Khamis, 9 Mei 2013

SECRET ADMIRER


You should know that
I’ve got you on my mind
Your secret admirer
I’ve been watchin’ you.

(Di antara lirik sebuah lagu Inggeris dengan sedikit ubah suai)

Dalam perjalanan ulang-alik ke pejabat saya selalu melalui jalan alternatif kerana mengelakkan kesesakkan lalu-lintas di jalan utama. Saya melalui sebuah kawasan perumahan di mana penduduk asalnya adalah mereka yang terlibat dalam penempatan semula penduduk di sekitar Lembah Klang berpuluh-puluh tahun yang lalu. Kebanyakkan rumah yang didirikan di atas lot tanah anugerah itu adalah rumah biasa dan sederhana. Namun, ada juga beberapa buah rumah mewah.

Di antara banyak rumah tersebut termasuklah sebuah rumah milik seorang ahli politik yang memenangi kawasan itu pada pilihanraya yang lalu. Ahli politik itu diberi kepercayaan oleh partinya menjadi calun untuk bertanding sekali lagi pada PRU 13.

Saya merasakan ada yang tidak kena apabila melalui rumah calun itu dan kawasan sekitarnya. Saya dapati cuma rumah beliau dan dua-tiga buah rumah lagi sahaja yang dipasang dengan bendera parti calun itu.

Kebanyakkan rumah termasuk rumah jiran di sebelah pagar calun itu dipasang dengan bendera parti lawannya. Jiran-jiran di kawasan perumahan calun itu seperti ingin ‘menyakitkan hati’ jiran mereka, iaitu calun itu.

Sepanjang jalan berhampiran rumah calun itu lebih teruk lagi keadaannya – sarat dengan bendera parti lawan calun itu. Calun itu boleh ‘lemas’ dan ‘sakit jiwa’ oleh kerana banyaknya bendera parti lawan dipacakkan di hadapan mata oleh jiran-jiran terdekatnya sendiri.

Sekalipun demikian, ada juga rumah yang tidak memasang sebarang bendera parti yang bertanding.

Saya membuat analisa mudah. Bagaimanakah calun yang telah menang pada pilihanraya 2008-2013 itu hendak menarik pengundi lain sedangkan jiran-jiran sendiri tidak menyokongnya? Malah, ‘orang-orang kampung’ atau jiran-jirannya menunjukkan penentangan atau ‘kebencian’ yang sangat jelas? Habislah calun itu kali ini!

Mungkin ada benarnya kata orang, “ Bomoh kampung lebih diyakini oleh orang/pelanggan dari luar berbanding orang kampungnya.”

Calun yang menang pada tahun 2008-2013 itu menang di kawasannya dengan majoriti undi yang lebih besar pada 5 Mei 2013 yang lalu.

Sekali lagi saya membuat analisa spontan, “ Calun yang tidak mendapat sokongan di kalangan penduduk di kawasan perumahannya itu menang kerana mendapat undi dari ‘secret admirer’ yang juga terdiri daripada jiran-jiran di kawasan perumahannya dan di tempat lain yang tidak menunjukkan sokongan mereka secara terbuka. Mereka cuma menampakkan diri di peti undi. Tiada sesiapa yang mengenali mereka termasuk calun itu sendiri.

Dengan ikhsan sebilangan ‘secret admirer’  yang tentu bukan 'kecil anak' bilangannya, calun itu berjaya melanjutkan tempoh bergelar YBnya pada sesi 2013-2018. 

Iktibar ke atas pengkesahan ini ialah; Jangan mengambil mudah potensi atau kebolehan pihak pesaing. Maka, bersedialah dengan  plan B, plan C,..... untuk menangani 'serangan' luar jangka oleh pesaing/lawan. 

Air tenang kadang-kadang ada juga buaya. Buaya itu bukannya buaya biasa tetapi buaya spesis bujang senang! 

2 ulasan:

  1. Kalau apa yang dibuat atas dasar keikhlasan kemunkinan ramailah 'secret admirers'.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tuan Al-Manar,

      Mutu juga yang mengenal manikam.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."