Selasa, 18 Disember 2012

MOHD NIZAM ABDULLAH : 'THE SPECIAL ONE'


 
Lebih kurang jam 11.00 pagi, Ahad (16/12/12), saya dan isteri mendengar orang memberi salam. Saya membalas salam dan menuju ke arah pintu besar rumah. Saya terkejut. Tetamu yang tidak disangka, Mohd Nizam bin Abdullah telah berada di hadapan mata. Dia datang bukan seorang, tetapi berdua.

Saya mempersilakan pasangan itu masuk ke dalam rumah. Tanpa pengetahuannya, saya segera membatalkan hasrat kami hendak berjalan-jalan dan seterusnya membeli ikan segar di Kuala Selangor.  

“Saya sengaja tidak beritahu Brahim hendak datang,” katanya ketika melangkah masuk ke dalam rumah. “ Saadiah apa khabar?” Dia menegur isteri saya yang menunggu di ruang tamu.

“Khabar baik,” jawab isteri saya dengan penuh ceria.

Itulah Mohd Nizam, seorang mualaf keturunan India yang telah menganut agama Islam lebih 30 tahun yang lalu. Dia seorang yang sangat peramah. Perhubungan kami agak rapat sejak sekian lama, iaitu sejak anak-anak masih kecil sehinggalah arwah isterinya meninggal dunia kira-kira 4 tahun yang lalu. Saya mengenalinya kerana isterinya kawan baik isteri saya.  

Ketika anak-anak masih kecil juga kami dengan keluarga masing-masing pernah berkelah bersama ke tempat-tempat perkelahan dan bercuti sehingga ke Kuala Terengganu.

Mohd Nizam pesara PKNS, 66 tahun , memperkenalkan isteri yang baru dikahwininya kira-kira sebulan yang lalu.Dia meminta maaf kerana tidak memberitahu kami yang dia telah berkahwin lagi. Rumahnya di Lembah Keramat cuma lebih kurang 15 km. sahaja jaraknya dari rumah saya di Ampang. Isteri baru Mohd Nizam , awal 50-an, berasal dari Johor Bharu dan bertugas dengan jabatan kerajaan di Cyberjaya.

Walaupun usianya telah mencecah 66 tahun, Mohd Nizam kelihatan segak dan awet muda. Katanya, dia minum sekurang-kurangnya 8 gelas air suam tiap-tiap hari. Bersama arwah isterinya dahulu, dia dikurniakan dua orang anak, Boy,31 tahun dan Jehan,20 tahun. Isteri saya menyakat, “Boy tidak kisah hendak kahwin berbanding ayahnya.” Dia menjelaskan secara berlawak, “ Kalau Boy hendak kahwin, beritahu ayahnya ini, semuanya ditanggung beres.”   

Mohd Nizam mualaf yang mempamirkan akhlak seorang Muslim yang ‘cantik’. Dia masih rapat dan intim dengan keluarga asalnya yang menganut agama Hindu. Sebagai seorang Islam, dia menghayati hidup sebagai seorang Islam yang baik. Dia solat lima waktu dalam sehari, solat berjumaah dan menghadiri kuliah agama di surau/masjid berhampiran rumahnya. Kadang-kadang dia juga berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis.  

Keluarga Mohd Nizam berasal dari Singapura tetapi bermastautin di Mambau, Seremban, Negeri Sembilan. Di Mambau, dia sekampung dan berkawan dengan pelakun Dato’ Mustafa Maarof.    

Mohd Nizam dan isterinya meminta diri hendak balik ke rumahnya ketika hampir masuk waktu solat fardhu Zuhur. Katanya, dia ada jemputan perkahwinan berhampiran rumahnya di Lembah Keramat.

Mohd Nizam bin Abdullah, “The Special One”. Sinambung persahabatan saya dan keluarga dengannya umpama satu amanah yang pertanggungjawabkan oleh arwah isterinya yang begitu baik dengan keluarga kami ketika hayatnya. Al-fatihah.

2 ulasan:

  1. As-salam
    Seronoknya ada kawan yang sudi menziarahi kita, malahan pada waktu yang tak kita sangka-sangka. Semoga persahabatan yang mulia itu berpanjangan.

    BalasPadam
  2. Sdr Temuk,

    Waalaikomsalam.

    Saya juga sangat berbesar hati menerima tetamu yg sangat tidak disangka iaitu saudara. Semoga kita tidak berhenti setakat ini sahaja.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."