Khamis, 11 April 2013

'BURUNG PEMALAS'


Malas itu bukan tidak berbuat apa-apa, tetapi berasa bebas 
bagi tidak berbuat sesuatu (Floyd Delt)


TELOR ' BURUNG PEMALAS'
Ketika sampai di satu lokasi yang jauh di pedalaman Daerah Maran, yaani Seberang Serengkam, saya dan rakan-rakan sedikit terkejut apabila seekor burung sebesar burung tiong berwarna kelabu tiba-tiba terbang dari atas permukaan tanah. Saya tidak dapat mengenal pasti jenis burung itu kerana pergerakkannya agak pantas.

Kami menemui dua biji telor berbentuk lonjong sebesar guli kecil tergolek di atas tanah ditinggalkan oleh burung itu.

TELOR 'BURUNG PEMALAS' DARI JARAK DEKAT
Rakan saya orang tempatan berkata bahawa penduduk Maran menamakan burung itu ‘ Burung Pemalas’. Burung itu dinamakan dengan nama itu kerana sehingga hendak memasukkan makanan ke dalam mulut pun diuruskan oleh burung lain yang lebih kecil seperti kelicap dan kenalu. Dikatakan bahawa ‘ Burung Pemalas’ ‘membela’ beberapa ekor burung kecil. ‘Burung Pemalas’ akan bertindak kejam dengan mematuk burung belaannya sehingga mati jika burung-burung tersebut enggan menyuapkan makanan ke dalam mulutnya.

Arakian, saya tidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat tersebut. Saya juga tidak bertanya kepada orang tempatan Daerah Maran yang lain untuk mendapatkan info kedua. Namun demikian, saya percaya dengan maklumat rakan baru saya itu. Anda mungkin mempunyai maklumat lain mengenai burung spesis ini!

Pun demikian, 'Burung Pemalas' adalah hamba Allah juga. Allah yang menjadikan sesuatu dengan sempurna. Kekurangan sesuatu pada pandangan makhluk lain adalah kekurangan dan kelemahan makhluk lain itu sendiri yang sangat terhad jangkauan ilmunya.     

2 ulasan:

  1. Saudara Ujang Kutik.

    "Burung Pemalas".. Bila saya baca lebih dari sekali tulisan tuan kali ini, saya dapati dalam kalangan manusia pun ada yang berperangai seperti burung tersebut... Walau tidak lah sampai :
    "mematuk burung belaannya sehingga mati jika burung-burung tersebut enggan menyuapkan makanan ke dalam mulutnya ".Malah kadangkala lebih bahaya lagi... Hmmm

    BalasPadam
  2. Puan Bakawali,

    Assalamualaikom.

    Mungkin juga begini, " Aku beri kau makan, kau jangan lawan aku."

    Nota: Tugas dan tanggungjawab hakiki Si Pemberi Makan itu adalah memberi orang makan.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."