Khamis, 21 Mac 2013

ANAK

Nombor Satu saya; Lelaki, telah tamat pengajian, telah bekerja, telah bertunang. Dia juga masih sanggup ‘bersusah payah’ berkejar melebihi 40 km dari Ampang - UITM Shah Alam selepas waktu pejabat, 3 hari/minggu, untuk cuba mendapatkan sesuatu yang diingini @ sesuatu yang belum selesai lagi dalam destinasi hidupnya . Ianya bukan sesuatu yang mudah terutamanya di kalangan mereka yang bekerja di sektor swasta.

Pun demikian, ini bukan kejaran terakhir. Ada satu lagi kejaran penamat dalam disiplin pendidikan duniawi selepas ini (jika dia mahu). Walaupun tahap itu sangat sukar mehnahnya, ianya berbaloi dalam menobatkan kemuncak atau ibu kepada kecerdikan seseorang. Tidak ramai yang sampai ke tahap itu.

Semoga dia tabah dan berjaya.

Nombor Dua saya, juga lelaki, telah tamat pengajian, tidak bekerja @ penganggur. Tepat pada hari ini, 21 Mac 2013, dia secara rasminya telah 2 bulan 21 hari berstatus seorang penganggur. Pernah menghadiri temududuga, tetapi masih belum ada rezeki lagi. Dia masih belum dapat menuai hasil dari penat lelah belajar selama lebih kurang 18 tahun.

Nombor Dua saya ini bukannya seorang pelajar pintar. Suam-suam sahaja. Namun, dia bernasib baik kerana mendapat biasiswa di peringkat diploma. Di peringkat ijazah pula dia mendapat pinjaman MARA. Kerana duit poket pinjaman MARA dikira lebih lumayan berbanding pinjaman PTPTN, dia boleh belajar dengan selesa.  

Siapa lagi hendak memuji anak, kalau bukan ibu,bapa, datuk... Nombor Dua saya ini telah termaklum sebagai seorang yang pandai mengurus wang. Kadang-kadang boleh dikategorikan kedekut, bakhil, genggam tidak tiris. Dia tidak pernah meminta saya membelikannya ‘lap top’ seperti yang dilakukan oleh pelajar lain. Bagaimanapun, dia ada ‘desk top’yang dibeli sendiri.

Walaupun berstatus remaja yang tidak mempunyai pendapatan selama 2 bulan 21 hari, dia yang aktif ber ‘Hu- Ha’ seperti remaja lain, belum pernah lagi meminta wang dari saya atau abangnya. Saya pernah bergurau untuk melihat akaun banknya. Dia cuma tersenyum. Saya mengagak dia ada sedikit simpanan yang dirancangnya untuk menghadapi alam menganggur. Bagaimanapun, sebagai seorang ayah yang menyedari anaknya menganggur, saya memberinya wang saku dari masa ke semasa.   

Saya masih belum menampakkan kegundahan @ kegusaran. Saya juga tidak nampak dia susah hati kerana belum mempunyai pekerjaan. Sebaliknya, tubuhnya semakin berisi kerana ‘ Makan Tanggung, Berak Cangkung’.

Mengikut pengalaman sendiri dan rakan-rakan, ibu/bapa ‘bolehlah’ merasa gundah sedikit apabila anak-anak masih tidak mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian. Ini norma yang tidak didendang.  

Namun, walaupun masih belum bekerja, ibu rakannya semasa belajar telah mula mengacah, “ Bila hendak masuk merisik? ”

“ Wahai bakal besan, sabar dahulu, anak kami belum bekerja lagi. Kami hendak merasa hasil titik peluh yang telah dicurahkan terlebih dahulu.” He..he. Kami bergurau. Jangan takut, kalau ada jodoh tidak ke mana. Ini janji kami.

Seperti yang saya nyatakan, saya belum gundah @ gusar lagi. Namun, andainya keadaan berlarutan ( semoga tidak akan berlaku), saya tidak akan mampu mengabaikan perasaan gundah @ gusar. Ketika itu saya mungkin tidak malu bertanya dan merayu kepada kenalan, saudara mara, individu yang berkedudukkan/berpengaruh atau sesiapa sahaja, “ Ada kerja kosong untuk anak saya? Ada kerja kosong untuk anak saya? Ada kerja kosong untuk anak saya?

Anggaplah ungkapan-ungkapan di atas yang ada di antaranya sedikit lucu atau sedikit berlebihan sebagai bahan atau rencah untuk menyeronokkan pembacaan  catatan ini.

Sesungguhnya, sebagai seorang Islam, kita WAJIB yakin bahawa rezeki itu datangnya dari Allah. Setiap orang itu ada rezekinya sendiri. Itulah keyakinan kita. Keyakinan saya juga.
 

6 ulasan:

  1. “ Wahai bakal besan, sabar dahulu, anak kami belum bekerja lagi. Kami hendak merasa hasil titik peluh yang telah dicurahkan terlebih dahulu.”

    alahaiii...ahahaha
    kalau saya...saya pulak takut nanti anak pulang kerumah mintak beras..hehe.

    Risau nye bukan pada anak sendiri tapi pada anak orang yang akan kelaparan..ekeke.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      ' Rich daddy, Poor daddy '

      Kalau anak saya ayahnya kaya, tiada masalah. He..he..

      Padam
  2. bab cari kerja ni kekadang kelakar juga ada kekawan kat sini yang menyumpah2 kerajaan sekarang tak elok,byk korupsi,tidak mengikut islam,isteri pemimpin tak mengikut ajaran islam pakai tudung nampak jambul..dia sendiri kerja kerajaan dan nak anak2 saudara mara yang belum kerja, kalau dengar ada kerja kerajaaan sambilan/kontrak cepat2 cari lubang mintak tolong orang itu/ini seboleh mungkin nak dapatkan juga..bila ditanya kenapa tak cari kerja swasta ..tak terjamin katanya..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Tanpa Nama,

      Terima kasih kerana berkongsi pendapat.

      Peram-peram pisang
      Pisang masak layu
      Di mana kayu bongkok
      Di situ kera meniti.

      Padam
  3. Secara jujur sdr telah menulis yang berlaku - bukan untuk memuji dan meminta dipuji. Syabas.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Al-Manar,

      Sama-sama.

      Itulah yg saya sandarkan kpd ungkapan ' Kalau catatan saya berlebihan sedikit'. Saya tidak dapat lepas dari menulis yg sebenar dan dalam masa yg sama terbuka kepada tanggapan.

      Terima kasih kerana masih sudi membaca blog saya.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."