Rabu, 10 April 2013

LUBUK YU : saya sampai ke lokasi tragedi


PAPAN TANDA DI JALAN BESAR MARAN-SG.JERIK
Pada akhir bulan June, 2010, negara digemparkan dengan kematian tragis 8 orang anggota penyelamat dan sukarelawan yang mencari mangsa lemas di Hutan Lipur Air Terjun Lubuk Yu, Sg, Jerik, Maran, Pahang. Mangsa dikatakan mati kerana kesan terkena (bersentuh) air kencing tikus dan tanah yang tercemar.

Selain mangsa, sebanyak 148 orang lagi telah diberi rawatan; 56 orang adalah anggota pasukan penyelamat, 27 orang anggota sukarelawan dan selebihnya orang awam. Begitulah dasyatnya tragedi tersebut .

LALUAN KE KAWASAN REKREASI 
Setelah hampir 3 tahun kejadian itu berlaku, baru-baru ini saya berpeluang menjenguk kawasan itu. Melalui beberapa orang penduduk tempatan yang ditemui, saya mendapat tahu bahawa kawasan ‘berpuaka’ itu sewajarnya dijauhi. Saya juga difahamkan bahawa tempat itu tidak dikunjungi dalam tempoh yang lama selepas kejadian.


PERINGATAN
Saya sampai di  Hutan Lipur Air Terjun Lubuk Yu pada pukul 5.20 petang bersama dua orang kenalan penduduk tempatan yang baru saya kenali. 

Perjalanan yang memasuki simpang dari jalan besar Maran- Sg.Jerik ke lokasi mengambil masa lebih kurang 10 minit. Perjalanan dengan kereta dalam suasana mendung dan melalui kawasan-kawasan ladang kelapa sawit dan hutan yang sunyi agak menyeramkan. Kalau berseorangan atau dengan keluarga saya tidak berani ke situ.

INILAH LUBUK YU SEBENAR
Sesampai di situ saya melihat cuma ada dua orang pengunjung, yaani anak muda sedang berborak di sebuah wakaf. Saya dan rakan-rakan bersalaman dengan mereka. Saya bertanya dengan salah seorang dari mereka mengenai kronologi kejadian yang telah berlaku hampir 3 tahun yang lalu. Seperti yang saya nyatakan melalui catatan sebelum ini, “ penduduk Maran sangat ‘mesra alam’ dan sangat suka membantu.” Itulah ‘trade mark’ penduduk Maran.

LANDSKAP KAWASAN REKREASI
Dua orang anak muda itu dengan senang hati menerangkan kronologi kejadian dengan jelas. Secara ringkas ceritanya lebih kurang begini: Seorang pengunjung telah dibawa arus sungai. Beberapa orang anggota penyelamat dan sukarelawan yang terlibat dalam misi mencari mangsa lemas telah meninggal dunia di lokasi dan di hospital. Mangsa dikatakan terkena jangkitan kuman air kencing tikus dan tanah yang tercemar.

LANDSKAP 
Ada cerita yang tidak diketahui oleh masyarakat di luar Maran berkaitan tragedi itu. Ada di kalangan penduduk Maran berpendapat bahawa tragedi itu adalah balasan kerana kelekaan penduduk yang tidak ambil peduli terhadap gejala maksiat yang berleluasa di kawasan rekreasi tersebut. Kejadian itu ada adunan sebab-sebab saintifik dan mistik.   

LANDSKAP
Saya difahamkan bahawa bilangan pengunjung ke kawasan rekreasi itu telah kembali seperti sediakala. Phobia yang menghantui penduduk sekitar dan pengunjung dari luar ‘ telah habis tempoh 7 keturunan’. Sehubungan ini, dua orang anak muda tempatan itu juga meluahkan kekecewaan mereka kerana pelaku maksiat telah mula menyerbu dan membuat onar semula di kawasan rekreasi yang cantik dan menenangkan itu. 

Dikatakan bahawa 100% pemaksiat yang mencemarkan kawasan Rekreasi Air Terjun Lubuk Yu ialah orang Melayu. Memang Melayu mudah lupa!    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."