Rabu, 28 Ogos 2013

MASJID : SATU CATATAN

Secara umumnya nawaitu orang datang ke masjid adalah kerana Allah. Tiada sepicing pun niat lain.

Namun, kononnya ada juga orang datang ke masjid kerana tujuan lain -  (kerana; dia pemimpin politik, AJK masjid, bapa/ibu mertua, hendak menunjuk-nunjuk, tidak ada apa-apa yang hendak buat di rumah dan sebagainya). Dakwaan ini tidaklah boleh diambil kira. Kalaulah ada nawaitu sebegitu pun, orang lain tidak mengetahuinya kerana rahsia itu disorokkan di dalam hati masing-masing. Janganlah kita berburuk sangka kerana kita juga tidak dianugerahkan kasyaf yang boleh menyelongkar niat orang lain.  

Sepertimana yang telah dinyatakan bahawa nawaitu seseorang itu datang ke masjid adalah kerana Allah dan tiada yang lain. Sedemikian, mereka akan ' all out ' dan berusaha sedaya upaya untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Syahadan, di masjid jugalah kita dapat melihat berbagai gelagat dan personaliti manusia dari berlainan latar belakang kehidupan - orang kaya, orang miskin, yang masih bekerja, pesara atau orang muda menterjemahkan diri masing-masing.

Di antara gelagat segolongan manusia baik (mereka yang memakmurkan rumah Allah) yang agak signifikan dalam kerlingan saya ketika di masjid (saya) ialah;

  • Ahli Zikir
Secara umumnya hampir semua masjid/surau di Negeri Selangor diisi dengan kuliah agama antara selepas solat Maghrib hingga masuk waktu Isyak dan ditambah kuliah Subuh pada cuti mingguan/umum. Sedemikian, kehebatan seseorang itu melakukan ibadat secara sendirian (solat sunat, membaca Al-Quran, berzikir dan sebagainya ) tidak kelihatan sangat.
 
Sungguh pun berzikir pada waktu pagi dan petang dijanjikan dengan banyak kelebihan, saya perhatikan mutakhir ini termasuk yang telah bersara (yang mempunyai banyak waktu terluang selepas Subuh dan sebelum Asar) tidak manfaatkan kelebihan berzikir di waktu-waktu tersebut. Kecuali seorang, tiada di kalangan jumaah yang mengamalkan zikir khusus di masjid pada waktu pagi ( selepas solat Subuh) dan petang. Semuanya (kecuali seorang) akan meninggalkan masjid selepas solat Subuh atau kuliah Subuh menuju ke destinasi masing-masing - rumah atau restoran Mamak.
 
Saya perhatikan ' ahli zikir ' ini, awal 60-an, akan duduk di satu ruang terpencil di dalam masjid selepas selesai solat Subuh/Kuliah Subuh untuk melakukan zikir khusus beliau.   
  • Seorang Jumaah Berpakaian Kemas
Saya perhatikan jumaah yang agak lanjut usia ini (mungkin usianya 65-70 tahun) sentiasa berpakaian baju Melayu dan kain pelikat yang baharu, bersih dan digosok. Tidaklah pernah saya lihat pakaiannya sedikit lusuh atau tidak digosok. Dia memakai songkok berwarna hitam pada setiap kali datang ke masjid.

Di usia sedemikian, saya terfikir siapakah yang menggosok pakaiannya? Isterinya (jika masih sehat)? Anak-anaknya? Dia sendiri? Atau kedai dobi?

  • Seorang Jumaah Yang Sentiasa Memakai Baju Kemeja Berlengan Pendek Dan Seluar Panjang (Jenis Khaki)  
Beliau ini adalah seorang pesara. Usianya mungkin di antara 60 - 63 tahun. Saya tidak pernah melihat beliau memakai baju Melyau dan berkain pelikat seperti kebiasaan masyarakat kita.

  • Seorang Jumaah Sentiasa Memakai Serban
Beliau ini senegeri tetapi berlainan daerah dengan saya. Beliau sentiasa memakai serban, jubah mini dan kain pelikat. Saya tidak pernah melihat beliau tanpa memakai serban ketika di masjid. Beliau ini kuat menunaikan solat sunat selepas selesai menunaikan solat fardhu Isyak.

