Jumaat, 14 Jun 2013

KULIAH DI LUAR KULIAH




Tarikh               : 14 June 2013
Hari                   : Jumaat
Lokasi              : Surau Al-Mukmin, Desa Pasifik, Jalan Ampang

Saya terlalu mengantuk. Di ketika fasa awal khutbah Jumaat, saya ‘hanyut-hanyut jaga’. Bagaimanapun, pada fasa-fasa akhir saya mendapat tenaga baru (mungkin setelah mendapat hanyut-hanyut jaga’ secukupnya).

Dengan itu dapat juga saya mengutip sisa-sisa ilmu  yang disampaikan dengan cara yang menarik oleh Tuan Khatib. Antaranya, khatib mengingatkan para jumaah agar melebihkan dan melipat-gandakan ibadat dalam bulan Syaaban ini. Beliau juga mengingatkan bahawa bulan Ramadhan cuma lebih kurang 25 hari sahaja lagi akan mendatangi umat Islam.

Setelah selesai solat Jumaat saya meninggalkan dewan solat utama yang berhawa dingin dan menuju ke bahagian belakang surau ‘soldier’ yang dijadikan tempat solat Jumaat untuk menunaikan solat sunat ba’diah.

Saya berehat sebentar di dalam surau. Ketika itu jam baru menunjukkan hampir pukul 2.00 petang. Saya ada 45 minit lagi untuk meneruskan tugas di pejabat.

Kelibat kawan se pejabat tidak lagi kelihatan di kawasan surau. Mereka telah balik ke pejabat atau minum teh tarik di warung Mamak di belakang pejabat yang jaraknya lebih kurang 100 meter dari surau.   

Secara tiba-tiba saya didatangi oleh ingatan kepada seorang rakan seorganisasi, Allahyarham Hj. Deraman Junus ,ujang kutik: kematian yang telah meninggal dunia tidak beberapa lama dahulu di usia genap 55 tahun. Ketika hayatnya, kami tidaklah terlalu rapat, tetapi sangat mesra apabila berpeluang bersama. Ada ketikanya kami minum bersama. Kerap kali juga kami berjalan seiringan dari pejabat ke Surau Al-Mukmin, Desa Pasifik pada hari Jumaat. Saya teringatkan cara dia bercakap dan berjalan. Saya menghadiahkan Al-Fatihah dan mendoakannya.

PETUGAS (FOTO KENALAN SAYA SENGAJA TIDAK DIPAPARKAN)
Ketika itu juga petugas Surau Al-Mukmin, Desa Pasifik sedang sibuk menggulung permaidani solat dan menyimpannya dalam stor surau. Di dalam kesibukkan mereka, saya perasan bahawa salah seorang ‘petugas’ yang bertungkus lumus ialah kenalan saya, seorang pegawai peringkat pertengahan. Dia masih bujang, awal 30-an, pernah bertugas di pejabat cawangan di Sarawak dan baru ditukarkan ke Ibu Pejabat.

Maka ketahuilah saya, bahawa kerja-kerja agama bukan sahaja tanggungjawab petugas/ahli jawatan kuasa yang dilantik, tetapi terbuka seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja.

SURAU AL-MUKMIN KEMBALI SEPI SETELAH USAI SOLAT JUMAAT
Sesungguhnya, kefahaman saya ketika mengikuti kuliah rasmi yang disampaikan oleh Tuan Khatib semasa solat Jumaat terganggu sedikit kerana sebahagian waktu berharga itu saya ‘hanyut-hanyut jaga’. Namun, ‘kuliah di luar kuliah’ yang dipertontonkan oleh kenalan yang menginfakkan sedikit sahaja waktu kualitinya sangat mengesankan.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."