Sabtu, 18 Februari 2012

sekadar renungan

Semalam, Jumaat, selepas waktu pejabat, hujan turun dengan selebat-lebatnya di  Ampang, Selangor. Kalakian, berlakulah kesesakkan lalu lintas di jalanraya yang teruk. 'Mengerikan'. 

Keadaan sedemikian adalah sesuatu yang tidak diingini oleh warga kota yang dalam perjalanan balik dari pejabat ke rumah masing-masing. Di sekitar jam 6.00 petang, setelah menunggu hujan reda tetapi tidak juga reda-reda, saya terpaksa meredah jalan raya untuk balik ke rumah yang letaknya 7 kilometer sahaja dari pejabat.

Saya sampai di Ampang Indah jam 7.00 petang. Hujan masih turun dengan lebatnya. Perjalanan untuk sampai ke rumah yang cuma tiga kilometer sahaja lagi semasa waktu puncak dan ditambah pula dengan hujan lebat mengikut kaedah dan sifir warga kota sebenarnya 'terlalu jauh'.

Sedemikian, saya singgah di Masjid Bukit Indah, Ampang menunggu masuknya waktu Maghrib. Selesai solat maghrib dan dalam keadaan hujan masih belum berhenti, saya menuju ke kereta untuk balik ke rumah. Aduhh......kereta saya dihalang oleh sebuah kereta lain.

Saya kembali semula ke beranda masjid untuk menunggu tuan punya kereta yang 'tidak berhati perut' tersebut keluar. Dia tidak keluar. Saya tidak dapat balik ke rumah.

Saya marah. Perut pun lapar. Terlintas juga di dalam hati hendak 'mengapakan' kereta (Camry) hamba Allah tersebut. Itu cuma lintasan hati, saya tidak akan tunduk dengan semudah itu.

"Bagaimanapun, kalau umur saya 25 tahun belum tahu lagi!!!" Ini juga bukan kata-kata atau ungkapan saya. Ungkapan tersebut adalah kata-kata seorang kawan sebaya yang menceritakan dia diajak bertumbuk oleh pemandu remaja berusia 20-an kerana berlaku perlanggaran kecil di jalan raya.

Akhirnya, saya tiada pilihan kecuali masuk semula ke dalam masjid dan mendengar kuliah sementara menunggu masuk waktu solat Isyak.

Saya duduk di satu sudut di bahagian belakang dewan masjid. Di dalam dewan masjid saya terlihat kelibat mantan penyanyi 'dr  Sam' yang popular dengan lagu 'Aku Anak Malaysia' suatu ketika dahulu. Beliau kini berketerampilan dan berpakaian secara satu jumaah dakwah yang berpengkalan di Seri Petaling, Kuala Lumpur/Selangor. Secara peribadi, saya meminati beliau dari dahulu dan  kini/sekarang. Esok, belum tentu lagi.

Saya juga sempat memerhatikan gelagat seorang insan istimewa di dalam dewan masjid. Beliau yang berpakaian jubah dan berserban dengan selamba menjadi makmum di belakang individu yang lewat menunaikan solat maghrib atau melakukan solat sunat. Beliau tidak solat berjumaah sehingga selesai dengan seseorang yang dijadikannya imam. Sebaliknya, beliau akan beredar dan mengikut orang lain yang dilihatnya baru hendak menunaikan solat. Pembaca jangan ada sebarang prasangka, beliau ialah insan istimewa.

Saya mengambil gambarnya ketika beliau solat berjumaah berimamkan seorang yang solat di hadapan saya. Saya terkejut kerana ketika sedang solat dia memberhentikan solatnya dan datang ke arah saya.

"Apa hal pulak ni," saya berkata di dalam hati.

"Kasyafkah dia, dia nampak gambarnya diambil," hati kecil saya membayangkan sesuatu.

Beliau , awal 40-an, memiliki air muka yang jernih dan berpakaian bersih tersenyum dan menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan saya. Saya menyambut salam persahabatan itu dengan menggenggam erat tangannya yang lembut dalam tempoh yang agak lama. Subhanallah.

Setelah selesai solat Isyak saya menuju ke kereta untuk balik ke rumah. Hujan telah berhenti. Ketika sampai di parkir, hamba Allah 'yang tidak berhati perut' pun sedang mengundurkan keretanya untuk keluar dari kawasan masjid, rumah Allah.

'Hamba Allah 'yang tidak berhati perut' itu tidak mengetahui bahawa saya pernah mempunyai perasaan marah terhadapnya kerana menghalang kereta saya. Dia juga tidak mengetahui bahawa saya juga berterima kasih kepada beliau kerana tindakannya tersebut telah memberi peluang saya mengikuti kuliah maghrib dan menunaikan solat Isyak berjumaah di Masjid Bukit Indah, Ampang. Kalau saya terus balik selepas solat maghrib, saya cuma dapat menunaikan solat isyak secara sendirian sahaja di rumah. Ini takdir. Ini anugerah Allah. Alhamdulillah.

Dan, ketika melalui jalan keluar kawasan masjid, saya melewati insan istimewa yang berjalan sendirian dengan menggunakan tongkat. Saya tidak tahu destinasinya. Namun, saya mengagak, sebelum azan subuh berkumandang di esok hari, beliau telah ada di rumah Allah itu memperhambakan dirinya kepada Pencipta dengan caranya sendiri. Allah Hu Akbar.

        
  


4 ulasan:

  1. Ujang Kutik,

    Agak nye ini lah yang orang putih selalu kata...

    .a blessing in disguise...ekeke..

    BalasPadam
  2. Sdr theolrascal,

    Ya, @ yang orang selalu kata untuk menyabarkan diri sendii @ 'Ada hikmahnya'.

    BalasPadam
  3. Salam saudara Ujang..,

    Alhadulillah segalanya selesai dgn aman dan damai tanpa gangguan...

    memang setiap yg berlaku itu takdir atas kita dan punya Hikmah yang tersendiri.....Allahua`lam.

    BalasPadam
  4. Sdr azmnor,

    Waalaikom Salam,

    Kadang-kadang saya rasa 'bersalah' memuktamadkan sesuatu yang belum selesai kerana mendapati ada hikamh di penghujungnya.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."