Rabu, 18 September 2013

GULAI DAGING ITIK, KUEH BAHULU DAN POHON KEMBOJA



Di usia menghampiri 67 tahun, tidaklah beberapa menghairankan Kakak Angkat isteri saya yang mempunyai hubungan kekeluargaan yang berkait-kait, didatangi penyakit yang biasa dideritai oleh mereka yang sebaya – kencing manis. Beliau juga mengidap penyakit buah pinggang dan telah menerima rawatan hemodialisis secara berkala sejak 6 bulan yang lalu.

Penyakit kencing manis dan darah tinggi adalah penyakit ‘biasa’ di kalangan penduduk negara ini. Kewujudan penyakit tersebut walaupun tidak dinginkan tetapi adalah satu ‘fenomena’ yang tidak diminta yang terpaksa dihadapi.

Satu lagi penyakit yang sebelum ini tidak diberi harapan langsung untuk hidup sempurna ialah sakit buah pinggang. Namun, teknologi dalam dunia perubatan hari ini mengizinkan pesakit buah pinggang menjalani kehidupan lebih baik setelah mendapatkan rawatan hemodialisis.   

Dewasa ini terdapat ramai penderita sakit buah pinggang di kalangan rakan-rakan kita samada golongan warga emas atau lebih muda yang mendapatkan rawatan hemodialisi dapat menjalani hidup normal – berkerjaya dan berkeluarga.  

Namun, di sebalik kecanggihan teknologi perubatan, Kakak Angkat isteri saya terpaksa juga menerima hakikat bahawa hayatnya sampai ke penghujung kerana komplikasi sakit kencing manis dan buah pinggang yang tidak dapat dibendung lagi. Allayharhamah telah meninggal dunia  pada 16/6/2013 di Masjid Tanah, Melaka kerana ‘ CARDIAC ARREST WITH UNDERLYING MULTIPLE CHRONIC DISEASES’ di usia hampir menjejak 67 tahun.  

Isteri saya meraung apabila menerima berita kematiannya. Dan ketika catatan ini ditulis semasa kami sudah balik semula ke Ampang, isteri saya masih menangis sekali sekala.

Pertalian saudara antara isteri saya dengan Kakak Angkatnya berkait-kait. Ibu kandung dan suami Allahyarhamah adalah sepupu kepada isteri saya. Pertalian kekeluargaan antara isteri saya, suami Allaryarhamah dan Allahyarhamah perlu mengambil masa untuk memahaminya. Walaupun usianya jauh lebih tua dari isteri saya, dia adalah anak saudara sepupu.

Isteri saya adalah anak angkat kepada pasangan ibu dan bapa tiri Allahyarhamah. Isteri saya membesar bersama Allahyarhamah dalam satu keluarga.  Dan, Allahyarhamahlah ‘ Kakak ‘ isteri saya.

Allahyarhamah (Hajjah) adalah seorang yang saya kuat menghayati hidup beragama – hafal beberapa surah al-Quran yang panjang, kuat solat dan berzikir.

Allahyarhamah meninggalkan suami pesara tentera dan tiga orang anak perempuan yang semuanya telah berumahtangga; Seorang tidak berpindidikan tinggi tetapi berjaya dalam bidang makanan, seorang lulusan UM dan seorang lagi lulusan UIA.

Allahyarhamah sangat baik dengan saya sekeluarga dan juga di kalangan ahli keluarga yang lain.

Beliau adalah anak tunggal melalui perkahwinan ayahnya, seorang guru agama yang berasal dari Pulau Batam, Indonesia dengan ibunya (juga sepupu isteri saya). Ayahnya berpisah dengan ibunya semasa dia masih kecil.    

Saya diberitahu bahawa arwah ayahnya telah mengahwini sebanyak enam orang wanita di alam nusantara ini (Malaysia, Singapura dan Indonesia)  – Seorang di Singapura (ada anak), seorang di Negeri Sembilan (ada anak), seorang di Melaka (Ibu Allaryarhamah), Dua orang di Batam (ada anak) dan yang terakhir (kekal hingga akhir hayat) di Hulu Langat, Selangor.

Ironinya, semua anak-anak arwah ayahnya (saya tidak tahu jumlahnya) dari seluruh Nusantara walaupun berlainan ibu dan budaya saling kenal mengenali, saling berziarahi  dan mengambil tahu antara satu dengan yang lain. Dalam erti kata lain, hubungan mereka adalah dalam satu keluarga besar yang sangat rapat dan harmoni.

Dan itulah yang berlaku pada hari kematian Allahyarhamah. Semua adek beradeknya yang sebapa tetapi berlainan ibu datang ke Masjid Tanah Melaka bersama ahli keluarga masing-masing. Ada di antara adek beradeknya tidak dapat melihat jenazahnya kerana telah dikebumikan sebelum mereka sampai di Masjid Tanah.

Kali terakhir saya dan keluarga ziarah beliau ialah pada Hari Raya Idilfitri 1434H yang lepas. Saya  tidak pernah terfikir bahawa itu adalah pertemuan kali terakhir kami dengan Allahyarhamah. Ini kerana beliau tidak sakit terlantar. Lagi pun teknologi rawatan hemodialisis hari ini yang canggih membuatkannya kelihatan dalam keadaan baik dan sehat-sehat sahaja.

Ketika hendak balik ke Ampang, Selangor Allahyarhamah bekalkan kami gulai daging itik. Allahyarhamah juga menyediakan satu bekas tupperware kueh bahulu. Masih terngiang-ngiang di kedengaran saya dia berkata dengan nada lembut dan perlahan, “ Yen (dia memanggil saya dengan nama Yen) suka kueh bahulu.” Inilah yang saya 'kesalkan' kerana tidak memahami isyarat yang beliau hendak sampaikan.

Benarlah, sesuatu itu sangat dirasakan setelah tiada lagi bersama kita.

Semoga rohnya ditempatkan di kalangan hamba-hamba Allah yang mendapat keredhaanNya. Al-Fatihah.        

1 ulasan:

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."