Rabu, 14 November 2012

DI BAWAH KETIAK KEUARGA


Seorang pemuda Cina, memperuntukkan masa malamnya memberi makan anjing-anjing terbiar di sekitar kota. Apabila ditanya dia memberi alasan, “ Saya meneruskan sesuatu yang pernah dilakukan oleh mendiang ibu saya ketika hidupnya.”

Seorang peserta peraduan memancing tegar, sanggup meninggalkan anak dan isteri saban malam minggu kerana tarikan di kolam memancing. Dia masih belum memenangi sebarang pertandingan lagi. Hatta, hadiah sagu hati pun tidak pernah dapat. Dia ada alasannya berbuat demikian.

Begitulah juga seorang peminat karaoke pro/separuh masa yang akan melayan minatnya itu pada setiap kesempatan yang ada. Dia ada alasan.

Termasuk juga seorang peminat tegar perlawanan bolasepak samada domestik atau luar negara. Dia ada alasan sehingga sanggup bersengkang mata yang ada kalanya sampai ke pagi.

Termasuk juga seorang kaki nombor ekor/judi. Dia ada alasan.

Berikutnya, ialah golongan yang agak besar khalayaknya. Mereka bukan orang yang suka berkaraoke, bukan kaki judi, bukan peminat bolasepak tegar atau bukan kaki peraduan memancing. Mereka ‘orang baik-baik’. Cumanya mereka ini saban masa berada di bawah ‘ketiak keluarga’. Mereka tidak pernah ambil tahu hal yang tiada kaitan dengan keluarga masing-masing. Ada di antara golongan ini yang rajin ke surau. Ada juga yang jarang-jarang menjenguk tangga surau/masjid.

Di sebalik contoh-contoh yang dinayatakan di atas, ada segolongan manusia yang memperuntukkan kehidupannya kepada kerja-kerja agama. Diantaranya ialah:

Ada orang yang hidupnya diisi dengan membantu orang miskin dan anak-anak yatim. Dia yakin dengan alasan yang tentunya bersandarkan kehendak agama. Berhabis dia!

Juga, seorang yang memperuntukkan hidup dan matinya ke arah jalan dakwah. Dia ada alasan dan keyakinan kukuh yang tidak dapat dicapai oleh orang lain. Bersungguh-sungguh dia!

Semua orang ada sebab yang meyakinkan diri masing-masing untuk melakukan sesuatu yang mungkin dianggap tidak mendatangkan berfaedah atau tidak sanggup dilakukan oleh orang lain.  

Apa masalahnya?  

Jangan bertanya secara sebarangan mengenai ketagihan seseorang melayan ‘hobi’ masing-masing. Misalnya, jangan bertanya mengenai Jumaah Tabligh kepada kaki karaoke tegar. Dia akan menjawab kumpulan itu dari planet lain yang tidak perlu didekati. Bahaya.

Sehubungan ini, jika ingin bertanya atau hendak memberi nasihat, lakukanlah dengan cerdik! Khususnya kepada kawan-kawan kita di para 2,3,4 dan 5 itu, kita mungkin ada sedikit kelebihan untuk menolong atau ' mencerahkan ' mereka.

Juga, cubalah dekati kawan kita di para 1 dengan berhemah. Mana tahu, dia akhirnya akan dalam saf yang sama dengan kita. Besar ganjarannya.
Bagaimanapun, kalau asyik di bawah 'ketiak keluarga' sahaja, kita tidak akan berbuat apa-apa!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."