Selasa, 29 Mei 2012

anak tangga cinta

Ikhsan Daripada Google
WALAUPUN manusia spesis ini tidak ramai, dia tetap ada di kalangan kita; dia mungkin di kalangan saudara mara, rakan sekerja,ketua pejabat, jiran atau sesiapa sahaja.
Natijahnya, orang di sekeliling tidak aman, tidak selesa dan merasa tidak selamat. Orang di sekeliling juga tidak mendapat sedikit pun manfaat daripada manusia spesis ini. 
Manusia ‘gila’ spesis ini dibenci. Kata-katanya kasar dan kesat, sentiasa mengintai-ngintai aib dan kelemahan orang lain untuk dihebahkan, bercakap besar, bangga diri, dengki,pendendam, memperlekehkan orang lain, menggunakan kuasa yang ada secara melampau dan berlebihan, opportunis, mementingkan diri sendiri, bakhil, terlalu sensitif, ego, kaki gaduh, kuat mengumpat, tidak bertimbang rasa…….
Lebih menyakitkan hati lagi manusia spesis ini tidak menghiraukan reaksi orang sekeliling. Tidak terkesan dengan nasihat atau teguran orang lain.
Secara tabiinya, manusia normal ingin dicintai,disayangi,disukai… Sebaliknya, manusia spesis ini cenderung kepada ajakan luar tabii.
“Saya tidak kisah orang tidak sukakan saya. Seorang tidak suka berjuta lagi orang di dalam dunia ini suka kepada saya. Saya lagi suka orang benci kepada saya. ”
Congaklah, masih adakah manusia normal menyukai manusia spesis ini? Di mana sahaja dia berada dia akan menambah koleksi musuh atau orang yang membencinya – di pejabat, di kawasan perumahan, di kalangan sanak saudara. Tanyalah kepada bekas-bekas teman di pejabat lamanya.Tanyalah kepada jiran-jiran di rumah lamanya dan juga rumah sekarang. Tanyalah kepada saudara maranya- malah, adik beradiknya.
Sesunggguhnya, senario terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan individu kronik seperti ini, termasuk juga melalui pengalaman yang diceritakan oleh orang lain, minda saya menjadi porak-poranda setelah membaca kisah benar cinta agung satu pasangan suami isteri di negara Cina yang ditulis oleh penulis yang berasal dari Jambi, Indonesia, Parlindungan Marpaung. Tulisan beliau bertajuk ‘Anak Tangga Cinta’, iaitu salah satu tajuk menarik dalam buku beliau,  ‘Hidup Ini Pilihan’.   
Parlindungan Marpaung mengesahkan kisah benar cinta agung seorang lelaki, Liu Goajing, dengan seorang janda miskin, Xu Chaoqin. Janda itu mempunyai beberapa orang anak. Bertambah kompleksnya denai cinta mereka apabila keluarga lelaki itu dan masyarakat sekeliling tidak merestui perhubungan tersebut.
Sehubungan ini, pasangan kekasih bersama-sama anak-anak janda itu pindah ke tempat lain. Pasangan itu berkahwin di luar kampung halaman mereka. Ketika itu, Liu Goajiang, 19 tahun, 10 tahun lebih muda dari usia isterinya, Xu Chaoqin.
Mereka akhirnya memilih sebuah gua yang terletak di tanah tinggi sebagai penempatan baru. Kehidupan di tempat baru yang begitu asing menyukarkan kehidupan keluarga itu. Mereka sekeluarga terpaksa menuruni tanah curam dan mendaki semula dalam melangsungkan kehidupan seharian. Namun demikian, mereka hidup bahagia.
Kecintaan Liu Goajing kepada isterinya tiada bandingannya. Menginsafi bahawa isterinya jauh lebih tua darinya, Liu Goajing membina anak tangga secara memahat batu-batan secara berperingkat di sepanjang laluan ke rumah mereka di dalam gua untuk memudahkan isterinya mendaki dan menuruni laluan yang curam.
