Sabtu, 4 Mei 2013

05 MEI 2013 - TERUJA! (BABAK KE-2)


Sepanjang saya menyelenggara blog ‘ujang kutik’, itulah satu-satunya ulasan pelawat yang saya padamkan. Pelawat yang menggunakan nama ‘Tanpa Nama’ itu mengajak saya ‘merosakkan’ mood santai yang saya bina selama ini bersama rakan-rakan blogger separuh masa dan pengunjung lain.

Hatta, di kalangan rakan-rakan blogger yang kami sering berwacana pun tidak pernah memperlihatkan kefanatikan kepada sesuatu kecondongan politik dengan jelas. Jauh sekali memperlekehkan atau memaksa pihak lain membenarkan keyakinan kita.

Saya tidak mengetahui bahang politik pilihanraya di luar lingkungan kehidupan seharian. Namun, saya dapat rasakan bahawa rakan-rakan di sekeliling tidak ada sedikit pun masalah pergaulan dengan rakan-rakan mereka yang berbagai fahaman politik samada di pejabat, kawasan perumahan dan masjid/surau. Politik maki hamun, sindir menyindir , memaksa orang lain mengikut keyakinan kita atau bertegang leher tidak lagi mendapat tempat sekurang-kurangnya di persekitaran seharian saya. Harmoni.

Di pejabat saya ada seorang rakan yang kami nasabkan sebagai penyokong tegar kepada sebuah parti politik. Beliau menggunakan istilah ‘ Bapa Tiri Kamu’ kepada ketua sebuah parti lain yang tidak disukainya. Beliau juga akan memaklumkan kepada kami berita-berita terbaharu yang panas yang memberikan kelebihan kepada parti yang disokongnya. Saya percaya ada di kalangan pembaca yang telah memberikan gambaran tertentu kepadanya berdasarkan fakta-fakta yang dinyatakan.

Sangkaan anda mungkin tidak tepat. Tidak ada sesiapa di kalangan rakan-rakan beliau yang tersinggung atau marah dengan tindakannya. Beliau menterjemahkan keyakinan politiknya secara bersahaja, tidak emosi dan dalam keadaan bergurau! Beliau juga tidak ‘menyinga’ apabila ada di kalangan rakan-rakan yang berhujah mengenai berita-berita politik kepartian yang disampaikannya.

Sehubungan ini, tidak hairanlah kami bersalaman sesama rakan dan mengucapkan ‘ Selamat Mengundi’ apabila meninggalkan pejabat petang semalam (Jumaat – 3/5/13). Yang cantiknya, apabila ada di antara rakan-rakan yang secara bergurau mengucapkan ungkapan, “ Ini kalilah”, rakannya membalas “ Lain kalilah” . Dan, begitulah sebaliknya.

Alangkah harmoninya kehidupan ini jika itu yang kita inginkan! 

3 ulasan:

  1. Tuan Ujang Kutik,

    "Alangkah harmoninya kehidupan ini jika itu yang kita inginkan " : saya sangat setuju dengan ungkapan tersebut. Sebagaimana kita bebas memilih, begitu juga dengan orang lain. :)

    BalasPadam
  2. memang kehidupan akan jadi tenang dan lapang jika masing2 faham kefahaman politik tidak boleh memecahkan sesama islam apalagi adik beradik,bagaimana nak perintah negara jika dlm adik beradik bergaduh pun tak dapat diselesaikan kesian

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."