Rabu, 10 September 2014

CATATAN KU : Cerita Tiga Buah Masjid DI Negeri Sembilan

Beberapa hari dalam bulan Ogos 2014 saya berada di negeri asal usul, Negeri Sembilan. Sepanjang berada di negeri sendiri saya berpeluang singgah solat di tiga buah masjid tanpa mengambil kira masjid kampung sendiri.

Saya tidak bercadang menilai kehadiran jumaah mengimarahkan masjid-masjid itu kerana hasilnya pasti kurang tepat kerana kehadiran saya adalah di luar waktu puncak, iaitu antara waktu solat Maghrib hingga Isyak yang selalunya diisi dengan kuliah agama.

Saya cuma ingin menggambarkan keadaan tandas/tempat mengambil wuduk di tiga buah masjid tersebut. Di antara dua aspek tersebut, tentulah saya memberi tumpuan kepada keadaan tandas yang sinonim dengan sisi negatif. Dikatakan bahawa keadaan tandas di kebanyakkan masjid di negara ini sangat mengecewakan. Kotor!

Masjid Pertama - Masjid Bagan, Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan

MASJID BAGAN PINANG, P.DICKSON
TEMPAT MENGAMBIL WUDUK
TABUNG SUMBANGAN YANG UNIK
Tempat mengambil wuduk dan tandas masjid ini sangat bersih. Beberapa buah pasu bunga diletakkan di dalam bilik air/tandas untuk menambahkan lagi seri bilik air/tandas. Selain itu, beberapa pasang selipar baharu disediakan oleh pihak masjid untuk digunakan dalam bilik air/tandas 

Masjid Kedua - Masjid Pekan Rembau, Daerah Rembau, Negeri Sembilan

MASJID PEKAN REMBAU
Tempat mengambil wuduk dan tandas masjid ini sangat bersih. Beberapa pasang terompah kayu disediakan oleh pihak masjid untuk digunakan dalam bilik air/tandas.

Namun demikian, ada satu perkara yang menimbulkan sedikit kebimbangan dalam minda saya. Saya dapati komponen tandas iaitu kotak pam air 'dimangga' oleh pihak masjid. Benak fikiran saya menjurus kepada gambaran betapa banyaknya penyangak dan kaki busuk di sekitar masjid yang bersih dan indah itu. Ces!

Masjid Ketiga - Masjid Pekan Kota, Daerah Rembau, Negeri Sembilan

MASJID PEKAN KOTA
Saya ' copy & paste sahaja ayatnya iaitu; Tempat mengambil wuduk dan tandas masjid ini sangat bersih. Beberapa pasang selipar disediakan oleh pihak masjid untuk digunakan dalam bilik air/tandas. Saya cuma meminda perkataan terompah ( di Masjid Pekan Kota) kepada selipar.

Sungguh pun demikian, ada satu ' insiden ' yang sedikit mengecilkan hati saya ketika berada di masjid ini. Senyuman dan ucapan Assalamualaikom kepada salah seorang jumaah tempatan yang datang dengan motorsikal tidak diendahkan. " Mak ooi......sombongnya ekau. Bosa bona ko Pokan Koto ni. " Saya memujuk hati, " Mungkin beliau tidak terdengar teguran ingin berkawan dari saya.

Sesungguhnya, saya sendiri pun sedar bahawa melalui kaedah mana sekalipun, gambaran di tiga buah masjid sahaja tidak mampu menggambarkan keadaan kebersihan masjid-masjid di seluruh Negeri Sembilan. Bagaimanapun, bukan sesuatu yang mustahil berlakunya persampelan yang sedikit diiktiraf sebagai seolah-olah sesuatu yang benar-benar berlaku di lapangan.

Namun, tiada salahnya jika contoh yang diperlihatkan di tiga buah masjid itu mewakili semua masjid atau kebanyakkan masjid di Negeri Sembilan. Semoga.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."