Jumaat, 25 Julai 2014

CHAR KOEY TEOW

GAMBAR HIASAN (GAMBAR LAMA)
Seorang kawan seusia anak sulung saya dan telah berkahwin berjanji akan membawa buah tangan kicap ' Char Koey Teow Bukit Mertajam (BM)'  yang terkenal itu apabila beliau balik semula bertugas selepas bercuti Hari Raya bersama keluarganya di Bayan Baru, Pulau Pinang. Beliau yang mendakwa sebagai peminat tegar  'Char Koey Teow' menganggap  tiada mana-mana Char Koey Teow sesedap 'Char Koey Teow BM'.   
 
Anak muda yang memiliki ijazah dalam teknologi maklumat itu adalah anak kepada seorang pesara pegawai tinggi kerajaan. Sekalipun demikian, dia yang telah mempunyai jawatan tetap di agensi kerajaan masih belum berjaya menjawat jawatan yang bersesuaian dengan kelulusannya.
 
Secara peribadi saya mengaku bahawa saya sangat jauh dengan dapur. Saya tidak pandai masak. Walaupun pada usia sekarang, banyak perkara mengenai dapur dan masakan adalah perkara-perkara asing bagi saya. Saya tidak perlu mengkhususkan perkara ini kerana akan memalukan diri sendiri. Dipendekkan cerita,  saya boleh diungkapkan sebagai ' tidak pernah ke dapur '. 
 
Namun demikian, saya selalu memerhatikan isteri memasak ' Char Koey Teow ' dengan menggunakan 'resepi rahasianya'. Bermula dari itu, saya minat makan  Char Koey Teow dan memasaknya. Selain itu saya juga mendalami ilmu mengenai Char Koey Teow melalui internet/you tube di luar pengetahuan isteri. Saya sangat yakin bahawa dia masih menganggap saya cuma melayan blog sendiri ketika akrab bersama lap top. 
 
Mendalami ilmu Char Koey Teow bermaana mengetahui serba sedikit mengenai resepi dan teknik memasak makanan yang diasaskan oleh keturunan Hokien itu. Masa yang diambil untuk memasak Char Koey Teow tidak lebih dari 2 minit.
 
Bahan asas untuk memasak Char Koey Teow ialah minyak masak, bawang putih yang telah dikisar, sambal khas untuk char koey teow, kicap, stok udang ( air udang), udang, kerang, daun kucai, taugeh dan telor.  ( Sambal dan kicap khas char koey teow ' ready made' banyak terdapat di pasaran). 
 
Salah satu elemen penting ketika memasak Char Koey Teow ialah ' kemahiran ' memasak dengan pantas dan mengawal api. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan setelah mencuba beberapa kali saya kini ' bolehlah' memasak makanan itu.  
 
Bukti saya boleh masak ialah anak-anak suka Char Koey Teow yang saya sediakan. Bukankah saya di kedudukkan from zero to hero?  Belakang parang kalau diasah lama-lama akan tajam juga!
 
Jika ada rezeki saya akan menggunakan ' Kicap Char Koey Teow BM' yang dikatakan ' Raja' kepada segala ' Char Koey Teow selepas Hari Raya ini. Semoga kawan yang seusia anak sulung saya tidak terlupa membawa kicap itu dari Penang.
 
Ini perkara rahasia. Siapakah orang pertama yang akan saya hidangkan dengan masakan Char Koey Teow menggunakan Kicap Char Koey Teow BM yang dikatakan power itu? 
 
 

4 ulasan:

  1. Pastikan semuanya keluaran orang islam.....dlm pandangan saya 99% char koey teow dikedai dan hotel semua keluaran orang cina...alasan yg diberi keluaran bumiputra mahal,tak mencukupi dipasaran,rasanya ada lain sikit dan koey teownya pecah2...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saudara saya Tanpa Nama,

      Terima kasih di atas ingatan saudara.

      Mengikut rekod, 80% pengeluaran makanan HALAL di negara ini diusahakan oleh pengusaha Bukan Islam. Data ini sangat membimbangkan. Umat Islam mungkin tidak lepak lagi di kedai kopi Cina atau India Hindu sambil menjamah kueh cakoi atau mee hailam buatan Ah Chong/Ramasamy. Bagaimana umat Islam terdedah kepada makanan yang dikeluarkan oleh Bukan Islam dalam kaedah lain dalam keadaan terkepung.