Dalam tempoh lebih kurang 50 tahun, yaani ketika Liu Goajing berusia 72 tahun beliau telah berjaya membina sebanyak 6000 ‘anak tangga cinta’ untuk isterinya . Ironisnya, beliau jatuh sakit. Ketika memangku suaminya yang sedang tenat , Xu Chaoqin berkata, “Awak berjanji menjaga saya sehingga saya meninggal dunia. Bagaimana saya boleh hidup tanpa awak?”
Liu Goajing hanya tersenyum. Pada wajahnya tergambar perasaan cinta dan pengorbanan. Liu Goajing,72, meninggal dunia di pangkuan isteri yang amat disayanginya, Xu Chaoqin, 82. Di usia 72 dan 82 tahun, ghairah cinta pasangan itu tidak sedikit pun berkurangan!
Di penghujung tulisannya, Parlindungan Marpaung mengutarakan soalan dan renungan;
Soalan;
Ketika meninggalkan tempat kerja kita kerana bersara ataupun memulakan kerjaya di tempat lain, apakah ada ‘anak tangga cinta’ yang ditinggalkan yang dapat dijadikan tauladan? Ataupun, ketika kita berpindah rumah, apakah kita sempat mendirikan ‘anak tangga cinta’ di kalangan jiran-jiran yang kita tinggalkan?  
Renungan;
Parlindungan Marpaung memetik pendapat John C.Maxwell dalam mengupas perkataan “TRUST” bagi mewujudkan kepercayaan dalam mendirikan ‘anak tangga cinta’:
T          - Time (Masa): Beri masa yang berkualiti kepada orang lain.
R          - Respect (Hormat): Hormati orang lain walaupun kita mempunyai latar belakang yang berbeza.
U         - Unconditional Positive Regard (Rasa Hormat Positif Tanpa Syarat): Menghormati semua orang  yang kita temui kerana kita sedar, pada pandangan Tuhan semua orang itu tidak ada bezanya (ujang kutik - kecuali keimanan).
S          - Sensitivity (Kepekaan): Peka kepada keperluan orang lain. Keperluan juga bermakna lebih banyak mendengar kata-kata orang daripada bercakap dengan orang.
T          - Touch (Sentuhan): Memberi sokongan, berjabat tangan, memberi pelukan dan ciuman kepada orang lain.
Semoga pembaca mendapat manfaat daripada catatan ini. Khususnya, harumilah ghairah semerbak cinta yang tidak berkesudahan kepada pasangan anda, sekurang-kurangnya dan juga sekira-kira anda tidak menyesal kerana mengabaikannya, andainya pasangan anda meninggalkan anda dan dunia ini terlebih dahulu.   

3 ulasan:

  1. Saudara Ujangkutik,

    Antara ajaran Islam yang disampaikan oleh baginda Rasulullah saw dalam membentuk 'anak tangga cinta' adalah dalam hal silaturahim.

    Rasulullah saw mengajarkan supaya mendekatkan, menyambung, memperbaiki, mengeratkan, memperkukuhkan dan banyak lagi aspek agar tali persaudaraan antara sesama manusia tetap utuh, kekal berpanjangan.

    Segala bentuk persoalan kehidupan terdapat di dalam agama kita Islam. Allah swt telah sempurnakan agama kita bagi kita manusia sejagat.

    Allahu'alam

    BalasPadam
  2. Sdr Pak Mail,

    Sesungguhnya, segala theori/doktrin yang menjurus kepada anjakan kesempurnaan/kebaikan/positif 'beribukan' ajaran agama Islam yang sempurna.Inilah mungkin di antara tanda aras untuk membantu kita menyaring sesuatu yang kita rasakan tidak datang dari kelompok kita.

    Semoga kita akan terus ingat mengingati.T.Kasih.

    BalasPadam
  3. Ujang Kutik,

    Yes!!
    anak tangga cinta..

    Semoga kita semua di rahmati Allah SWT.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."