Ahad, 28 Oktober 2012

LAMUNAN SEORANG AYAH

Dua orang putera dan seorang puteri ku,



Jajaran bukit-bukau menghijau, itu sahabat. Sejuk dingin air dari gunung, itu sumur mandian. Laungan cikah, ungka, kera, beruk, siamang, itu senandung senja. Mengintai serindit, punai, merbah, tekukur, murai batu, pipit uban, tempua, nekut, itu keasyikkan masa lapang. Menjejak lubuk puyu, sembilang, limbat, baung, haruan, sebarau, itu lambang kedesaan. Melambai gugusan kelawar di angkasa balik ke sarang, itu setiakawan. Hamparan sawah padi yang menguning, itu fenomena alam pedalaman.

Entah di mana silapnya, semua itu tidak ada lagi di sekeliling. Tiada lagi meranti, berlian, tembusu, ketapang, binjai, mengkudu, berangan, kerdas menjajar rimba. Air dari gunung yang menghilir ke lembah tidak lagi sejernih dahulu. Cikah, ungka, kera, beruk, siamang tidak lagi bersahut-sahutan di hujung kampung. Serindit, punai, merbah, tekukur, murai batu, pipit uban, tempua, nekut telah jauh dari kita. Puyu, sembilang, limbat, baung, haruan, sebarau telah entah di mana. Kelawar tidak lagi bersarang di gua baruh. Tiada lagi orang berzakat padi. Tiada lagi orang kenduri dan menepat janji selepas musim menuai padi.

Dua putera dan seorang puteri ku,

Bukan dosa kamu kerana tidak terkesan dengan lamunan masa silam ayah. Itu bukan salah kamu. Cumanya, ayah  kasihan kerana kamu tidak berpeluang meneruskan sinambung suatu pengalaman yang sangat mengasyikkan dan mengesankan.Sesuatu yang tidak dapat diceritakan kepada anak-anak kamu. Itu kekurangan kamu. Itu kelebihan ayah.

kampong chengkau ulu
28/10/2012     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."