  • Seorang Jumaah Yang Sentiasa Memakai Baju Kemeja Putih Dan Memakai Seluar Slack Atau Kain Pelikat
Saya tidak pernah melihat jumaah ini memakai baju selain kemeja putih yang bersih dan digosok ketika datang solat ke masjid. Namun, ada kalanya beliau memadankan bajunya dengan memakai seluar slack atau kain pelikat.

Saya pernah beberapa kali bersebelahan dengan beliau ketika solat berjumaah. Beliau yang berkulit gelap, 40-an, memakai minyak atar yang agak sederhana nuansa baunya (tidak sampai ke tahap merimaskan) dan ketika mengangkat takbir; dengan perlahan,  mengayunkan siku secara berseni sebelum meletakkan kedua tangan di paras pusat dengan memberatkan di bahagian sebelah kiri. Bacaannya tartil dan perlahan.
  • Seorang Yang Berdisiplin Dan Kelihatan Sedikit Cerewet
Beliau ini berpakaian kemas. Air mukanya agak serius. Beliau meletakkan sehelai kain berwarna putih di tempat sujudnya. Saya mengagak lelaki hujung 40-an ini seorang tentera atau anggota keselamatan lain yang berpakaian seragam.

  • Seorang Yang Membaca Dengan Agak Kuat
Beliau ini membaca dengan agak kuat dan boleh mengganggu konsentrasi jumaah lain yang tidak biasa dengan keadaan sedemikian.

  • Dua Tiga Orang Yang Suka Berbual Dan Bergurau Ketika Kuliah Sedang Berjalan.
Mereka ini di usia telah bersara suka bergurau dan berbual dengan nada yang agak kuat. Namun, tiada sesiapa yang mempunyai ' kekuatan ' dan ' keberanian ' menegur mereka.

  • Jumaah Dengan Tabnya
Saya sangat cemburu dengan jumaah ini. Beliau, pertengahan 40-an, selalu memakai jubah putih akan bergegas ke satu sudut tanpa menunggu Tuan Imam memimpin doa untuk membuka tabnya. Saya masih tertanya-tanya, apakah yang dibukanya?
  • Seorang Yang Sangat Mesra Dan Peramah
Beliau ini juga di usia emas sangat menyenangkan hati dan peramah. Dia akan bersalaman dengan ramai jumaah apabila sampai di masjid. Beliau juga akan bersalaman dengan jumaah di kiri kanannya ketika jumaah membetulkan saf sebelum imam memulakan solat.

Sebenarnya ada beberapa orang lagi individu yang mempunyai karektor ' signifikan'. Bagaimanapun, tidaklah perlu saya memaparkan semuanya untuk mengelakkan catatan ini menjadi terlalu panjang. 

Sememangnya ada di antara mereka yang mempunyai sedikit kelemahan ( seperti berbual ketika ceramah sedang dijalankan atau membaca agak kuat sehingga mengganggu jumaah di sebelah). Namun, tidak dapat disangkal lagi bahawa mereka adalah segelintir yang 'beruntung dan bernasib baik'. Bukan sebarangan orang yang dapat memperuntukkan masa mereka berada di rumah Allah secara konsistan. Andainya, dinisbahkan bilangan penduduk di sesuatu kariah dengan bilangan yang mengimarahkan masjid, nisbah yang datang ke masjid terlalu kecil. Mungkin lebih kecil dari 1:10. 

Dan, sesungguhnya merekalah juga yang 'dipertanggungjawabkan' menggalas tugas , " Membebaskan Seisi Penduduk Kariah Dari Dosa Tidak Mendirikan Solat Secara Berjumaah Di Masjid/Surau ". Terima kasih penyelamat kariah masjid ku!     

2 ulasan:

  1. Semoga masjid Chengkau Ulu ini didatangi jemaah muda pula.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Syatirah,

      Pak Cik berasal dari Kg.Chengkau Ulu tetapi sekarang menetap di Ampang, Selangor.

      Benar, semoga masjid di mana sekalipun akan dimakmurkan oleh generasi Syatirah.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."