Ahad, 21 Oktober 2012

ANJING: KITA KEJAM DENGAN HAIWAN INI


Tanggapan dan layanan sebilangan Orang Melayu terhadap anjing sangat kejam. “ Melepaskan anjing tersepit.” Ada di kalangan Orang Melayu dengan sewenang-wenangnya dan tanpa rasa bersalah akan membaling dengan batu terhadap anjing-anjing lapar yang menyelongkar tong sampah di hadapan rumah mereka. Sang najis berat!
Seorang Melayu besar kemungkinan akan membiarkan seekor anak anjing yang terjatuh ke dalam longkan mati kelemasan tanpa pertolongan kerana kenajisan haiwan itu . Begitulah juga nasib seekor anjing yang cedera di tengah jalan raya kerana dilanggar oleh kenderaan. Akan dibiarkan mengerang kesakitan.
 
 
Perumpamaan ‘Melepaskan anjing tersepit’ tidak perlu dikhadam maananya dengan mengkhususkan contoh kepada anjing sahaja. Harimau juga besar kemungkinan akan membaham orang yang menolongnya. Manusia jahat seperti perompak atau perogol juga besar kemungkinan akan memudaratkan orang yang menolong.
Sehubungan ini hati saya sangat tersentuh membaca kisah seorang lelaki dan isterinya yang rumah mereka cuma sebuah kabin memelihara dan menyelamatkan 400 ekor anjing dan 200 ekor kucing. Lelaki itu bekas seorang kontraktor. Apabila ditanya oleh wartawan mengenai kenajisan anjing, lelaki yang pernah dianggap gila itu menjawab, “ Pada orang mungkin kami suami isteri dilihat kotor kerana hidup seharian bergelumang dengan anjing. Namun secara peribadi saya tahu garis pemisah antara kotor dan bersihnya dalam hidup. Anda jangan terkejut kerana saya tidur dengan anjing. Pada saya itu tidak kotor. Saya melihat hidup bersama anjing bukan satu masalah kerana dalam Islam sudah disediakan kaedah serta tatacara tertentu untuk bersuci.”

Tidak dinafikan bahawa akrabnya lelaki itu dengan anjing sangat keterlaluan dan memerlukan pandangan seorang ustaz secara khusus.
Bagaimanapun, selain dari persepsi Orang Melayu terhadap anjing sangat tidak berlaku adil, banyak juga ungkapan-ungkapan yang menyantuni kewujudan haiwan itu oleh para pemikir dan ahli falsafah terutamanya di kalangan orang barat. Diantaranya; “Anjing satu-satunya makhluk di dunia yang mencintai anda lebih dari dirinya sendiri”, “ Apabila anda mengambil anjing kelaparan, kemudian memeliharanya dengan baik, anjing-anjing itu tidak akan menggigit anda. Ini adalah perbezaan anjing dengan manusia” dan “ Sejarah lebih banyak memberi contoh kesetiaan anjing daripada manusia”.    

Saya sangat percaya bahawa ramai Orang Melayu termasuk saya sendiri kurang jelas mengenai kaedah dan tatacara fekah yang praktikal apabila berurusan dengan anjing yang digolongkan sebagai najis berat. Saya percaya dengan pengetahuan kaedah fekah yang betul dan tepat akan memberanikan diri kita membantu anjing-anjing malang yang terbiar dan terabai tanpa was-was.
Sebagai seorang Islam kita mengetahui kisah seorang pelacur yang memberi minum seekor anjing yang terlalu dahaga. Haiwan, termasuk anjing juga mengalami kesakitan, kelaparan dan dahaga. Bantulah jika ada kemampuan, kesempatan dan peluang!

2 ulasan:

  1. Patik bermaksud anak anjing. Satu gelaran merendah diri kepada raja-raja.

    Peribahasa Melayu mengketengahkan tema anjing seperti "Sepuluh jong berlabuh, anjing tetap bercawat ekor juga", "Seperti anjing menyalak bukit, takkan runtuh", "Anjing itu, meskipun dirantai dengan rantai emas, nescaya berulang-ulang juga ia ke tempat najis", "Manusia tertarik oleh tanah airnya, anjing tertarik oleh piringnya", "Jikalau intan itu biar keluar dari mulut anjing sekalipun, bernama intan juga", "Seperti anjing menggonggong tulang" dan sebagainya.

    Anjing seringkali dikaitkan dengan hal negatif, lemah, hina, miskin dan sebagainya dalam masyarakat Melayu.

    BalasPadam
  2. Sdr Tanpa Nama (21/10/12),

    Terima kasih kerana mengutarakan peribahasa-peribahasa yang sarat dengan persepsi negatif manusia terhadap haiwan malang itu.

    Adakah bangsa lain termasuk Cina,India,Turki,Arab, Eropah dll lagi mempunyai tanggapan yang sama atau bagaimana?

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."