Selasa, 30 Oktober 2012

SELAMAT JALAN, KAWAN......


Kawan

usah ambil hati

warkah lara tidak diundang itu

kerana jadiannya

janaan ayat-ayat papan kekunci

yang diatur cara.

 
Kawan

usah endah dendam

perencana gugus-gugus ayat  lara itu

manusianya

sepicing pun tidak tersisa.

 
Kawan

usah juga dambakan sesiapa

titis-titis air mata setiakawan    

sumurnya sahabat

bukan yang berkelilingan.

 
Kawan

di usia kita

usah disihir kebarangkalian

natijah satu babak kehidupan

kan telah lama kita khatam

menghadam maaf

memadam dendam.

 
Selamat jalan, kawan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."