Khamis, 5 September 2013

MENCARI MEE UDANG KUALA SEPETANG



Ketika perjalanan balik ke Ampang, Selangor dalam misi ziarah keluarga isteri di Tronoh, Perak dan keluarga bapa saudara di Kampung Sungai Baung, Sungai Bakap, Province Wellesly (Tanah Besar), Pulau Pinang saya bersama adik kandung dan sebahagian ahli keluarga masing-masing berhasrat singgah makan mee udang di Kuala Sepetang, Port Weld, Taiping yang terkenal itu.

Jarak dari Kampung Sungai Baung ke Taiping lebih kurang 70 – 80 kilometer. Dan, walaupun jarak perjalanan dari Taiping ke lokasi mee udang di Kuala Sepetang yang belum pernah kami kunjungi itu cuma 15 kilometer sahaja, perjalanan menjadi terasa begitu jauh dan sukar kerana diiringi oleh hujan yang terlalu lebat, melalui kawasan yang sunyi dan suasana malam yang gelap gelita.

Saya (dan keluarga- isteri dan puteri bongsu) bertawakal sahaja mengekori kenderaan yang dinaiki oleh adek dan keluarganya seramai 6 orang ( mereka menaiki MPV) meredah bumi asing yang begitu mencabar. Ada kalanya saya tertinggal jauh kerana faktor usia dan prestasi kenderaan kami yang berbeza. Kami bergantung sepenuhnya kepada mesin tunjuk arah GPS (Global Positioning Service).

Getirnya cabaran dan ‘destinasi tidak sampai-sampai’ melemahkan semangat. Andainya saya sekereta sahaja, sudah pasti saya berpatah balik dan menggunakan kaedah Plan B pula. Bagaimanapun, saya terpaksa akur dengan kehendak keluarga adek yang menjadi ‘anchor’ perjalanan itu. Mereka hendak mencuba rasa mee udang Kuala Sepetang dengan apa cara sekalipun.

Akhirnya kami sampai juga ke tempat yang dituju pada jam 9.15 malam. Saya tidak mendapat gambaran sebenar persekitaran kawasan itu kerana malam yang gelap dan tiada lampu jalan. 


Manusia cuma mampu merancang. Warung mee udang yang menjadi buah mulut dan yang diberitahu kepada kami tidak dibuka! Papan tanda menunjukkan warung itu tidak berniaga pada hari Rabu sahaja sedangkan kami datang pada hari Ahad. 

Setelah berbincang, kami terpaksa berpuas hati dengan berkunjung ke warung mee udang
yang berhampiran. Saya cuma boleh nyatakan bahawa keadaan warung itu kurang selesa – lembap, warung didirikan dalam keadaan seadanya dan banyak nyamuk (mungkin musim hujan). Saya cuma tersenyum di dalam hati melihat gelagat cucu saudara, 6 tahun, bersungut kerana permainan 'game nya' diganggu oleh sang nyamuk. Dia tidak pernah tahu bahawa neneknya(adek saya) dan datuk saudaranya ini 'bermain dengan nyamuk' di kebun getah dan bendang ketika zaman anak-anak mereka dahulu.


Namun, warung itu memilki tarikan kerana ramai pengunjung. Kalau tidak masakan kami turut teruja ke sana.

Kerana tidak pernah menikmati keenakkan mee udang di warung yang diuar-uarkan, kami tidak dapat menjustifikasikan tahap keenakkan mee udang di warung yang membuatkan kami ‘menggadai nyawa’ mencarinya dengan warung yang kami kunjungi. 

Harganya? RM10.00/semangkuk dengan lima ekor udang laut yang segar. O.K. lah tu....

Saya dan keluarga selamat sampai di Ampang jam 3.00 pagi setelah berhenti di beberapa lokasi kerana mengantuk. Alhamdulillah.

4 ulasan:

  1. ujang kutik,

    Lama juga sudah saya berkeinginan menjejak mee udang di kuala sepetang ini walaupun ada seketika sudah terlalu hampir tetapi tetap tidak kesampaian... hehe.

    Membaca entri saudara ini menambah luapkan perasaan ingin mengelami semdiri keadaan kuala sepetang dan menikmati mee udang nye sekali.

    Bila lah akan kesampaian agak nya...ekeke

    BalasPadam
  2. Sdr theolrascal,

    Saya pun setelah beberapa kali baru sampai ke Kuala Sepetang.

    Bagaimanapun, seperti yang saya nyatakan, saya tidak mengetahui keadaan muka bumi Kuala Sepetang kerana hari malam dan kawasan sekitar tiada lampu. Orang kata tempat itu berhampiran laut (namanya pun Kuala Sepetang)

    Seeloknya pergi ke sana pada waktu siang/petang.

    BalasPadam
  3. Pada saya, tak sesedap mana pun mee udang kuala sepetang ni, cuma disebabkan udang2nya yang besar sahaja. Sedap lagi memasaknya sendiri di rumah.....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tanpa Nama,

      Anda tentunya seorang wanita yang pandai/suka masak.

      Mungkin brand Mee Udang Kuala Sepetang itu sudah terlalu besar sehingga diketahui ramai. Kadang-kadang bila sudah ada nama, sedap sedikit pun jadi sedap banyak.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."