Sabtu, 1 Jun 2013

SAYA SUKA MENULIS SECARA SUKA-SUKA MENGENAI YB KJ

Kecuali kedudukkan kampung keluarga di sebelah bapa YB KJ di Kampung Gadung, Kota, Rembau, Negeri Sembilan yang terletak di kejiranan kampung saya, dan sesama saudara Islam, saya tidak ada kaitan dalam apa sahaja perkara dengan tokoh muda ini. Jauh sekali ‘cybertrooper’ yang dibiayai/upah.

Saya cuma seorang warga naïf yang ‘suka menulis secara suka-suka’. Saya menulis sesuka hati terhadap segala sesuatu yang dilihat dan alami tanpa mengabaikan mana yang boleh dan yang tidak sedapat mungkin.

Insya Allah, saya akan menulis selagi boleh tanpa memperdulikan sangat bilangan pelawat sekalipun sekali sekala menjeling juga kepada 'feedjit pelawat' yang menjadi tanda aras bilangan pelawat yang sudi berkongsi pandangan atau rintihan saya. Terima kasih.  

Sehubungan ini, saya juga adalah di antara rakyat negara tercinta ini yang masih sihat akal, yang mendambakan kesantunan pemain politik - amanah, sarat dengan naluri kemanusiaan, harmoni, menghormati, tiada ‘kebengisan’ dalam menterjemahkan keyakinan politik serta ‘kondusif’, yaani disenangi dan tidak berkasar kepada kawan dan lawan dalam konteks yang sewajarnya.   

Mutakhir ini, masyarakat dari fahaman politik yang berbeza mula memberi perhatian kepada pemain politik yang boleh diterima oleh kedua belah pihak, samada di kalangan ahli partinya atau parti lawan. Ramai orang telah heboh memperkatakan bahawa salah seorang yang termasuk di dalam golongan yang masih kecil ‘anggotanya’ itu ialah YB Rembau, KJ. Selainnya, mantan YB Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah, YB Bung Mokhtar, YB Tan Seng Giau, Salahudin Ayob dan beberapa orang lagi.

‘Bengis’ oleh pihak yang berkuasa dengan ‘bengis’ oleh yang tiada kuasa tidak sama darjatnya. Bengis oleh pihak yang ada kuasa boleh menyebabkan impak mudarat yang lebih besar dari bengis oleh pihak yang tidak ada kuasa. 

Bengis seorang kerani tidak akan ke mana berbanding dengan bengis seorang Pengarah yang boleh menyebabkan ‘kerosakkan’ kerjaya kakitangan bawahannya.

Sepertimana yang saya nyatakan sebelum ini bahawa terlalu awal hendak merumuskan nilai kualiti diri susuk yang bernama YB KJ ini. Bagaimanapun, jika berdasarkan pengalaman, perjalanan politik dan karektor semasa, label ‘From zero to hero’ boleh dilekatkan kepada diri beliau.

Beliau pernah mengalami zaman turun-naik. Kini,beliau naik dan dipuji. Ungkapan keramat “Saya Menteri Untuk Semua” yang dilantunkannya sebaik sahaja dipilih menjadi menteri seperti kuasa mistik yang menambah asyik kekaguman orang terhadap beliau.

Saya petik di antara ungkapan salah seorang pengagum beliau bernama Hassan Talib, Gombak, Selangor dalam ruangan ‘LETTERS’, The Malay Mail bertarikh 29 Mei 2013:

“ For Khairy, failure does not mean the end of the road. From failure, one build the road to success by proper planning in attaining the goal…………..Khairy has come a long way to be the ’good boy’ and the darling of not only UMNO, but also the youths who see him as a natural candidate for minister of youth and sports……. ”   

Ketika balik ke kampung saya bertemu dengan seorang kawan yang telah bersara di Pekan Kota (Pekan Kota terletak lebih kurang 1.5 kilometer dari rumah keluarga YB KJ). Sepanjang yang saya ketahui ketika sama-sama bertugas di Ibu Kota, kawan itu adalah seorang penyokong kuat pihak yang menentang parti KJ. Bagaimanapun, setelah bersara dia pula adalah di antara individu yang bertungkus lumus di pihak YB KJ dalam PRU 13 yang lalu. Kawan itu bergurau dengan saya, “ Den (saya) 'kembali ke ‘pangkal jalan’.”

Seorang pengulas/penganalisa politik terkenal, Datuk Abdullah Ahmad, pernah menulis dan meramalkan di dalam kolumnya bahawa YB KJ adalah di antara calun PM selepas PRU 14.

YB KJ juga ‘direstui’ oleh blogger-blogger terkenal dan ‘establish’ termasuk yang kelihatan berkecuali dan juga yang condong kepada pembangkang. Beliau juga diperkatakan di mana-mana – di pejabat,warung-warung, restoran, majlis kenduri-kendara, coffee house....

Dan, di atas semua itu jugalah, Ahli Parlimen Rembau yang juga Menteri Belia dan Sukan ini dibebankan dengan bebanan yang sangat berat. Kawan (khususnya pengagum) dan juga musuh sedang menunggu sesuatu yang real dan bukannya fatamorgana dari beliau.

Semoga YB KJ tidak akan menghampakan. Di belakang beliau ada pengagum di kalangan kawan dan golongan yang berlainan latar belakang fahaman dan keyakinan politik.       


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."