Isnin, 12 November 2012

EKAU BUEK MALU OGHANG GHOMBAU


Itulah yang pertama dan terakhir saya dan keluarga singgah di warung tepi Sungai Rembau yang indah itu. Ini janji kami sekeluarga. Serik dan menyampah!

Saya dan keluarga telah bercadang beberapa kali hendak singgah menjamu selera di salah sebuah warung di tepi  Sungai Rembau. Akhirnya hajat tersebut berjaya dilunaskan ketika dalam perjalanan balik ke Ibu Kota selepas Hari Raya Haji baru-baru ini.

Kami sampai di situ lebih kurang jam 2.00 petang. Ketika itu pelanggan tidaklah ramai sangat. Kami mengambil tempat berhampiran juru wang. Di atas meja makan yang kami duduki telah menunggu pinggan mangkuk yang masih belum dikemaskan.

Biasa dengan layanan klas satu restoran mamak, kami menunggu pelayan mengambil pesanan. Setelah menunggu hampir 10 minit, tiada sesiapa yang datang. Saya pergi ke tempat pekerja pembuat air untuk membuat pesanan. Kata pekerja itu, “ Saya buat air sahaja.” Saya menahan marah. Saya kembali semula ke tempat duduk. Masih tiada sesiapa yang datang. Semua pekerja warung dengan air muka mencuka sibuk dengan tugas masing-masing. Dua puluh minit berlalu.

Saya pergi pula ke kaunter (mungkin anak taukeh) yang jaraknya sangat dekat dari tempat kami duduk. Dia nampak kami datang dan duduk tercegat di situ. Dengan nada suara yang agak tinggi saya membuat pesanan. Pesanan sampai 15 minit kemudian.

Kami meninggalkan warung itu dengan rasa amarah dan dendam.

Dalam perjalanan ke kereta saya nampak, Presiden CEUPACS, Dato’ Omar Osman dan keluarga duduk di salah sebuah meja di warung itu. Saya lihat beliau duduk tersandar menghadap ke arah Sungai Rembau. Mungkin sedang menunggu pelayan atau sedang menunggu makanan yang telah dipesan. Mungkin juga  beliau sedang merancang sesuatu untuk kebaikan pekerja-pekerja perkhidmatan awam. Kalau beliau duduk berhampiran laluan saya ke kereta, saya bercadang hendak bersalaman. Saya akan ucapkan, “ Tahniah Dato’, Dato’ membanggakan anak-anak Rembau.”

Cerita di warung itu tamat.

Namun demikian, semasa dalam perjalanan ke Jasin, Melaka dengan menaiki kereta kawan baru-baru ini saya bercerita mengenai pengalaman ‘pahit’ ketika singgah di warung tepi Sungai Rembau. Belum lagi habis saya bercerita, kawan sedaerah saya itu dengan penuh emosi dan amarah yang amat sangat meluahkan perasaan tidak puas hatinya ketika turut singgah di warung itu. Malah dia dalam keadaan setengah histeria kerana tidak ‘diapekkan’ (tidak dipedulikan), mengamuk dengan mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada tuan punya warung. Dia dan keluarganya meninggalkan warung itu tanpa membuat pesanan! Tidak mengapalah, dia meninggalkan warung itu dengan gah kereta ‘merc’ milik isterinya. Sekurang-kurangnya sikap panas barannya dapat diselaraskan dengan penampilan sebagai ‘orang kaya’ yang meyakinkan.

Insiden ini berlaku kerana peniaga warung mengabaikan perkara asas yang sebenarnya bukan isu besar atau susah. Susah sangatkah senyum kepada pelanggan dan bertanyakan makanan yang hendak mereka pesan? Ekau buek malu oghang Ghombau! Ekau memang memalukan oghang Ghombau. Ini bukan cagho kito oghang Ghombau yang beradat. Ini sombong bodoh namanya!

                  

4 ulasan:

  1. Ujang Kutik,

    Reaksi bagaimana yang harus saya berikan selain tersengeh..

    ngeeeee...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      Ya, ini sekelumit pengalaman diri di daerah sendiri.Banyak lagi yang indah-indah.....He...he..

      Padam
  2. assalamualaikum En. Ujang,
    ni kedai yang kat tengah sawah selepas pekan Rembau tu ko? beberapa tahun dulu saya dan keluarga pernah singgah sebab nak makan cendol. tapi masa tu service ok je. kalau betul apa yang En. Ujang cakap tu, memang memalukan oghang Ghombau lah.

    BalasPadam
  3. Juana,

    Waalaikumsalam.

    Untuk berlaku adil mungkin saya dan kawan se daerah saya (kita) (Orang Kg.Gadung)datang ke warung berkenaan pada masa dan suasana yang tidak sesuai.

    Nota: Saya tidak khususkan warung yang mana satu.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."