      Kalau 80% dikeluarkan oleh Bukan Islam tetapi telah menepati piawaian Halal pihak berkuasa, bayangkanlah impaknya kepada jurus pemakanan umat Islam.

      Saya extract siaran sebuah akhbar mengenai perkara ini:

      Industri Halal: Melayu Perlu Tolak Tanggapan Pembabitan Bukan Islam

      SEREMBAN, 28 Okt (Bernama) -- Orang Melayu tidak boleh menganggap orang bukan Islam yang menceburi industri halal sebagai penghalang kepada usaha mereka sebaliknya menerimanya sebagai cabaran dan berusaha dengan lebih gigih lagi untuk berjaya dalam industri berkenaan.

      Pengerusi Forum Halal Sedunia, Khairy Jamaluddin berkata orang Melayu seharusnya menerima hakikat bahawa perusahaan yang dimiliki oleh bukan Melayu dalam industri halal khususnya, turut memenuhi syarat dan piawaian yang diiktiraf oleh Jakim.

      "Kita sedih sebab pembabitan orang Melayu dalam industri halal ini masih kurang, lebih 80 peratus pembekal makanan halal tempatan dikuasai bukan Islam. Kita ternyata masih belum sedar akan potensi, saiz dan makanan halal tempatan dan juga di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita di Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007, di sini hari ini.

      Bagaimanapun, katanya orang Melayu tidak boleh menggunakan isu "kalau saya orang Islam hanya saya yang boleh buat produk halal" sedangkan pengusaha-pengusaha bukan Islam memenuhi syarat dan piawaian yang ditetapkan oleh Jakim.

      "Saya rasa itu adalah pendekatan yang salah. Yang penting, sebagai pengusaha Islam, kita harus melihat ianya sebagai peluang pasaran dan masuk dalam pasaran dengan bersungguh-sungguh," katanya.

      Sebelum itu, Khairy yang dijemput sebagai seorang daripada ahli panel, turut membentangkan kertas kerja pada bengkel yang bertajuk `Pembangunan Industri Halal: Agenda Melayu dalam Pertanian'.

      Dari segi kesahihan produk halal itu sendiri, Khairy berkata Jakim dan Halal Development Corporation (HDC) mempunyai peranan yang penting untuk memeriksa produk-produk tersebut sebelum mengeluarkan sijil halal bagi pemasaran.

      "Kita tidak boleh kompromi dalam isu kesahihan produk halal. Saya harap HDC dan Jakim juga tidak akan kompromi dalam hal sedemikian apabila mereka buat piawaian dan pensijilan," katanya.

      Dalam pada itu, Khairy turut mencadangkan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam membantu petani-petani Melayu dari segi pembekalan bahan mentah ataupun dari segi pembelian produk-produk halal tersebut supaya boleh dipasarkan ke pasar raya besar, khas untuk makanan halal.

      Ini bertujuan untuk meningkatkan lagi penglibatan orang Melayu bukan sahaja dalam pertanian tetapi juga industri halal yang kini tertumpu bukan sahaja kepada pasaran tempatan tetapi juga pasaran antarabangsa, katanya.

      Khairy berkata persepsi yang menganggap pertanian hanyalah melibatkan penternakan dan penanaman, perlu dikikis dan melihat dari segi pembuatan dan rantaian bekalan yang turut mempunyai nilai keuntungan lebih tinggi.

      -- BERNAMA


      Terima kasih. Wallahualam.











      Utama |
      Mengenai KPDNKK |
      Berita |
      Rencana |
      Arkib Berita |
      Hubungi Kami |
      Pautan |
      Portal Rasmi KPDNKK

      Padam
  2. Assalamualaikum ,

    Tuan Ujang yang disegani .. kuk balik kampung laie lopeh ni , ado kosompatan cubolah makan Char Koey Teow kek Tampin . Kodai tu toboh eh berhadapan dongan Hotel Wangsamas . Taim meniago eh senin sampai jemahat kuk tak silap ese . Sodap atau tak bergantung selegho memasing . Timo kasih .

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tuan Tanpa Nama,

      Waalaikomsalam.

      Insya Allah. Walaupun ese tak borapo peghasan Hotel Wangsamas,sey akan caghi. Tampin bukan bosa bona. Gombhau ese tak sosek.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."