Sabtu, 11 Mei 2013

KAKI BORAK


Ketika ini, hampir seminggu selepas PRU 13, orang ramai masih galak lagi bercerita dan mengulas rentetan dan keputusan pilihanraya yang dikatakan ‘Ibu Kepada Segala Pilihanraya’ itu. Seperti biasa, restoran atau kedai kopi dan beranda masjid/surau (setelah selesai solat berjumaah) adalah gelanggang untuk melampiaskan isi hati atau penerimaan terhadap keputusan pilihanraya itu – ada yang berpuas hati, ada yang kecewa.

Sungguh pun demikian, biasanya regu berborak adalah di kalangan mereka yang sealiran ‘kepercayaan’. Sedemikian, perbualan, ‘post mortem’ dan ulasan menjadi seronok dan berjalan dengan lancar. Sudah tentu sesi tersebut akan sedikit terganggu jika ada di kalangan rakan tidak ‘sama bendera’.  

Jangan melekehkan ‘parlimen kedai kopi’. ‘Ahli panel’ @ kaki borak yang memimpin hujah bukannya calang-calang orang. Mereka mampu berhujah dengan baik dan meyakinkan kerana mereka bermaklumat. Rujukan mereka bukannya blog-blog picisan yang asyik mencarut, memaki hamun dan menaburkan fitnah. Jauh sekali blog picisan milik ‘part time blogger’ yang nadi hidup mereka adalah isu-isu ringan dan santai tetapi teringin menulis politik kepartian ketika orang lain sibuk berpolitik.

Sumber rujukan ahli panel @ kaki borak ‘parlimen kedai kopi’ adalah dari sumber-sumber yang ada ‘authority’ dan gah – akhbar perdana, Malaysiakini, Yahoo-Malaysia, akhbar/blog alternatif serta wartawan/penulis kolum atau tuan punya blog ternama seperti Karim Raslan, Farish Khan, Datuk Abdullah Ahmad, Datuk A.Kadir Jasin, Din Merican dan banyak lagi.

Disebabkan audien sesuatu kumpulan kaki borak di ‘parlimen kedai kopi’ adalah dari aliran atau kecondongan politik yang sama, kebiasaannya setiap hujah diterima dengan sebulat suara dan diyakini seratus peratus oleh pendengar lain.

Sehubungan orang ramai yang masih dalam 'mood' pilihanraya, saya telah beberapa kali ditegur dan diajak berborak oleh kenalan yang tidak beberapa rapat di tengah jalan. Kebanyakkan mereka tidak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya. Orang kata mereka itu ‘ Meroyan’ – tidak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya dan menyalahkan orang lain.

Saya yakin kaki borak ‘parlimen kedai kopi’ baru bermukaddimah. Banyak lagi yang akan mereka ‘borakkan’ di bawah ‘agenda perkara-perkara berbangkit selepas PRU 13’. Saya yakin.

2 ulasan:

  1. ujang kutik,

    Parlimen kedai kopi..
    kocakan nya pun terhad dalam cawan kopi..

    kelebihan nya kita boleh memilih..
    sapa ahli yang kita mahukan untuk berdebat

    jangan akhir nya di lokap sudah lah..hahaha.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      Boleh jadi betul. Kerana diingatkan cakap siang pandang-pandang,cakap malam dengar-dengar.....

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."