah-daerah yang disebutkan itu, Naning merupakan kawasan yang paling dekat dengan pantai. Jaraknya tidak melebihi 40 km berbanding Kuala Pilah atau Jelebu yang jauhnya ratusan kilometer di pedalaman, hatta Sungai Ujong sekalipun. Hanya Rembau yang bersamaan jarak dengan Naning. Juga sedikit aneh dan tidak ada sebab, mengapa rombongan Datuk Perpatih perlu berjalan beratus-ratus kilometer ke daerah pedalaman hingga ke Kuala Pilah dan Jelebu untuk menjaga kepentingan orang Minangkabau. Sedangkan secara geografisnya kebanyakan orang Minangkabau telah terlebih dahulu bermastautin di kawasan-kawasan pantai Selat Melaka. Pemastautin di Kuala Pilah tentunya merupakan pendatang-pendatang terkemudian. Lain lagi ceritanya dengan Terombo versi Rembau (Batu Hampar) yang diperkenalkan Norhalim. Menurut Norhalim, yang memetik beberapa hasil kajian orang Portugis dan Belanda, adat Perpatih yang hampir sama dengan adat di Minangkabau diperkenalkan oleh seorang “wakil” Raja Minangkabau. Wakil raja itu bernama Datuk Leteh dan diperintahkan pergi ke Rembau pada tahun 1490an Raja untuk memimpin masyarakat Minangkabau yang menetap di daerah-daerah di sekitar pantai dan kawasan yang hari ini disebut Rembau. Datuk Leteh berasal dari Batu Hampar, Mendiling dan bersukukan Caniago. Pengikut-pengikutnya terdiri daripada penduduk-penduduk dari suku Batu Hampar sendiri, Paya Bidara, Pagar Cincang dan Agam. Mereka sampai di muara sungai yang hari ini disebut Kuala Sungai Linggi lalu mudik ke Lubok China (wilayah Naning sekarang Alor Gajah). Dari Lubok China Datuk Leteh mudik ke hulu hingga ke Relong dan bertemu dengan ketua orang Asli, Datuk Batin Skudai. Datuk Leteh meminta izin dengan datuk batin untuk menetap di Relong. Kawasan itu hari ini dinamakan Kampung Penajis Ulu. Datuk Leteh mula menyusun dan mengatur system masyarakat orang Minangkabau sehampir mungkin dengan system adat di tanah asalnya. Sistem ini diterima baik oleh penduduk orang asli pimpinan Datuk Batin Skudai kerana kebersamaan dengan adat orang asli yang matrilineal. Pada tahun 1500, Datuk Leteh bersama Datuk Batin Skudai meninggalkan Relong untuk membuka negeri di Kampung Lada, Chengkau. Datuk Batin Skudai kemudian meninggalkan Kampung Lada untuk menetap di Seliau, Rantau dan meninggalkan salah seorang anak perempuannya, Datuk Bungkal, dalam jagaan Datuk Leteh. Datuk Bungkal telah lama menjadi anak angkat Datuk Leteh. Ada kemungkinan Datuk Leteh tidak mempunyai anak dan menjadikan anak Datuk Batin Skudai anak angkatnya. Pada tahun 1502, Datuk Leteh sekali lagi pindah, kali ini ke Kampung Kota Lama (sebelumnya dinamakan Kampung Gembira yang dibuka oleh Datuk Batin Pak Nilu dari Sungai Ujong, kawasan Rahang, Seremban sekarang). Di kampung itu pertemuan diadakan dengan Datuk Lela Balang, juga dari Batu Hampar yang telah menetap di Kota Lama. Mereka bermuafakat untuk membahagikan wilayah kuasa di Kota Lama itu kepada dua, satu ditadbirkan Datuk Leteh dan satu lagi Datuk Lela Balang. Berdasarkan permuafakatan itu Datuk Leteh mendapat wilayah “kiri mudik” Sungai Rembau, sementara Datuk Lela Balang wilayah “kanan mudik.” Datuk Leteh menamakan wilayah kuasanya sebagai Kampung Perah oleh kerana banyaknya pokok perah (elateriospermum tapos) di kawasan itu. Datuk Lela Balang dikahwinkan dengan Datuk Bungkal dan keturunan keluarga ini mewarisi jawatan Undang Rembau hari