Ahad, 9 Jun 2013

KAWAN SAYA, "THE MORNING AFTER"


Lebih kurang sebulan yang lepas saya ke pejabat cawangan di Kuala Kangsar, Perak. Di sana saya berjumpa semula seorang kawan lama semasa pejabat kami di Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur kira-kira tiga puluh tahun yang lalu.

Ketika masih bujang dia selalu datang ke rumah sewa saya dan kawan-kawan di Taman Keramat.  Biasalah, kami pernah 'memekak' menyanyi bersama sambil diiringi oleh kawan-kawan yang boleh bermain gitar. Dia pandai menyanyi. Suaranya sedap dan boleh dibawa ke tengah - majlis perkahwinan atau majlis rasmi Jabatan.

Dia 'sombong' - tidak suka lagu-lagu Melayu. Dia cuma menyanyi lagu-lagu Inggeris. Salah sebuah lagu 'cari makannya' ialah lagu ' The Morning After ' nyanyian penyanyi wanita Maureen McGovern. Selain dari pandai menyanyi, dia 'agak nakal' sedikit.

Dia tidak lama bertugas di Ibu Pejabat. Dia ditempatkan di beberapa buah pejabat cawangan sebelum ditukarkan ke Kuala Kangsar kira-kira 4 tahun yang lalu.

Walaupun tidak bertugas di tempat yang sama, saya mengikuti perkembangan sahsiahnya kerana kami masih di bawah agensi yang sama. Dia berubah 360 darjah setelah berkahwin. Dia tidak lagi nakal. Saya tidak perlu gariskan satu persatu kenakalannya. Kebanyakkan orang ada kenakalan masing-masing.

Berbekalkan suara yang merdu, dia menghadami ilmu tajwid sehingga boleh mengajar anak-anak di kawasan perumahannya dan juga di daerah sekitar belajar mengaji Al-Quran. Dia diangkat menjadi imam di surau kawasan perumahannya. Selain itu, saya juga diberitahu bahawa dia biasa memimpin qiamullail di atas jemputan pihak yang mengetahui kebolehannya.   

Dia kini berjangkut tebal dan panjang. Ketika bersalaman dengannya saya sempat membisikkan, "The Morning After ingat lagikah ? "  Dia ketawa besar dan mengucapkan, Astaghfirulllah, astaghfirullah,.......   



6 ulasan:

  1. Saudara Ujang Kutik,

    Alhamdulillah. Sekiranya Allah swt berkehendakkan kebaikan kepada seseorang itu nescaya Allah berikan ilmu kepada orang itu.

    Mudah-mudahan kehidupan kita nanti akan diakhiri dengan kesudahan yang baik hendaknya.

    Amin.....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Pak Mail,

      Hijrah kawan ini normal. Mungkin yang tidak normal ialah tidak berhijrah sehingga ke tua.

      Padam
  2. ujang kutik,

    ..satu bisikan nostalgik...haha.

    satu blog entri yang saya seronok membaca nya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      Benar, satu bisikan nostalgik. Real, bukanya sastera.

      Padam
  3. Kawan IM sama kuliah juga, dulu kaki perempuan, jumpa baru ni dah jadi YDP PAS.

    Anak sungai lagikan berubah....

    BalasPadam
  4. Sdr IM,

    Subhanallah.

    Mentari terik panas bahangnya
    Hinggap ketitir di ranting ara
    Sehari mudik tentu hulunya
    Akan ke hilir jumpa muara

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."