Khamis, 14 Mac 2013

anak rembau (negeri sembilan) : dilema perantau

Sebuah Warung Di Jalan Besar Rembau-Tampin Berhampiran
Kediaman Peribadi Allahyarham Undang
Luak Rembau Yang Terdahulu

Ketika catatan ini ditulis saya berada di daerah asal usul, Rembau. Biasanya, saya menjadi sedikit ‘tidak ketentuan’ apabila berpeluang mengakrab semula daerah asal usul.

Seorang rakan blogger mendefinasikan tabiat tersebut sebagai sesuatu yang normal bagi golongan dewasa. Golongan itu merasa seronok, asyik,  dan mudah terangsang untuk mengimbau sejarah atau kenangan masa lalu. Acapkali juga perkara-perkara yang diimbau adalah kisah-kisah yang telah dikitar berulang kali.

Bagi mereka (golongan dewasa), masa seperti tidak pernah berganjak. Kalau imbauan itu mengenai pengalaman di zaman anak-anak, mereka yang telah lanjut usia itu masih merasakan berada di zaman anak-anak, suatu zaman yang telah berlalu berdekad-dekad lamanya.

Saya meninggalkan daerah kelahiran dalam usia muda kerana merantau ke Ibu Kota setelah usai sekolah di daerah sendiri. Walaupun selalu balik ke kampung halaman, perjalanan masa menyebabkan satu demi satu ‘milik ekslusif’ anak jati sebuah kampung pedalaman terlepas dari genggaman.

Di antara yang terhilang ialah ‘ keindahan berkomunikasi ’ dialek Rembau (Negeri Sembilan) asli dan aura di sebuah perkampungan pedalaman.

Saya menjadi pengamat dialek asli daerah Rembau (Negeri Sembilan) ketika singgah di sebuah warung di Pekan Kota. Berhampiran meja saya ada sekumpulan tiga orang dewasa seusia saya yang sedang asyik berbual.  Kedua-dua cuping indera dengar saya mencuri-dengar buah butir perbualan mereka yang sarat dengan ungkapan-ungkapan klasik dialek Rembau (Negeri Sembilan). Suasana, liuk lintuk , intonasi dan diadun pula dengan ungkapan-ungkapan yang tegar dengan identiti dialek Rembau (Negeri Sembilan) asli begitu mengasyikkan – olek (kenduri besar seperti majlis perkahwinan), jo-be (kemegah-megahan), pelaso (malas), menyinggah (mendapat), nonggok (duduk), kotai ( tua – biasanya bujang tua), mengecal (mencari ikan di sungai/anak air), kayu akar ( kerja gotong-royong sebelum majlis perkahwinan) mencari petai di hutan (amalan yang sinonim dengan kehidupan di kampung), tengair (sungai/anak sungai) dan lain-lain . 

Semuanya itu telah agak jauh dan asing dari kehidupan seharian saya .

Isteri saya berasal dari Masjid Tanah, Melaka. Penduduk Masjid Tanah bercakap dialek Negeri Sembilan. Walaupun pada asasnya percakapan harian kami dalam dialek Negeri Sembilan, keaslian dialek itu secara tidak disedari telah menyimpang dari dialek Negeri Sembilan yang asal. Banyak ungkapan-ungkapan klasik atau ‘purba’ Negeri Sembilan tidak lagi digunakan. Ini tidak dapat dielakkan kerana pengaruh persekitaran dan juga khalayak.

Situasi ini diburukkan lagi oleh anak-anak yang menggunakan bahasa standard ‘ Orang Kuala Lumpur ’ semasa berkomunikasi antara ibu/bapa dan anak-anak. Walaupun kadang kala mereka cuba berkomunikasi dengan kami dalam loghat Negeri Sembilan, bunyinya tersangat janggal.

Senario ini bukan berlaku kepada saya sahaja secara terpencil. Senario ini dialami oleh kebanyakkan perantau. Cuma, mungkin mereka tidak menyedarinya atau tidak kisah.

Sesungguhnya, itulah kehidupan, ada yang kita dapat dan ada yang 'terhilang'. 

4 ulasan:

  1. bang ,, sememang org org Ghombau dan Nismilan JO BO,,, tak mcm org Ganu n Kolantan sorto kodah !! mereka akan guna kan loghat mereko hinggo akhir hayat !! tak caya cubo abg tengok kawankawan opis abg yg berasal dari Kodah Kolantan N Ganu !! dan tengok diri abg sendiri pulak mcm mano heheheh ..... Jgn Mara yo bang !!

    BalasPadam
  2. 'Ghalibnyo' lidah oghang nogoghi pun tak dapek diubah. Tengoklah YAB MB kito..

    Kok cakap kolumpur pun, lidah nogoghi tak dapek disorokkan..Lagi satu oghang nogoghi suka letakkan pelekat Negeri Sembilan di kereta masing-masing. Itu tandonyo banggo dengan nogoghi sendiri.

    Pak Oncu, bilo lai nak all out pasang bendera? Seciput saja nampaknya...

    BalasPadam
  3. Eden oghang Tontango (Titian Bintangor). Sekolah Astano Rajo (1968-1971). Ghuru Bosa maso tu Cikgu Ramadhan yang gaghang.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tuan Haji Muhammad Zakaria,

      Terima kasih kerana ziarah blog ese.

      Zaman dulu Sek.Kebangsaan Astana Raja dan Sek.Kebangsaan Chengkau (sekolah ese) adalah sekolah yang mempunyai pasukan bolasepak yang kuat. Tahun 1966 Sek.Keb.Chengkau kalahkan Astana Raja di padang Sek.Keb.Astana Raja (1-0) untuk menjadi Juara Sekolah-Sekolah Rembau Selatan.Tuan Haji belum sekolah lagi masa itu.

      Mungkin Tuan Haji sebaya dengan Arif (Pegawai RISDA) yang kini menjadi bos RISDA di Muar.

      Selamat berkenalan.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."