ini. Walaupun terombo versi Rembau ini tidak menyebut langsung nama Datuk Perpatih Pinang Sebatang tetapi perintah yang diberikan kepadanya oleh Raja Minangkabau dan tindakannya memperkenal sistem adat Minangkabau adalah sama seperti yang ditulis dalam versi Kuala Pilah dan Naning. Cuma perbezaannya terletak pada nama tokoh sentralnya, sama ada Datuk Perpatih Pinang Sebatang atau Datuk Leteh. Di kalangan penduduk Rembau ada yang menganggap Datuk Leteh dan Datuk Perpatih Pinang Sebatang sebenarnya nama orang yang sama. Anggapan ini diasaskan kepada beberapa pertimbangan. Pertama berlakunya peristiwa perhimpunan besar di Gunung Datuk untuk melantik undang dan lembaga oleh Datuk Perpatih Pinang Sebatang. Gunung ini terletak di Rembau. Di kaki gunung terletak Kampung Perah dan Kampung Kota Lama yang pula bersempadankan Naning. Sedangkan Kuala Pilah berada jauh di sebalik gunung. Bayangkan Datuk Perpatih terpaksa mendaki Bukit Putus atau Bukit Miku sebelum mendaki Gunung Datuk. Andainya Datuk Perpatih Pinang Sebatang mahu melantik undang dan lembaga, apakah perlu beliau naik gunung turun gunung yang mungkin memakan masa beberapa hari, malah minggu untuk sampai ke puncak Gunung Datuk. Manakala Datuk Leteh yang tinggal di kaki gunung tersebut hanya memerlukan kira-kira tiga atau empat jam untuk sampai ke puncak. Kedua, titah perintah raja Minangkabau kepada Datuk Perpatih adalah juga titah perintah raja Minangkabau kepada Datuk Leteh. Soalnya apakah perlu seorang raja memerintahkan dua orang pembesarnya untuk menjaga kepentingan masyarakat Minangkabau di kawasan yang sama di seberang? Dikatakan Datuk Perpatih dan Datuk Leteh belayar ke seberang melalui pangkalan yang sama, iaitu Siak. Cuma bezanya Datuk Perpatih menuju muara Sungai Muar (versi Kuala Pilah) sementara Datuk Leteh menuju muara Sungai Linggi (versi Rembau). Dalam hal ini ada persamaan antara versi Naning dengan Rembau. Kedua-dua versi ini menyebut orang besar raja ini belayar dari Siak menuju muara Sungai Linggi. Jika versi Kuala Pilah diambil kira maka sudah tentu ada kesan-kesan peninggalan Minangkabau di Muar seperti halnya di Kuala Linggi. Setidak-tidaknya adan proses penyemendaan antara orang Minang dengan penduduk tempatan. Ketiga dan dianggap lebih penting ialah kisah penerokaan Datuk Perpatih dalam ketiga-tiga versi. Teromba versi Kuala Pilah memperlihatkan satu perjalan yang kompleks (sungai dan daratan) sebelum membuka tempat baru. Versi ini menunjukkan kehebatan Datuk Perpatih mengembari dari Muar ke Johor Lama (mungkin ke Batu Sawar tempat bersemanyamnya Sultan Johor), lalu mudik ke Hulu Muar sebelum meneruskan perjalanan ke Hulu Pilah. Secara geografisnya hari ini, Datuk itu bersama pengikutnya menjelajah dua negeri, Johor dan Negeri Sembilan. Satu perjalanan panjang dan memakan masa berbulan-bulan lamanya. Jika dilihat dari sudut ini, maka versi Naning dan Rembau adalah lebih rasional. Demikianlah, tiga versi terombo yang kadang-kadang terlihat sebagai satu cara memperbesar jurai keturunan penganut adat Perpatih di Negeri Sembilan dan Alor Gajah (Naning) hari ini. Norhalim barangkali berkata benar apabila orang sering mengaitkan kehebatan tokoh peneroka dengan daerah tempat tinggalnya. (A.F.Yassin, Utusan Melayu Mingguan suatu ketika dahulu. )

Copy and WIN : hhttp://bit.ly/copynwin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."