Ahad, 2 Jun 2013

KITA TIDAK ADIL DENGAN HAIWAN INI

Tarikh : 02 June 2013 (Ahad)
Waktu : 7.00 petang
Lokasi : Seri Iskandar, Perak (Berhampiran Mc Donald Seri Iskandar)


Seekor anak anjing rebah dan menjerit-jerit kesakitan di tengah-tengah jalan kerana dilanggar oleh sebuah kereta. Pemandu yang prihatin, semuanya Melayu (Islam) memperlahankan kenderaan dan mengelak dari melanggar anak anjing malang yang tidak berdaya itu.  

Tiada seorang pun dari kalangan pemandu yang bersimpati tersebut (Melayu/Islam) turun dari kenderaan, memberi pertolongan segera atau sekurang-kurangnya mengalihkan anak anjing yang cedera parah itu ke tepi jalan - termasuk juga penulis catatan ini (memerhati dari jauh) yang 'sangat bersimpati' dengan mangsa.

Kenapa? Mungkin mereka (termasuk penulis catatan) yang sebenarnya belum khatam dan tidak hadam dengan permasalahan 'Najis Berat' yang melibatkan anjing dan khinzir. 

Tiba-tiba sebuah kereta kancil berwarna putih berhenti. Dari perut kereta keluar seorang anak muda di awal 20-an. Dia menghampiri 'mangsa', mendukung dan meletakkannya dengan penuh hati-hati di beranda sebuah rumah kedai berbumbung yang belum didudukki. Dia kembali ke keretanya dan beredar. Dia anak muda keturunan Cina.     

Ulasan:

1. Orang Melayu Islam sangat phobia dengan kenajisan anjing dan khinzir. Apa pun kemalangan yang berlaku kepada haiwan tersebut, Orang Melayu Islam hampir pasti tidak akan memberi pertolongan. 

2. Ustaz perlu menjelaskan dan menunjuk ajar secara praktikal cara-cara menangani permasalahan ini. Orang Melayu Islam perlu hadam dengan permasalahan apabila melibatkan anjing dan khinzir. Anjing khususnya adalah haiwan di mana Orang Melayu Islam sering 'berurusan' dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.

3. Walaupun tidak mengambil anak anjing itu dan membawa ke klinik veterinar, tindakan anak muda bukan Islam itu jauh lebih baik dari Orang Melayu Islam yang cuma bersimpati tetapi sebenarnya tidak mendatangkan sedikit pun manfaat kepada mangsa.

4. Orang Melayu Islam perlu mengubah persepsi bahawa 'Anjing itu haiwan untuk Orang Cina sahaja'. Anjing juga adalah makhluk Allah. Orang Melayu Islam perlu mengasihi dan menyantuninya di tahap yang dibenarkan oleh agama. 
  

2 ulasan:

  1. Tapi Kancil saya pernah terlanggar seekor anjing yang menyeberang jalan tetapi tiba-tiba berpatah balik.

    Saya turun dari kereta dengan niat mahu melihat keadaannya bagaiman.

    Tapi anjing itu hilang yang berkemungkinan lari ke dalam hutan.

    Walaupun Kancil saya kemek tapi saya juga kasihan mengenangkan nasib anjing itu yang kelihatan tercedera di kepala dan tempang kakinya...

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."