Rabu, 1 Mei 2013

SOLAT : WAS-WAS



GAMBAR HIASAN
MASJID ABDUL KADIR, JLN. TELAGA AIR, BUTTERWORTH



Jumaah di sebelah kiri saya ada masalah besar. Dia begitu susah hendak mengangkat takbir untuk memulakan solat. Ketika Imam sudah selesai membaca surah Al-Fatihah dalam rakaat pertama solat fardhu Isyak, dia masih belum selesai lagi mengangkat takbir.


Dia was-was. Tidak kurang dari 4 kali dia cuba mengangkat takbir tetapi tiada yang menjadi. Takbirnya cuma ‘menjadi’ apabila Imam mula membaca surah selepas selesai membaca Al-Fatihah.


Minda saya turut berperang. Antara memperlekehkannya dan kasihan. Dia yang sebaya saya masih tidak dapat ‘ settle down’ semasa mengerjakan solat. Macam mana hendak kusyuk kalau mengangkat takbir pun tidak selesai lagi. Saya juga sedikit terganggu.


Saya juga pernah ‘berjiran’ dengan seorang jumaah yang lebih kuat was-wasnya ketika solat di salah sebuah masjid di Pasir Mas, Kelantan. Dia hebat dari segi keterampilan. Air mukanya bersih, ketinggian sederhana, memakai jubah, berserban dan mempunyai janggut yang agak tebal. Susah hendak percaya bahawa jumaah berusia di pertengahan 40-an itu kuat was-was. Saya tidak mengira jumlah sebenar dia mengangkat takbir. Bagaimanapun, tidak kurang dari sepuluh kali.  Dia cuma berjaya mengangkat takbir apabila Imam hampir selesai membaca surah yang panjang selepas Al-Fatihah. Kasihan.


‘Gelagat’ para jumaah ketika mengangkat takbir untuk memulakan solat berbagai. Ada yang mudah atau memudah-mudahkan dan ada yang susah atau menyusah-nyusahkan. 

Di masjid kariah saya juga pernah ada seorang anak muda yang was-was dalam pembacaan ketika solat. Suatu ketika dia selalu ketinggalan dengan imam melebihi dua rukun yang panjang. Ketika imam dan makmum lain telah bangun untuk rakaat kedua dia masih belum rukuk pada rakaat pertama. Ketika imam dan jumaah lain telah lama selesai solat dia masih belum selesai membaca tahayat akhir. Bagaimanapun, Alhamdulillan, sejak akhir-akhir ini penyakit was-wasnya telah tidak ada lagi. Disamping usaha sendiri, mungkin ada pihak lain yang membimbingnya melawan was-was ketika solat.


Menimbulkan was-was adalah kerja syaitan. Sedemikian, jangan terpedaya dengan mengikut ajakan dan bisikan syaitan.   

Syaitan berjaya 'meratah' mangsa was-was kerana kelemahan diri mangsa yang begitu mudah mengalah kepada ajakan dan bisikan syaitan. 


Setiap masalah itu ada jalan penyelesaiannya. Dalam beragama, dapatkanlah nasihat dan tunjuk ajar dari mereka yang berilmu.  

Sehubungan ini, penyakit was-was boleh diubati dan diatasi dengan keyakinan diri, bimbingan dari pihak yang ahli seperti guru-guru agama yang mahir mengenai kaedah mengatasi penyakit was-was ketika solat. 

Selain itu, kaedah yang paling mujarab selepas berusaha ialah berdoa dan bertawakal kepada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui akan kelebihan dan kekurangan hambaNya. Apabila hadam dengan hakikat ini, tiada apa yang akan diwas-waskan oleh seorang hamba!



2 ulasan:

  1. ujang kutik,

    Saya juga pernah lalui jumaah bersebelahan yang tidak juga 'lepas lepas' setelah beberape kali mengangkat takbir.

    Lalu saya semacam bertanye diri sendiri, jikalau nak 'confirm' kan ketika mengangkat takbir itu begitu sukar maka takbir saya tadi adakah sudah benar2 confirmed!

    Benar lah ape yang disarankan oleh tuan pada dua para terakhir dalam entri ini. Semoga amalan kita semua diterima oleh Nye.

    BalasPadam
  2. Sdr theolrascal,

    Benar, semoga amal ibadat kita mencapai sekurang-kurangnya menepati piawai.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."