Selasa, 18 Jun 2013

BAHAU, DAERAH JEMPOL, NEGERI SEMBILAN

TERATAK ZAABA,KG. BUKIT KERDAS

Kini saya berada di Bandar Bahau (bandar lama), Daerah Jempol, Negeri Sembilan.'Orang kata', Bahau adalah mini Hatyai. Itu adalah perkhabaran yang saya pernah dengar lebih dua dekad yang lalu. Ketika itu tentunya saya masih muda lagi. Pun demikian, di usia tersebut saya tidak mengetahui cerita sebenar di sebalik perkhabaran tersebut ketika singgah beberapa malam di Bahau.



Semetelahan pula ketika singgah bermalam di bandar kebanggaan Pendita Tan Sri Zaaba, bekas Timbalan Menteri @ mantan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Khalid Yunus atau legenda Batu Kikir Jombatan Bosi ini di usia yang tidak lagi muda.

Saya tidak pasti samada jolokan mini Hatyai masih digunapakai lagi hingga ke hari ini ke atas Bandar Bahau.  


Bandar Bahau adalah sebuah bandar terbesar dalam Daerah Jempol, Negeri Sembilan. Daerah  Jempol berkedudukkan di sebelah timur Negeri Sembilan. Sebagai tanda aras mudah, ianya terletak 24 kilometr dari Bandar Kuala Pilah dan lebih kurang 70 kilometer ke timur Seremban.

'BATU KIKIR JAMBATAN BOSI' (Apo kono eh Jang)
  Jambatan di Batu Kikir, Daerah Jempol ini merentangi
      Sungai Jempol. Asalnya jambatan ini adalah 'jambatan besi' 
                                  tetapi telah dinaiktaraf kepada jambatan konkrit                                

Walaupun saya berasal dari Daerah Rembau, Negeri Sembilan, saya kurang mengetahui dan tidak biasa dengan daerah-daerah di sebelah timur Negeri Sembilan, iaitu Daerah Kuala Pilah dan Jempol. Ini berlaku kerana laluan ke Rembau atau ke selatan tanah air berpecah dua di Seremban - satu menghala ke Selatan (Negeri Sembilan Selatan - Melaka) dan satu lagi ke Negeri Sembilan Timur (Kuala Pilah dan Jempol)-Segamat (Johor) - Karak dan Temerloh (Pahang).


Sungai Jempol ( Batu Kikir Jambatan Bosi merentangi sungai ini)
'Tiada apa' yang hendak 'dimegahkan' tentang Bandar Bahau. Ianya cuma sebuah bandar lama seumpama ' seorang pesara yang melangsungkan hari-hari akhir kehidupannya '. Ada sisi-sisi bandar ini boleh menyebabkan seseorang, terutamanya golongan remaja kota kosmopolitan yang tidak biasa dengannya rasa tertekan dan murung.
 
Satu lokasi Bahau
Kata orang, " Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain." Setelah beberapa dekad, saya masih dapat melihat lagi hotel-hotel Cina' dengan 'trade mark' tuala mandi cop 'good morning' dan bau setanggi yang merimaskan yang pernah saya bermalam suatu ketika dahulu . Walaupun keadaannya 'hidup segan mati tidak mahu', sekurang-kurangnya tuan punya hotel masih mampu bertahan.


Pada saya kehebatan daerah ini ialah persekitaran kawasan kampungnya yang boleh membuatkan pengunjung dari luar menjadi asyik. Kebanyakkan kawasan rumah penduduk di daerah ini luas-luas dan rumahnya cantik dan bersih. Tidak hairanlah di sini banyak rumah-rumah yang dijadikan ' homestay'. Di sini juga masih ada kawasan sawah padi yang diusahakan.

Namun demikian, di dalam keadaan Bahau yang seadanya, saya sangat-sangat berterima kasih kerana menyediakan liputan yang baik kepada 'sahabat' paling akrab ketika bertugas di luar daerah, ' my dear gadget, the broadband'. Kalau hendak diharapkan wifi yang disediakan oleh pihak hotel, saya boleh jadi tidak ketentuan.  

Kalau ada peluang, saya akan datang lagi dalam mood bercuti ke daerah ini.


  

4 ulasan:

  1. ujang kutik,

    .. '' batu kikir jambatan bosi '' itu, ..amat siknifikan sekali.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      'Batu Kikir Jambatan Bosi' ada persamaan dengan Bengawan Solo kerana kedua-duanya ada kaitan dengan unsur sungai dan lagu.

      Padam
  2. dah lama IM tak ke N9. rindu pada loghat bualan mereka.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr IM,

      Kalau ke Rembau, beritahu saya. Bolehlah kita sama-sama mendaki Gunung Datuk(Gunung Rembau)

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."