Khamis, 25 Julai 2013

TEKUK LUTUT DI SUDUT KERLING WANITA

Saya tertarik kepada senikata sebuah lagu keroncong lama Indonesia. Nama lagu itu ialah Keroncong Sabda Alam. Lagu itu mengisahkan kehidupan golongan wanita yang didakwa sentiasa di bawah naungan kaum lelaki (pria).

Namun demikian, ada juga segelintir golongan kaum lelaki yang kehidupan mereka dikuasai oleh pasangan masing-masing.

Di atas kelemahan itu, mereka dimangsakan. Mungkin dari gejala inilah timbulnya ungkapan-ungkapan seperti ' Queen Control', 'Terkena Nasi Kangkang, 'Akibat Tidak Sekufu', 'Mr Mama' dan sebagainya.

Situasi ini adalah 'tragedi' kepada golongan lelaki. Mereka tidak dihormati. Seluruh gerak geri kehidupan dikongkong dan ditentukan oleh pasangan mereka - semua wang gaji diserahkan kepada pasangan secara terpaksa, diarahkan membuat kerja rumah (memasak/basuh kain), tidak boleh berbual dengan wanita lain, takutkan kepada pasangan sehingga menghalang perhubungan normal dengan ibu/bapa/ keluarga, perhubungan dengan anak-anak isteri pertama atau sebaliknya (vice versa) disekat atau dihadkan, mengabaikan isteri pertama atau sebaliknya (vice versa) dan banyak lagi kisah-kisah yang menyedihkan serta menyayat hati.

Tidak mustahil berlaku di mana seorang lelaki sanggup menzalimi isteri pertama yang sakit dengan menghantar isteri pertama yang malang itu ke rumah ibu bapa kandungnya demi mematuhi 'arahan' daripada isteri baharu yang lebih berkedudukkan dan cantik.      

Sejarah dan realiti kehidupan juga sering memperlihatkan bahawa kerjaya seorang pemimpin dunia dimusnahkan oleh wanita yang mendominasi kehidupannya secara tidak terkawal.

Sesungguhnya, kaum lelaki berkewajipan melindungi kaum wanita, bukannya mengeksploitasi. Sedemikian, kaum lelaki perlu memiliki sikap gagah dan berani.  

Diperturunkan sebahagian petikan dari senikata lagu Keroncong Sabda Alam:
 
Ditakdirkan kaum pria berkuasa
Adapun wanita lemah lembut manja
Wanita dijajah pria sejak dulu
Dijadikan perhiasan sangkar madu.

Namun ada kala pria tak berdaya
Tekuk lutut di sudut kerling wanita.  


Nota : Tekuk Lutut = Tunduk/mengaku kalah/tewas 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."