MASJID BANDAR CUKAI, KEMAMAN |
Selain itu, kira-kira 25 tahun
yang lalu saya bersama dengan seorang kawan (telah meninggal dunia kerana
kanser) pernah bermalam di sebuah surau kecil di Sungai Ular, Kuantan, Pahang.
Lokasi surau itu terletak antara sempadan Pahang dengan Kemaman, Terengganu.
Kami
dari Jertih sepatutnya terus balik ke Kuala Lumpur tetapi terpaksa berhenti kerana
kawan saya itu yang memandu kenderaan terlalu mengantuk. Ketika itu lebih
kurang jam 12.00 tengah malam.
Kami dapat tidur dengan lenanya sehingga dikejutkan
oleh penduduk kampung yang hendak menunaikan solat subuh. Kami yang masih muda
ketika itu ‘diberikan rezeki’ menunaikan solat subuh berjumaah dengan penduduk
kampung itu.
Dan, baru-baru ini tanpa disangka
saya terpaksa bermalam di Masjid Bandar Cukai, Kemaman.
Sebermula cerita, saya yang telah
biasa dengan bandar kecil Cukai (bandar pentadbiran Daerah Kemaman) mengambil mudah
tempat penginapan ketika berada di sini. Akhirnya saya mendapati semua tempat
penginapan telah penuh, ‘ Full House’.
Kira-kira pukul 10.00 malam,
selepas makan dan berehat sebentar di Dataran Cukai yang terletak di muara
sungai, saya menuju ke Masjid Bandar Cukai yang jaraknya kira-kira 600 meter
dari situ untuk menunaikan solat jamak takhir Isyak dan Maghrib. Saya dapati
dewan solat di masjid itu berkunci tetapi ruangan lain dibuka dengan lampu
dinyalakan.
Saya menunaikan solat jamak takhir dan qasar (menghimpunkan solat
fardhu Isyak dan Maghrib). Tiada sesiapa pun selain saya di masjid itu. Seram
juga dibuatnya.
Selepas solat terlintas juga di
dalam hati hendak menumpang tidur di masjid itu. Bagaimanapun, niat itu mati
begitu sahaja kerana takutkan keselamatan diri – takutkan manusia jahat dan ‘makhluk
halus’. Silap-silap ‘tinggal sehelai sepinggang’ atau bila terjaga telah berada
di bilik air!
Saya mengambil keputusan tidur di
dalam kereta berhampiran tempat selamat seperti balai polis, stesen pam minyak
atau kedai makan 24 jam di bandar itu.
Ketika hendak masuk ke dalam
kereta, sebuah kereta proton iswara datang dan berhenti berhampiran kereta
saya. Tiga orang anak muda mengeluarkan bag masing-masing dari bonet kereta.
Saya bertanya mereka dari mana dan hendak ke mana. Mereka dari Kuala Terengganu
dan hendak bermalam di masjid itu kerana pada keesokkan harinya ada kursus
scuba di Kemaman. Saya perhatikan air muka anak-anak muda itu orang baik-baik. Sedemikian, saya yakin keselamatan diri bersama dengan orang yang tidak dikenali.
Syukur. Alhamdulillah. Sebelum tidur saya menunaikan solat witir dan niat beriktikaf. Saya tidak pernah menyangka akan bermalam di Masjid Besar Cukai bersama dengan tiga orang anak muda dari Kuala Terengganu yang baru dikenali.
Allah permudahkan urusan saya.
Malam itu hujan turun agak lebat. Saya yang telah biasa dengan keadaan seadanya ketika bermalam di masjid Jumaah Tabligh Sri Petaling, tidak menghadapi masaalah tidur beralaskan lengan dan bertilamkan sehelai kain pelikat.
Saya terjaga jam 5.00 pagi dan terus mandi. Saya solat sunat dan berzikir sementara menunggu azan untuk solat fardhu subuh secara berjumaah .
Saya bukannya hendak bermegah kerana menunaikan solat witir, iktikaf, solat malam, berzikir dan solat fardhu subuh berjumaah. Apa yang ingin saya sampaikan ialah ‘beruntungnya’ saya dari ‘zero’ (hotel penuh) kepada ‘hero’ kerana hikmah yang ada di sebalik nasib malang saya (tidak mendapat tempat menginap di hotel). Saya ‘dianugerahkan’ dapat solat witir, iktikaf, solat malam, berzikir dan solat fardhu subuh berjumaah ketika bermalam di masjid.
Dengan
hujan lebat sepanjang malam dan kepenatan memandu lebih 300 km, besar
kemungkinan saya tidak dapat pergi ke masjid untuk solat subuh berjumaah dan
apatah lagi
beriktikaf, solat malam dan berzikir jika dapat menginap di hotel.
Secara
peribadi, saya dapat rasakan hikmah dari ujian Allah yang sangat kecil itu. Juga,
bermalam di masjid bukanlah sesuatu yang memalukan jika kita mentafsirnya dari
sisi positif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."