Sabtu, 1 Jun 2013

RINGGIT MALAYSIA EMPAT PULUH ENAM DAN SEN LAPAN PULUH SAHAJA

Tarikh : 01 June 2013
Lokasi : Ampang, Selangor
 

RM 46.80 sahaja!

Sebentar tadi saya baru sahaja menjual 'sampah sarap' di pusat belian barang-barang terbuang yang jaraknya lebih kurang 2 kilometer dari rumah.  Saya dibayar RM46.80 oleh peniaga keturunan India. 'Sampah sarap' yang saya niagakan ialah sebuah desktop lama, dua unit kipas duduk rosak dan sedikit barangan besi.

Saya rasa usaha saya sekeluarga berbaloi. Kami tidak akan dapat apa-apa jika 'sampah sarap' tersebut diletakkan (dibuang) di tong sampah hadapan rumah. Cuma bezanya, jika dibuang di hadapan rumah, sampah sarap tersebut boleh dimanfaatkan oleh golongan yang lebih memerlukan - Bangla atau Rohingya yang menjadikan kerja mengutip barangan terbuang sebagai profession hidup.

Salahkah atau tidak berhati perutkah saya? Sesungguhnya saya juga bukanlah orang yang senang. Saya menyenangi mereka dan ada juga membantu seadanya mengikut cara saya.

Mungkin telah terbiasa, saya tidak kekok dan malu-malu lagi berurusniaga barangan terbuang di pusat pembelian. Saya telah boleh bersimbang dengan 'rakan-rakan seprofession' di kalangan orang Bangla, Rohingya dan sebilangan kecil orang Indon.

Kepada mereka (Bangla,Rohingya,Indon), segala-gala yang dibawa ke pusat belian adalah punca wang dan perlu 'nego'. Hatta, beberapa keping surat khabar lama juga boleh membuatkan mereka bertegang leher dengan pembeli.

Pembeli dan pekerjanya juga sangat mahir dengan tipu helah penjual. Adalah perkara biasa pembeli dapat menghidu penipuan seperti pihak penjual meletakkan batu-batan bersama barangan lama yang hendak dijual. Ironisnya, pembeli tidak bengis apabila berlaku kejadian penipuan. Pembeli cuma menepuk bahu penjual. Penjual akan tersengeh malu.

Saya, bukan orang senang, sangat beruntung berpeluang mengalami dan menjadi sebahagian daripada pemain industri yang didominasi oleh golongan marhaen dan warga luar yang menumpang hidup di bumi bertuah ini. Sekurang-kurangnya saya mengetahui susah payah mereka 'hidup melata' di negeri orang. Rezeki ada di mana-mana.

4 ulasan:

  1. Saudara Ujang Kutik,

    Saya harap ulasan saya kali ini tidak menyinggung perasaan saudara. Kalau tersinggung saya pohon ampun terlebih dahulu.

    Saya pun bukan orang senang. Malah saya percaya kehidupan saudara jauh lebih baik dari saya. Namun saya punyai fikiran dan cara yang berbeza dalam perkara ini.

    Saya juga pernah membawa barang2 lusuh yang tidak digunakan lagi ke kedai barang lusuh untuk dijual. Tetapi itu semasa arwah anak ke-3 saya masih ada.

    Tetapi kini, barangan lusuh yang tidak dipakai saya akan ketepikan dan menunggu orang Rohingya yang saya berkenan. Yang tidak lokek dengan senyuman dan juga yang suka memberi salam.

    Saya akan beri kepada mereka apa yang saya tidak mahu miliki lagi.

    Maaf sekali lagi. Saya kira saudara tidak salah dalam mengambil inisiatif untuk menjual sendiri barangan lusuh tersebut lantaran kita punyai fikiran dan cara hidup masing-masing.

    BalasPadam
  2. Sdr Pak Mail,

    Terima kasih di atas ingatan saudara.

    Saya juga telah menjangkakan bahawa akan ada di kalangan pembaca yang berpandangan dari sudut yang saudara lihat. Justeru itulah saya bertanya dalam catatan di atas samada tindakan saya itu betul atau sebaliknya.

    Benarlah kata bijak pandai, " Sifat-sifat seseorang tidak selalu seperti apa yang kita lihat, tetapi jarang sekali lebih baik daripada apa yang kita nampak". Saya ada kelemahan yang diungkapkan.

    Benarlah juga bahawa kadang-kadang sesuatu itu bukan dilakukan kerana terdesak sangat, tetapi lebih kepada kerana keseronokkan atau 'thrillnya' sehingga 'terlepas pandang' keadaan sekeliling.

    Terima kasih.

    BalasPadam
  3. Salam,

    Baru tukar url ke: http://hujan-petang.blogspot.com atas sebab-sebab tertentu.

    Muga hubungan blogging kita masih kekal segar.

    Dulu selalu juga jual 'sampah' ke kedai kitar semula. Sekarang dah malas. Buang saja dalam tong sampah. Biarlah si pengutip sampah itu yang tolong jual dan menguip hasilnya. Dia lebih memerlukan ringgit dan sen itu...

    BalasPadam
  4. hanifah (IM),

    Salam persahabatan.

    'Struktur' blog saudara sangat menarik yang ingin saya pelajari jika kita berdekatan.

    Terima kasih di atas ingatan saudara. Saya juga begitu, " Muga hubungan blogging kita terus kekal segar".














    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."