Khamis, 13 September 2012

KEHIDUPAN INI : SENI MEMBUAT PILIHAN


Kalaulah kita di kalangan orang awam dalam hiraki beragama, abaikanlah  isu “Better the devil you  know than the angel you don’t” yang mencetuskan sedikit ‘huru-hara’ baru-baru ini . Berpeganglah kepada pandangan tuan guru/ulamak masing-masing. Risiko samada salah atau betul pandangan dan hujah tuan guru/ulamak  yang meyakinkan kita itu, kita tanggunglah sendiri.   

Secara literal, ungkapan tersebut bolehlah difahami seperti berikut: “Lebih baik berurusan dengan orang yang kita kenali, walaupun tidak ideal, daripada mengambil risiko berurusan dengan orang yang dilihat baik tetapi tidak dikenali/ketahui latarbelakangnya.”

Namun demikian, catatan ini tidak membincangkan isu ‘berskala besar’ dan sensitif  tersebut. Lagi pun blog senaif ‘ujang kutik’ tidak layak membincangkannya. Catatan yang hendak saya sampaikan ialah mengenai isu yang hampir sama tetapi diharap tidak menimbulkan reaksi yang tidak diingini.

Jarak rumah saya ke pejabat ialah 7 km. Saya bertolak dari rumah jam 8.00 pagi dan perlu sampai ke pejabat pada atau sebelum jam 8.30 pagi. Sampai ke pejabat jam 8.31 pagi bermaana lewat. Saya perlu mematuhi prosedur tertentu jika datang lewat. Sedemikian supaya sampai ke pejabat dalam waktu yang ditetapkan , saya memilih laluan alternatif yang lebih jauh jaraknya dari laluan biasa. 

Bagaimanapun, ‘terperdaya’ dengan pesona di laluan biasa yang lebih dekat dan mudah, saya pernah lewat 20 minit sampai ke pejabat . Sejak hari itu, saya tidak tertipu lagi. Saya akan menyusur laluan alternatif, walaupun lebih jauh tetapi saya ketahui struktur jalan, batu batan dan simpang siurnya. Alhamdulillah, saya tidak pernah lewat lagi walaupun bertolak dari rumah pada waktu yang sama.

Kendatipun demikian, manusia berjaya alaf ini ialah mereka yang sangat berani bermain dengan risiko dalam melangsungkan laluan kehidupan. Mereka umpama peniaga kedai makan atau restoran – makan dahulu, bayar kemudian. Mereka amat percayakan kejujuran setiap pelanggan.

Sehubungan ini, dalam apa sahaja sekitaran yang memerlukan kita membuat pilihan, terpulanglah kepada kita: Samada memilih yang dikenali tetapi tidak ideal atau memilih yang tidak dikenali/ketahui latar belakangnya dari hujung kaki hingga ke hujung rambut tetapi ada serlahan kehebatannya.

Biduk kehidupan ini adalah suatu seni membuat pilihan – yang putih, yang hitam, yang dikenali/ketahui tetapi tidak ideal, yang tidak dikenali/ketahui tetapi ada aura kehebatan………….pilihlah. Berkata Martin Luther King, “ Lakukan langkah pertama dengan yakin. Kamu tidak perlu melihat keseluruhan tangga. Cuma mulakan dengan langkah pertama.”

2 ulasan:

  1. Sdr Ujang kutik,

    Saya agak setuju dengan pendapat sdr bahawa kehidupan ini juga adalah seni membuat pilihan.

    Ingin saya buat tambahan agar...
    Yang manis jangan terus di telan,
    yang pahit pula jangan terus di buang.

    P/s.. saya perasan ada sedikit perubahan pada blog Ujang Kutik ni. Ada wajah blogger nye di cubicle pejabat..hehe

    BalasPadam
  2. Sdr theolrascal,

    Orang Jawa menanam peria
    peria ditanam di tanah Batak
    kalau ia katakan ia
    kalau tidak katakan tidak.

    T.kasih kerana perasan ada sedikit tambahan dalam blog saya - seadanya.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."