Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Khamis, 16 Mei 2013

MENUMPANG TIDUR DI MASJID CUKAI, KEMAMAN



MASJID BANDAR CUKAI, KEMAMAN
Sepanjang hidup saya pernah bermalam di sebuah masjid dan sebuah surau. Masjid yang saya pernah bermalam beberapa kali ialah Masjid Jumaah Tabligh, Seri Petaling, Selangor. Sungguh pun saya bukan jumaah Tabligh tetapi menyenangi kumpulan itu. 


Selain itu, kira-kira 25 tahun yang lalu saya bersama dengan seorang kawan (telah meninggal dunia kerana kanser) pernah bermalam di sebuah surau kecil di Sungai Ular, Kuantan, Pahang. Lokasi surau itu terletak antara sempadan Pahang dengan Kemaman, Terengganu. 

Kami dari Jertih sepatutnya terus balik ke Kuala Lumpur tetapi terpaksa berhenti kerana kawan saya itu yang memandu kenderaan terlalu mengantuk. Ketika itu lebih kurang jam 12.00 tengah malam. 

Kami dapat tidur dengan lenanya sehingga dikejutkan oleh penduduk kampung yang hendak menunaikan solat subuh. Kami yang masih muda ketika itu ‘diberikan rezeki’ menunaikan solat subuh berjumaah dengan penduduk kampung itu.


Dan, baru-baru ini tanpa disangka saya terpaksa bermalam di Masjid Bandar Cukai, Kemaman.  


Sebermula cerita, saya yang telah biasa dengan bandar kecil Cukai (bandar pentadbiran Daerah Kemaman) mengambil mudah tempat penginapan ketika berada di sini. Akhirnya saya mendapati semua tempat penginapan telah penuh, ‘ Full House’.


Kira-kira pukul 10.00 malam, selepas makan dan berehat sebentar di Dataran Cukai yang terletak di muara sungai, saya menuju ke Masjid Bandar Cukai yang jaraknya kira-kira 600 meter dari situ untuk menunaikan solat jamak takhir Isyak dan Maghrib. Saya dapati dewan solat di masjid itu berkunci tetapi ruangan lain dibuka dengan lampu dinyalakan. 

Saya menunaikan solat jamak takhir dan qasar (menghimpunkan solat fardhu Isyak dan Maghrib). Tiada sesiapa pun selain saya di masjid itu. Seram juga dibuatnya.


Selepas solat terlintas juga di dalam hati hendak menumpang tidur di masjid itu. Bagaimanapun, niat itu mati begitu sahaja kerana takutkan keselamatan diri – takutkan manusia jahat dan ‘makhluk halus’. Silap-silap ‘tinggal sehelai sepinggang’ atau bila terjaga telah berada di bilik air!


Saya mengambil keputusan tidur di dalam kereta berhampiran tempat selamat seperti balai polis, stesen pam minyak atau kedai makan 24 jam di bandar itu.


Ketika hendak masuk ke dalam kereta, sebuah kereta proton iswara datang dan berhenti berhampiran kereta saya. Tiga orang anak muda mengeluarkan bag masing-masing dari bonet kereta. Saya bertanya mereka dari mana dan hendak ke mana. Mereka dari Kuala Terengganu dan hendak bermalam di masjid itu kerana pada keesokkan harinya ada kursus scuba di Kemaman. Saya perhatikan air muka anak-anak muda itu orang baik-baik. Sedemikian, saya yakin keselamatan diri bersama dengan orang yang tidak dikenali.

Syukur. Alhamdulillah. Sebelum tidur saya menunaikan solat witir dan niat beriktikaf. Saya tidak pernah menyangka akan bermalam di Masjid Besar Cukai bersama dengan tiga orang anak muda dari Kuala Terengganu yang baru dikenali. 

Allah permudahkan urusan saya.

Malam itu hujan turun agak lebat. Saya yang telah biasa dengan keadaan seadanya ketika bermalam di masjid Jumaah Tabligh Sri Petaling, tidak menghadapi masaalah tidur beralaskan lengan dan bertilamkan sehelai kain pelikat.  

Saya terjaga jam 5.00 pagi dan terus mandi. Saya solat sunat dan berzikir sementara menunggu azan untuk solat fardhu subuh secara berjumaah .   

Saya bukannya hendak bermegah kerana menunaikan solat witir, iktikaf, solat malam, berzikir dan solat fardhu subuh berjumaah. Apa yang ingin saya sampaikan ialah ‘beruntungnya’ saya dari ‘zero’ (hotel penuh) kepada ‘hero’ kerana hikmah yang ada di sebalik nasib malang saya (tidak mendapat tempat menginap di hotel). Saya ‘dianugerahkan’ dapat solat witir, iktikaf, solat malam, berzikir dan solat fardhu subuh berjumaah ketika bermalam di masjid.

Dengan hujan lebat sepanjang malam dan kepenatan memandu lebih 300 km, besar kemungkinan saya tidak dapat pergi ke masjid untuk solat subuh berjumaah dan apatah lagi 
beriktikaf, solat malam dan  berzikir jika dapat menginap di hotel. 

Secara peribadi, saya dapat rasakan hikmah dari ujian Allah yang sangat kecil itu. Juga, bermalam di masjid bukanlah sesuatu yang memalukan jika kita mentafsirnya dari sisi positif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."