Rabu, 19 Disember 2012

DARI JAM 7.00 HINGGA 10.00 MALAM (19/12/12)

Sebenarnya tidak ada perkara besar yang saya lakukan pada hari ini dari jam 7.00 hingga 10.00 malam. Kalau ada pun hanya perkara-perkara kecil yang mungkin remeh-temeh pada pendapat sesetengah orang:
 
Perkara Satu - Patutkah Saya Menolong?
 
Ketika mengikuti kuliah maghrib di masjid saya sengaja duduk di luar dewan solat kerana badan kurang selesa. Saya ternampak seekor kelkatu sedang meronta-ronta di atas lantai kerana digigit oleh 4 ekor semut kecil. Saya menolong kelkatu itu melepaskan diri dari menjadi habuan makanan sang semut. Kelkatu itu bernasib baik dan terbang bebas.
 
Renungan : Perlukah saya menolong kelkatu itu kerana dalam masa yang sama menafikan usaha dan kerja keras sang semut untuk mendapatkan makanan?  
 
Perkara Ke-2 - Ada Duit Tetapi Tidak Dapat Bersedekah 
 
Saya pergi ke masjid membawa satu keping wang RM50. Biasanya saya cuma membawa dua tiga keping wang RM1.00 sahaja untuk tabung masjid. Ketika tabung diedarkan saya tidak dapat memberi sumbangan kerana wang saya besar sangat.
 
 Kebetulan ketika solat sunat ba'diah Isyak, saya solat berhampiran peti besi masjid. Ketika berdoa saya terlihat seorang jumaah memasukkan sekeping nota RM50 ke dalam peti besi masjid. Saya mengagak dia orang kaya dan berkereta mewah ke masjid. 
 
Ketika bertembung di tempat letak kereta saya dapati keretanya diletakkan di sebelah kereta saya. Keretanya biasa-biasa sahaja.
 
Renungan : Lebih (banyak) wang tidak semestinya kita boleh bersedekah lebih dari orang yang kekurangan wang.
 
Perkara Ke-3 - Cina Singapura (dan etnik Cina Malaysia) Tidak Pandai Bermain Bolasepak Lagi?
 
Sesampai di rumah saya sempat menyaksikan perlawanan bolasepak merebut Piala AFF Suzuki 2012 di antara Singapura-Thailand di saluran Astro. Saya dapati tidak ada seorang pun pemain pasukan bolasepak Singapura dari etnik Cina. (Pasukan bolasepak Harimau Malaya pun tiada pemain dari kalangan etnik Cina).

Nota : Quah Kim Song ialah pemain Singapura yg digeruni/segani suatu ketika dahulu. Di Malaysia juga ramai termasuk menjadi 'The Legend' - antaranya; Chow Chee Keong, James Wong dan Datuk Soh Chin Aun.
 
Renungan : Orang etnik Cina samada di Singapura atau Malaysia tidak lagi minat bermain bolasepak?
  
  
 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."