Ahad, 9 September 2012

JUMAAH TABLIGH : SAYA MENYENANGI MEREKA


Ketika tahun 2012 telah memasuki  bulan ke-9, telah 3 kali  saya ke masjid Jumaah Tabligh (JT) di Sri Petaling, Selangor dan bermalam di situ. Saya bukannya ahli kumpulan JT yang berpengaruh itu walaupun masih ada anggota masyarakat memandang serong. Saya ‘orang luar’ yang datang  bersendirian pada hari Sabtu malam Ahad di masjid kumpulan itu yang terletak cuma kira-kira 7 kilometer dari rumah saya di Ampang. Kali terakhir saya ke sana ialah pada bulan Mei 2012 yang lalu.

Kompleks jumaah Tabligh yang tersergam indah di tengah-tengah pusat perniagaan dan kawasan perumahan yang majoriti penduduknya bukan Islam di Sri Petaling, Selangor mengandungi bangunan masjid, asrama, pejabat pentadbiran masjid, bilik air/tandas  yang banyak (dan bersih), beberapa pintu kedai yang menjual kitab dan peralatan solat , kiosk ATM, medan letak kereta yang luas (tetapi masih tidak mencukupi) dan warung-warung menjual makanan. Sembilan puluh Sembilan peratus peniaga di kompleks ini berketurunan India Muslim. Kompleks ini terletak kira-kira 1 kilometer dari Kompleks Sukan Bukit Jalil. 

Ahli kumpulan JT dari dalam dan luar negara datang ke masjid ini kerana komitmen dan keyakinan mereka. Jadi,  apakah tujuan saya ke masjid yang diimarahkan 24 jam dalam sehari itu?

Sesungguhnya, saya juga hendak berada tidak begitu jauh dari kalangan mereka yang hampir dengan masjid; sembahyang berjumaah, menghadiri majlis ilmu, iktikaf di masjid dan menghidupkan malam dengan zikir, membaca Al-Quran dan menunaikan solat-solat sunat. Suasana di rumah hari ini yang sangat melekakan, tidak memungkinkan kebanyakkan di kalangan kita yang tidak kuat semangat untuk bangun dan menghidupkan malam. Di masjid-masjid lain tidak ada kemudahan ini kerana pintu masjid akan dikunci seusai solat Isyak.

Bilakah kali terakhir solat sunat tahajud kita?

Saya juga hendak mengetahui apakah yang dilakukan oleh ahli JT pada saban hari Sabtu malam Ahad di masjid itu. Apakah tarikan yang menyebabkan mereka meninggalkan anak dan isteri di rumah? Apakah yang memukau anak-anak muda JT berduyun-duyun ke situ sehingga tidak terliur langsung dengan segala godaan duniawi di luar – rempit, ‘couple’, lepak di restoran mamak, menonton perlawanan bolasepak Malaysia/EPL/La Liga, melayari internet (blog/FB/Twitter) dan bermacam-macam lagi?

Kumpulan JT didakwa tidak menghiraukan apa sahaja yang dikatakan menarik dan penting di luar? Malah mereka tidak terlibat langsung dalam sindrom kegilaan dan hiruk pikuk politik sebangsa yang sedang berlaku di luar sempadan masjid mereka di Seri Petaling.

Isu hudud yang menjadi perbalahan dan tuduh menuduh antara dua kumpulan siasah orang Islam terutamanya ketika hampir pilihanraya kononnya tidak sedikit pun menjentik kekebalan sikap tidak ambil peduli mereka. Mereka berdiam diri seribu bahasa.

Semoga saya tidak dianggap keterlaluan melakarkan skrip berbentuk sketsa seperti berikut:

Ahli Kumpulan Siasah A     : Lu punya hudud tidak betul.


Ahli Kumpulan Siasah B     : Lu juga olang Islam. Kalau lu tuduh hudud    


                                                         gua tidak betul, mana hudud lu?


Ahli Kumpulan Jumaah Tabligh : (Diam seribu bahasa- berkecuali).


                    

Seorang kawan pernah meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap anak saudaranya yang baru terlibat dengan kumpulan JT. Dia khuatir pelajaran anak saudaranya yang menuntut di Institusi pengajian tinggi itu akan terganggu. Dia juga memperlekehkan betapa anak saudaranya yang baru sehari dua masuk JT telah ‘berjubah-berserban-berjanggut-bercelak’.

Dia ada sebab untuk merasa bimbang mengenai kemungkinan pelajaran anak saudaranya terganggu. Bagaimanapun, isu ‘berjubah-berserban-berjanggut-bercelak’, apakah masalahnya?

