Rabu, 10 Oktober 2012

SANG HALIMUNAN: JUJUR, CEKAP, MENEPATI MASA, SANGAT RIGID


SEJAK beberapa bulan kebelakangan ini, saya dibebani oleh dua pakej wifi dari syarikat internet yang sama. Ini berlaku kerana sikap sambil lewa dan ‘minda di bawah pohon ketapang’ yang ‘menyindrom’ (bolehkah saya gunakan perkataan ini?) saya.
Kalau ada pakar bahasa yang secara tidak sengaja terbaca blog ini, saya minta maaf. Di ketika zaman saya membesar dan menjadi dewasa, sindrom merosakkan bahasa belum lagi berputik. Kini, kita secara umumnya tidak lagi ambil peduli mengenai untung nasib bahasa ibunda. Ungkapan-ungkapan seperti  “ I, You, So, We all, Kitorang dan berpuluh-puluh ungkapan perosak lagi dengan sewenang-wenangnya diucapkan oleh anak-anak bangsa di majlis-majlis rasmi dan termasuk juga oleh juruhebah di setesyen radio/tv kerajaan dan swasta. Tiada pihak yang memantau dan ‘marah’.   
Sebenarnya, saya telah ada wifi sendiri sebelum anak saya menambah satu lagi yang digunakannya ketika menuntut di Shah Alam. Sepatutnya kami memulangkan semula salah satu daripada wifi itu dengan segera kerana tidak digunakan sepenuhnya.
 
 
Kerana  ‘tidak tahan’ dengan bebanan dua bil , saya terpaksa menggagahkan diri menghubungi syarikat internet untuk menamatkan salah satu perkhidmatan. Pada mulanya agak merimaskan kerana dipaksa mematuhi arahan demi arahan oleh Sang Halimunan, ‘Mesin Bercakap’. Ketika Sang Halimunan berehat pula, lebih lima puluh peratus masa keseluruhan ‘diperkosa’ oleh iklan-iklan yang tidak diperlukan. Seiring itu, bil telefon terus dijana dengan lajunya….
Namun demikian, urusan juga dibantu oleh kudrat manusia yang sangat minima. Saya dijanjikan bahawa permohonan akan diproses dan seterusnya diselesaikan dalam tempoh tertentu.
Selain itu, saya berurusan dengan Sang Halimunan samada yang boleh bercakap atau bisu– arahan yang diformat, sms, e-mail.
Seterusnya saya diarahkan oleh Sang Halimunan untuk menyerahkan kembali apa (alatan) yang patut diserahkan semula kepada agen di Ampang Park, Kuala Lumpur. Walaupun ada sedikit ‘songeh’ oleh manusia yang dilantik sebagai agen syarikat itu, urusan dapat diselesaikan dengan jayanya.
Anggapan awal saya bahawa syarikat internet itu mungkin akan melambat-lambatkan atau menyukarkan urusan pembatalan langganan sangat jauh meleset. Urusan dilakukan secara professional. Tiada sesiapa yang dianiaya atau ditipu.  
Hakikatnya, hampir setiap denyut kehidupan kita hari ini disua dengan Sang Halimunan. Sang Halimunan bukan sahaja sangat berkuasa di sekitaran lembah, gurun, gunung-ganang, angkasa dan lautan maya tetapi juga sangat berintegriti; Jujur, cekap, menepati masa dan sangat rigid. Sang Halimunan, termasuk yang tidak dinyatakan dalam catatan ini, sangat membantu. Manusia seperti tidak boleh bergerak tanpa mereka! 

2 ulasan:

  1. ujang kutik.

    wa setuju sangat2 ...ekeke

    BalasPadam
  2. Sdr theolrascal,

    Kita pun berkawan secara halimunan.He..he.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."