Ahad, 16 Disember 2012

KELANTAN, SISI YG SAYA BOLEH BERCERITA (BAB DUA) : NASI LEMAK


Suatu ketika dahulu, Kota Bharu, Kelantan bukan tempatnya kepada peminat nasi lemak tegar. Susah hendak mendapatkan nasi lemak di sini. Kalau ada pun, rasanya tidak memenuhi selera orang bukan Kelantan ( orang luar). Peniaga makanan di Kota Bharu hampir semuanya menyediakan menu makanan tempatan Kelantan – nasi kerabu, nasi dagang edisi Kelantan, nasi berlauk,lauk itik serati, nasi berlauk, ayam percik dan beranika makanan tempatan lagi yang saya tidak tahu namanya. Makanan-makanan tersebut boleh diperolehi samada siang atau malam. Mengikut ceritanya, makanan nasi berlauk yang mengandungi nasi putih berlaukkan ikan tungkul dimasak kuning dengan timun, asalnya adalah makanan penduduk kampung yang susah sebelum mereka turun ke bendang, ladang atau laut.

Walaupun aura nasi lemak masih agak asing  di bumi Kelantan , saya melihat ada sedikit anjakan ke atas cita rasa orang Kelantan mutakhir ini, khususnya di Kota Bharu.  Di Kota Bharu, atau tepatnya di Jalan Kota Bharu – Kuala Krai (tidak jauh dari Pejabat RISDA) telah ada sebuah restoran yang menu tunggalnya ialah nasi lemak. Restoran yang beroperasi dari pagi hingga tengah hari ini diuruskan secara moden dan sistematik – kaunter bayaran berkomputer , layanan mesra dan cekap serta ruang makan yang selesa dan bersih.

Berbeza dengan makanan nasi lemak di Ibu Negara yang memasukkan sambal, lauk dan nasi di dalam satu pinggan, hidangan nasi lemak di sini mengasingkan sambal dengan nasi. Kalau kita pesan nasi lemak sotong, kita akan dihidangkan dengan se pinggan nasi lemak dan se piring kecil sotong yang telah dipotong berserta sambalnya. Begitulah juga kalau kita pesan nasi lemak ikan bilis – sambal ikan bilis dihidangkan dalam piring kecil. Selain sambal sotong, sambal ikan bilis, telor mata kerbau, restoran ini juga menyediakan variasi lauk pauk yang lain termasuk ayam goreng.   

Perlukah saya mempromosi secara percuma restoran itu?

Tidak mengapa, demi kemudahan para musafir dari luar Kelantan yang rindukan nasi lemak ketika di Kota Bharu dan juga untuk kebaikan restoran itu ( semoga tuan punya restoran dan stafnya taat mematuhi perintah Allah), saya nyatakan nama restoran itu – RESTORAN NASI LEMAK BERSINAR.
Saya ialah peminat nasi lemak tegar. Pada saya nasi lemak di restoran ini sedap! Anda mungkin boleh mencubanya apabila berada di sini. 

7 ulasan:

  1. ujang kutik,

    teringat pulak saya akan pantun melayu kelasik..

    Nasi lemak buah bidara
    sayang selasih hamba lurutkan;
    Buang emak buang saudara
    kerana kekasih hamba turutkan

    alahaii..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      Alahai....

      Pantun itu evergreen....

      Padam
  2. IM tidaklah tegar dengan nasi lemak sebaliknya cucok kodok...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr IM,

      Nasi lemak orang utara ada rempah ratus kayu manis.

      Saya tabik dengan sdr. Sambil-sambil banyak juga kerja sukarela yg saudara lakukan...Termasuk untuk sdr kita di Gaza.

      Padam
  3. bagaimana pula hidangan di Terengganu?

    BalasPadam
  4. Tuan Al-Manar,

    Saya catatkan 'Nasi Dagang Edisi Kelantan'dlm catatan itu kerana 'Nasi Dagang Edisi Terengganu' di klasnya sendiri.

    BalasPadam
  5. Terima Kasih Tuan Ujang Kutik kerana mempromosikan NLB.
    Memang Hukum Alam semua ciptaannya telah sempurna maka tiadalah hendak kita komen apa-apa kerana ciptaanya telah siap sempurna mahupun cacat sekalipun ianya telah sempurna dengan hikmah yang tanpa kita ketahui. Teruskan dengan penulisan Tuan Ujang. W.s

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."