Jangan pedulikan ‘trend’ segelintir ustaz atau ahli agama yang hendak dilihat liberal. Mereka yang sering kita lihat di skrin TV seperti cuba mengubah hala keterampilan konvensional orang agama – dari segi berpakaian, tidak memakai songkok atau ketayap, jauh sekali berserban dan berjanggut. Emosikah saya?  

Penemuan lahiriah saya ketika berada di Kompleks Jumaah Tabligh, Sri Petaling bersama dengan ribuan JT dalam tempoh selepas waktu Asar pada hari Sabtu hingga pagi Ahad pada keesokkan harinya dirumuskan seperti berikut:.

  • Hari Sabtu Selepas Asar Sebelum Masuk Maghrib

                                 i.     JT membanjiri kompleks tabligh. Tempat letak kereta dipenuhi. Mereka yang lambat sampai terpaksa meletakkan kenderaan masing-masing di gigi jalan.

                               ii.     Beg-beg pakaian (termasuk juga bantal,tikar dan tilam kecil)  ahli JT diletakkan di bahagian belakang dewan solat.

                              iii.    Ahli JT juga mundar-mandir memenuhi warung-warung makanan, kedai buku/kitab dan kedai alat solat.

  • ‘Tazkirah’ Selepas Solat Fardhu Maghrib

Ahli JT mendengar ‘tazkirah’ (JT menggunakan nama khusus) yang disampaikan oleh seorang penyampai. Tajuk yang disampaikan kebanyakkannya menjurus kepada kerja-kerja dakwah. Hal-hal isu semasa termasuk politik tidak disentuh.  

  • ‘Tazkirah’ Selepas Solat Fardhu Isyak

Ahli JT mendengar ‘tazkirah’ (JT menggunakan nama khusus) yang disampaikan oleh seorang penyampai. Tajuk yang disampaikan kebanyakkannya menjurus kepada kerja-kerja dakwah. Hal-hal isu semasa termasuk politik tidak disentuh.    

  • Mendaftar Nama Untuk Keluar Berdakwah

Pada pendapat saya, fasa ini adalah kemuncak kepada tujuan perjumpaan mingguan diadakan – mengenal pasti dan mendaftarkan ahli-ahli JT yang ingin menterjemahkan komitmen mereka menyertai kumpulan JT secara keluar berdakwah kepada ’mereka di luar sana’. Untuk makluman, ungkapan ‘mereka di luar sana’ adalah satu ungkapan yang sentiasa bermain di bibir JT.  Jangan terperanjat, ramai ahli JT yang akan mengangkat tangan mendaftar diri untuk keluar berdakwah dari sekurang-kurangnya tiga hari kepada berbulan-bulan. Kebanyakkan mereka ialah golongan anak-anak muda.   

  • Acara Bebas Dari Selepas Isyak Sebelum Tidur.

                                I.    Saya perhatikan kumpulan-kumpulan JT keturunan India (mungkin dari Negara India) berkumpul dalam beberapa kumpulan-kumpulan kecil dan mendengar ceramah (ceramah?) yang disampaikan oleh salah seorang daripada ahli JT.

                              II.    JT keturunan India Muslim juga lebih ramai dan tekun mengimarahkan masjid dengan membaca Al-Quran, berzikir dan menunaikan solat-solat sunat. Mereka agak menonjol dalam hal ini berbanding dengan JT tempatan.

                            III.       Saya orang Melayu jati, walaupun nama glamour ‘ KUTIK’ ada sedikit keIndiaan. Pada pandangan saya, keterampilan lahiriah JT keturunan India terutamanya yang berkulit cerah ada kelebihan berbanding JT tempatan (termasuk Minang,Jawa,Mendailing,Kelantan dsb). Mereka (JT India) lebih segak, bergaya, nampak alim dan diyakini komited beragama apabila mengenakan pakaian jubah, berserban dan mempunyai janggut yang tebal dan lebat. JT Minang dari Beranang atau JT Jawa dari Banting yang berjanggut sehelai dua ketinggalan jauh ke belakang dari segi ini!   

  • Waktu Tidur

Pihak pengurusan masjid akan memadamkan lampu di sekitar jam 12.00 malam. Sungguh pun demikian, masih ramai ahli JT yang meneruskan ibadat masing-masing dalam samar-samar kegelapan dewan solat. Ahli JT boleh tidur di mana-mana sahaja kecuali di bahagian hadapan dewan solat utama. Ada juga yang memilih tempat tidur di laluan menghala ke bilik air/tandas. Jangan risau, tempat tersebut bersih.

Insya Allah, tidur di dalam masjid JT selamat kerana ada ‘pengawal malam’ bertongkat yang memantau tidur para jumaah. Saya pernah mengalami dua insiden diganggu ‘pengawal malam’. Pertama dikejutkan oleh seorang tua bertongkat dalam samar-samar dewan untuk bangun solat tahajud di sekitar jam dua pagi. Dalam keadaan ‘mamai’saya ke bilik air untuk mengambil wuduk. Ketika itu saya tidak terfikir kenapa saya yang dikejutkan sedangkan orang lain masih tidur.

