Selasa, 23 April 2013

JIRAN


Semua jiran saya di sebuah taman perumahan di pinggir Ibu Kota adalah baik-baik belaka. Mereka; Melayu, Cina, India dan termasuk satu keluarga keturunan Filipina.

Namun demikian, jiran di sebelah kanan rumah, adalah jiran paling istimewa. Saya yakin jiran-jiran yang lain pun sependapat dengan saya. Jiran yang seorang ini adalah seorang Melayu. Beliau seorang yang peramah, dikenali bukan sahaja oleh jiran keturunan Melayu tetapi juga oleh lain-lain kaum. Beliau yang juga bendahari masjid adalah seorang yang ringan tulang dan suka membantu.

Saya sekeluarga mempunyai lebih akses mengenai kelebihan jiran ini kerana rumahnya di sebelah kanan rumah kami. Beliau jiran terdekat saya.

Saya mengenali jiran yang berketurunan Jawa dari Batu Pahat, Johor ini sejak tahun 1979, iaitu ketika kami mula bertugas di Jabatan yang saya bertugas sekarang.  Dia yang lebih tua beberapa tahun dari saya telah bersara beberapa tahun yang lalu.

Isterinya yang berketurunan Rawa (pecahan etnik Minangkabau) berasal dari Jerantut, Pahang. Pasangan ini mempunyai 4 orang anak perempuan. Kesemua anaknya mendapat pendidikan tinggi dan mempunyai kerjaya yang baik. Kecuali puteri bongsunya seorang graduan UKM, tiga anak beliau yang lain telah berumah tangga.

Dalam banyak hal, saya dan keluarga ‘seperti bergantung’ dengan kelebihan beliau. Katakan sahaja masalah-masalah khususnya masalah teknikal; Paip air bocor, plug tidak berfungsi, talian letrik, kereta rosak, masalah alat penghawa dingin (kereta dan rumah), beliau siapa siaga untuk membantu, samada membaikinya sendiri dengan tulus hati atau mengesyorkan kaedah untuk mengatasinya.

Salah satu buah tangan beliau yang saya jaja dengan bangganya ke hulu ke hilir ialah kebolehannya membuat sambungan binaan 20’ x 10’ secara sendirian atau ‘one man show’. Saya menganggap kebolehan beliau sebagai ‘keajaipan’. Bayangkanlah betapa beliau seorang pesara kerajaan yang tidak pernah terlibat dalam kerja-kerja binaan mampu membina ‘porch’, tembok bersimen, lantai dengan kemasan jubin yang kemas, kukuh dan cantik secara sendirian.

Saya tidak dapat gambarkan di mana beliau belajar untuk membuat dua batang tiang konkrit dengan ketinggian lebih 10 kaki yang tetulang besinya ‘dianyam’ seperti yang dapat dilihat di tapak-tapak binaan. Saya tidak dapat bayangkan kudrat seorang di usia emas mampu mengangkat palang-palang kayu yang berat untuk membuat atap (genting) bangunan. Saya juga tidak pernah mengetahui bahawa dia mempunyai kemahiran membuat lantai dengan kemasan jubin yang begitu kemas.

Suatu ketika dahulu suri rumah begitu teruja membuat ‘plaster ceiling’ di rumah masing-masing dan  termasuklah isteri saya. Jiran saya ini ada datang sekali dua menjenguk pekerja-pekerja membuat kerja ‘ plaster ceiling’ di rumah saya. Tidak lama selepas kerja-kerja membuat ‘plaster ceiling’ di rumah saya siap, jiran saya membuat sendiri ‘plaster ceiling’ di rumahnya. Buatannya kemas dan cantik. Saya diberitahu bahawa kos yang beliau keluarkan jauh lebih rendah dari kos yang terpaksa saya bayar kepada pekerja Indon.

Sebenarnya banyak lagi kebolehan jiran saya ini yang saya ‘megahkan’. Antaranya, beliau juga mahir memasak sehingga boleh di bawa ke tengah seperti kenduri kendara, membuat roti canai/roti Arab segera secara komersial. Beliau juga pernah menghadiahkan saya bekas makanan kucing yang sesuai dan praktikal digunakan semasa saya balik ke kampung sehari dua.        

Di kalangan ahli keluarga saya, kami mengangkat jiran ini sebagai ‘ The Genius’. Seorang yang disenangi dan juga seorang yang tahu dalam ‘semua  (banyak) perkara’.

Setelah berpuluh-puluh tahun berjiran, perhubungan kami berjalan dengan baik, harmoni, saling hormat-menghormati dan juga saling percaya-mempercayai. Sejambak kunci rumah saya ada dalam simpanan jiran ini dan begitulah juga sebaliknya, iaitu sejambak kunci rumah beliau ada dalam simpanan saya.

Bijak pandai mengungkapkan, “ Tetangga yang baik adalah lebih baik dari kawan yang baik.” Saya sangat-sangat bersetuju dengan ungkapan ini!

2 ulasan:

  1. ujang kutik,

    Kita juga di tuntut untuk mendahalui jiran terdekat dari saudara yang jauh.

    Menjadi kelebihan yang amat apabila kita mempunyai jiran yang macam tuan ceritakan ini.

    BalasPadam
  2. Sdr theolrascal,

    Ya, saya bertuah mempunyai jiran seperti beliau.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."