Sabtu, 13 Oktober 2012

EKAU 'HANDA' PART 2 : BOLASEPAK NEGERI SEMBILAN MASIH HEBAT?


Sementara menunggu final Piala Malaysia 2012 antara ATM-Kelantan, saya mengajak anda bersantai dengan mendengar sebuah cerita penglipur lara alaf Mesi atau Christiano Ronaldo sebuah negeri di selatan tanah air. Bagaimanapun, terlebih dahulu saya mengucapkan takziah dan harap bersabar kepada penyokong Singapura X11 dan Selangor yang kecundang kepada lawan masing-masing yang lebih perkasa di peringkat separuh akhir.

Bukannya saya kurang patriotik kepada negeri asal saya, Negeri Sembilan. Selain Negeri Sembilan, hati saya juga bersama Selangor. Saya menetap, mencari makan dan berkeluarga di Negeri Selangor. Cumanya, rontonan emosi dan nostalgia memberi sedikit kelebihan kepada negeri tempat saya dilahirkan.

Sedemikian setelah Negeri Sembilan tumbang di peringkat suku akhir, sokongan saya berlalih kepada Selangor. Di dalam erti kata yang setepatnya, saya bukan beralih, tetapi bersekutu dengan putera-putera dan puteri saya menyokong pasukan Selangor. Mereka ialah penyokong tegar pasukan ‘negeri mereka’, Negeri Selangor. Oppss saya terlupa. Termasuk juga isteri saya, berasal dari Melaka,  yang pada awalnya saya tidak jelas pasukan yang disokongnya.

Sepertimana diketahui, Selangor akhirnya tumbang juga di ufuk fatamorgana Misi 33 yang tidak kesampaian.

Saya tidak irihati kepada pasukan-pasukan tempatan yang lebih hebat dari Negeri Sembilan seperti ATM. Saya bukan Si Kitol yang membuka pintu negara. Seperti anda, saya juga menyokong ATM semasa pasukan itu menentang Singapura X11. Sebenarnya saya tidak menyaksikan ‘thrill’ perlawanan tersebut kerana tidak sanggup menerima ‘kekalahan’ ATM. Saya cuma mengetahui kemenangan ATM pada keesokkan harinya melalui kawan-kawan.

Saya juga tidak sanggup menerima keadaan Piala Malaysia 2012 dibawa ke seberang Tambak Johor. Kendati pun begitu, untuk kemajuan bolasepak tempatan yang lebih sehat, saya mahu Singapura X11 menjadi Juara Piala Malaysia 2012.

Kenapa? Mungkin dengan kemenangan Singapura X11 itu akan membuka mata seluruh warga persatuan bolasepak tanah air dan pihak berkuasa betapa kerdilnya Malaysia dalam hiraki masyarakat bolasepak global. Kedudukkan ‘ranking’ kita kini menjunam ke tanggga 162!

Mutakhir ini ungkapan ‘menang sorak kampong tergadai’ sangat kerap digunakan oleh ahli-ahli politik, NGO dan penulis blog. Saya juga tidak ingin mengajak anda membenarkan ungkapan ‘menang sorak kampong tergadai’ dalam konteks kehebohan Piala Malaysia 2012 dengan kedudukkan sebenar kekuatan pasukan bolasepak negara. Teruskanlah sorakkkan kita sekuat mungkin kepada pasukan yang disokong.       

Minta maaf kerana saya seperti hilang fokus dengan tajuk asal catatan ini, iaitu cerita penglipur lara sebuah negeri di selatan tanah air:

Disampaikan, bahawa penduduk negeri itu, Negeri Sembilan, yang mempelajari ‘ilmu dalam’ dalam pengajian bolasepak tanah air tidak sedikit pun kecewa di atas kegagalan pasukan bolasepak Negeri Sembilan membawa pulang piala berprestij 2012 – Piala FA, Piala Liga atau Piala Malaysia.

Disampaikan, bahawa seorang yang tidak mempelajari ‘ilmu dalam’ hairan kerana kawannya yang mengaji ‘ilmu dalam’ itu tidak menunjukkan petanda kecewa. Dirakamkan perbualan mereka di sebuah kedai kopi di sebuah pekan kecil:

Orang A : “Tahun 2012 ini malapetaka kepada bolasepak Negeri Sembilan. Kenapa kamu kelihatan tidak kecewa. Atau buat-buat ceria untuk menenangkan hati?”

Orang B : “Relaks, relaks.”

Orang A : “ Inilah, ada pemain hebat ‘dilopehkan’ (dibiarkan pergi), Hai O, Si Kembar tu dan lain-lain. Ini namanya bodoh sombong. ”

Orang B : “Relaks.”

Orang A : “Apa relaks relaks?”

Orang B : “ Hidup ini jangan terlalu tamak. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah. Kita (Negeri Sembilan) telah merasa nikmatnya bermain di final Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut – 2009, 2010 dan 2011. Berilah peluang kepada pasukan lain bermain di final pada tahun ini.”

Orang A : “Kelantan pun tiap-tiap tahun masuk final dan jadi juara. Tidak kiralah samada FA, Liga atau Piala Malaysia. Tahun ini mungkin juara ‘treble’.”

Orang B : “Itu hal Kelantan. Jangan pedulikan. Kita negeri beradat. Kita bukan sahaja perlu beradat sesama kita tetapi juga dengan orang lain.”

Orang A : “Kalau itulah fahaman kamu, redalah kalah dan menerima aib tanpa menghisab diri. Kita ‘melopeh’ (melepas) dengan ‘tangan kosong’ tahun ini.”     

Orang B : “ Itulah, kalau saya tuduh kamu tidak mengaji ‘ilmu dalam”, kamu marah. Kamu perlu tahu bahawa 6-7 tahun kebelakangan ini, pasukan bolasepak Negeri Sembilan tidak pernah pulang dengan tangan kosong. Tidak kiralah samada juara atau naib juara. Saya turunkan rekod Negeri Sembilan 4 tahun kebelakangan:

2009 : Juara Piala Malaysia

2010 : Naib Juara Piala Malaysia dan Juara Piala FA

2011 : Juara Piala Malaysia

Orang A :  Tahun 2012? Melopeh!”

Orang B : “Kita Juara Piala Sumbangsih.”

Orang A : Piala Sumbangsih pun ambil kira juga kah?

Ujang Kutik yang mencuri dengar perbualan itu tersenyum lebar. Membenarkan kata-kata Orang B!

4 ulasan:

  1. Ujang kutik,

    ahahahaha,...

    Secara automatik nye penyokong Selangor akan memilih pasukan ATM untuk di berikan sorakan sokongan.

    Dan bagi penyokong NS pasti lah juga kepada ATM kerana si kembar berada di pasukan itu, si kembar masih lagi sinonim kepada NS..

    Ape2 pun...majulah sukan untuk negara.

    BalasPadam
  2. Sdr theolrascal,

    Ingatan kepada yang menang:

    Kok bertaring jangan mengerkah,
    Kok bertaji jangan mengepak.

    2013 kita jumpa lagi!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Assalam Sdr. Ujang..,

      ser setuju bonar tu wageh....

      hehehehe...

      Padam
  3. Sdr azmnor,

    Waalaikomsalam.

    Bagaimanapun, tahun dopan N9 mesti menyediakan pasukan yang mantap.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."