Insiden kedua pula, saya diganggu oleh dua orang ‘pengawal malam’ muda JT. Mereka mengganggu tidur saya kerana tidak meggunakan kain alas untuk tidur. Betul juga, kalau tidur sampai keluar air liur basi susah juga. Sebenarnya, kelebihan saya ialah boleh tidur lena dan nyenyak tanpa tilam,kain selimut dan bantal. Saya boleh tidur sampai ke pagi dengan berbantalkan lengan!!     

Ya, semestinya dan sepatutnya JT atau sesiapa sahaja tidur dengan niat hendak bangun semula untuk mendirikan solat sunat tahajud dan amalan-amalan yang lain!

  • Bangun Solat Tahajud

Lebih kurang pukul 4.00 pagi lampu di dalam dewan solat dinyalakan. Jumaah membersihkan diri di bilik mandi/tandas yang banyak dan seterusnya menunaikan solat tahajud dan lain-lain amalan sehingga azan subuh berkumandang. Pun demikian, ada juga yang terlajak tidur sehingga azan subuh bergema. Golongan ini kebanyakkannya yang datang dengan tilam kecil dan batal yang empuk.

  • Program Selepas Solat Subuh

Selepas solat subuh, JT mendengar ‘kuliah subuh’ (Jumaah Tabligh ada istilah khusus}. Setelah kuliah subuh selesai, sekali lagi urusan mendaftar ahli JT yang hendak keluar berdakwah dibuat lagi. Pada pendapat saya, perhimpunan mingguan JT  selesai selepas urusan ini. Ahli-ahli JT dilihat mula meninggalkan kompleks JT di Sri Petaling.  

Namun demikian, saya dapati beberapa kelompok kecil JT keturunan India Muslim masih meneruskan tazkirah mereka di beberapa sudut dalam dewan solat.

  • Pegangan Politik JT

Kebiasaannya, pegangan politik seseorang itu diukur melalui keterampilan dan komitmennya dalam beragama. Dikatakan, semakin tebal dan panjang janggut seseorang itu , lebih dekatlah dia dikaitkan kepada sesuatu parti politik. Bagaimanapun, teori ini tidak boleh  digunakan dalam menilai pengangan politik JT. Pegangan politik JT sangat memeranjatkan dan di luar jangka. Bagaimanapun, melalui pengalaman bergaul dengan JT, secara umumnya saya dapati kebanyakkan JT sangat selesa dalam zon tidak kisah hal politik negara. Mereka mendakwa ada kaedah sendiri untuk memartabatkan agama.

  • Tabung Kutipan

Di masjid JT Sri Petaling, tidak ada tabung kutipan sumbangan daripada jumaah.

  • Rumusan

Walaupun tergolong sebagai orang awam dalam pemahaman ilmu agama, saya berpendapat masyarakat tidak perlu berterusan bimbang dengan JT. Gejala tidak sehat bukannya berpunca dari kumpulan yang mengajak manusia ke rumah Allah.  Malah hari ini semakin menular gejala ‘samseng terhormat’ di kalangan ahli dan penyokong parti politik dan NGO tertentu.

Sedemikian, walaupun bukan ahli Jumaah Tabligh, dan tidak bersetuju dengan ketidakpedulian mereka terhadap  isu-isu di luar tembok JT khususnya politik, saya menyenangi mereka.

7 ulasan:

  1. artikel yang menarik. masjid-masjid yang menjalankan aktiviti sama di malaysia,

    http://karkuzaridakwahiman.blogspot.com/2011/01/malam-perhimpunan-markaz-dakwah-dan.html

    BalasPadam

  2. Laporan dari blogger Ujang Kutik ini boleh di jadikan maklumat mengubah persepsi kita kepada jemaah tabligh.

    Terima kasih kepada ujang kutik kerana berkongsi maklumat dan pengalaman nye bersama ahli2 JT.

    BalasPadam
  3. Sdr theolrascal,

    Bersangka baik. Lagi pun orang ajak ke masjid.

    Terima kasih.

    BalasPadam
  4. IM respek kat JT kerana mereka berbuat sesuatu yang IM sendiri tak mampu nak buat. Adik IM juga join JT.

    Kenapa kita mesti 'bising' pasal JT tetapi tidak bising dengan 'JT' yang ber'qiamullail' di disko bersama arak dan dadah?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr IM,

      Sekalipun kurang disenangi JT makin kuat, matap & istiqamah.Banyak perkara yg kita boleh ikut dpd JT.

      Padam
  5. Insyaallah tuan Blh prg LG ke sri Ptlg

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."