Sabtu, 6 September 2014

CATATAN KU : Surau Ahmadiah Kg. Baru Chengkau Ulu @ Tanah Lesen, Kota, N.Sembilan

SURAU AHMADIAH KG. BARU CHENGKAU ULU
Sejak kampung saya dibelah dua secara muktamad oleh laluan kembar Keretapi Tanah Melayu (KTM) berelektrik (elektrik belum dipasang lagi) dan berpagar K.Lumpur - Johor Bharu, sebahagian besar penduduk kampung ' dihalang ' ke masjid kalau tidak kuat iman! 

Ini berlaku apabila sebahagian rumah penduduk kampung dipisahkan dengan masjid oleh laluan KTM berelektrik. Sedemikian, penduduk kampung terlibat tidak boleh lagi melintas laluan KTM untuk ke masjid atau ke rumah jiran di seberang laluan keretapi di jajaran kawasan masjid melainkan melalui jambatan bertingkat yang disediakan.

DI ANTARA RUMAH PENDUDUK KAMPUNG
DI ANTARA RUMAH PENDUDUK KAMPUNG (2)
Bagaimanapun, laluan jambatan itu bukan sahaja curam tetapi juga menambahkan lagi jarak perjalanan kerana reka bentuk zig-zagnya. Laluan yang khusus untuk pejalan kaki, penunggang motorsikal dan basikal itu tidak boleh dilalui oleh kereta. Tentunya laluan sebegini tidak mesra golongan berusia.

LALUAN BERTINGKAT ADA PRO & KONTRA
Sesungguhnya, pembinaan projek laluan KTM berelektrik yang merentas Kuala Lumpur - Johor Bharu dari satu sudut menimbulkan cabaran sosial baharu kepada penduduk yang mendiami kawasan di sepanjang laluan itu. Penduduk kampung yang telah berusia tidak gagah lagi mendaki jambatan bertingkat yang curam kerana sangat memenatkan. 

KAMPUNG TERBELAH DUA (BERPAGAR DAN ELEKTRIK)
Pada mulanya ketika balik ke kampung saya memaksa diri merentas laluan KTM dengan cara berjalan kaki ke masjid yang jaraknya tidaklah jauh sangat. Bagaimanapun, baru-baru ini saya mencuba solat berjumaah di Surau Ahmadiah Kg. Baru Chengkau Ulu kerana jalan ke surau itu tidak perlu melintas laluan KTM bertingkat.

Surau yang dinamakan ' Surau Ahmadiah ' itu dibina oleh seorang penduduk kampung secara persendirian. Jarak surau itu lebih kurang 4 minit perjalanan dengan kereta dari rumah keluarga saya di kampung. Surau itu sebenarnya tidak aktif beberapa lama di atas sebab yang tidak saya ketahui. 

Kampung Baru Chengkau Ulu juga adalah sebahagian dari kampung saya. Ketika zaman anak-anak saya, penduduk kampung itu dikenali sebagai Penduduk Tanah Lesen kerana tanah di situ bukan tanah adat, Penduduknya terdiri dari kalangan penduduk asal kampung saya dan juga orang luar yang berhijrah ke situ. Seingat saya penduduk asal/awal kampung itu ialah keluarga Pak Cik Yusuf Campam, Keluarga Pak Cik Pilus, Kaeluarga Pak Cik Mat Peheng, Keluarga Pak Cik Dolah TJ, Keluarga Pak Cik Adam, Keluarga Pak Cik Saleh Muar (berasal dari Tangkak, Johor) dan Keluarga Pak Cik Manaf .

Arwah ibu saya mempunyai sekeping tanah kebun di kampung itu. Semasa berbual dengan jumaah surau, ada di antaranya yang mengusik supaya saya membina rumah di kampung mereka.

Di Surau Ahmadiah Kg. Baru Chengkau Ulu juga saya dipertemukan dengan seorang saudara   yang tidak saya kenali sebelum itu. Beliau yang berasal dari kampung lain baru membina rumah di kampung itu selepas membeli sekeping tanah dari penduduk asal memperkenalkan diri kepada saya. Beliau adalah saudara dua pupu dengan arwah datuk saya. (Apabila saya memberitahu kepada adek perempuan dia menyatakan bahawa dia telah lama tahu perkara itu).   

Ketika zaman remaja saya, Kampung Baru Chengkau Ulu adalah sebuah kampung yang agak terkebelakang dalam segala segi berbanding ' Mother Land ' nya iaitu kampung saya. Namun demikian, persepsi itu tidak boleh lagi dipakai pada hari ini. Kampung tersebut telah membangun dan dapat dilihat melalui pembinaan rumah-rumah penduduk yang cantik, bilangan penduduk yang ramai dan juga status pendidikkan /ekonomi mereka.

Surau Ahmadiah Kampung Baru Chengkau Ulu adalah sebuah surau kecil yang diperbuat dari kayu. Saya dimaklumkan bahawa beberapa struktur surau itu termasuk tiang-tiangnya adalah dari struktur rumah lama dari kampung lain yang dibawa oleh salah seorang penduduk kampung ( berasal dari kampung berhampiran) untuk diwakafkan. Saya ditakdirkan dapat berbual dengan penduduk kampung yang berusia 75 tahun dan juga seorang pesara KTM itu. Beliau memaklumkan bahawa tiang-tiang surau tersebut dihasilkan dari sebatang pokok yang diusahakan oleh keluargnya sendiri di kampung asalnya. Bagaimanapun, inisiatif serta kos pembinaan surau itu diusahakan dan ditanggung oleh seorang penduduk kampung yang lain.

Langkah saya ke surau itu mulai solat maghrib pada 31 Ogos 2014 adalah ' langkah kanan '.

Malam itu ada kuliah maghrib yang dipimpin oleh seorang ustaz muda. Di antara pati kuliah yang masih saya ingat ialah perlunya kita meneruskan sinambung rajin beramal ibadat dalam bulan Ramadhan kepada bulan-bulan lain selepas Ramadhan dan sifat tawakal Nabi Musa apabila dikejar oleh Firaun sehingga laut terbelah.

Malam itu juga ada jamuan selepas selesai kuliah maghrib dan solat Isyak yang pada saya sangat mengujakan. Saya katakan mengujakan kerana lauk pauk yang dibawa sendiri oleh penduduk kampung secara ' Pot Luck ' adalah masakan asli ' air tangan ' orang kampung di daerah saya .

Semua lauk-pauknya  adalah masak ' lomak ' cili api dengan kuah santan yang pekat. Saya menjangka semua lauk pauk yang dihidangkan adalah lauk pauk idaman anak-anak Negeri Sembilan terutamanya yang merantau dan cuma sekali-sekala menjenguk kampung halaman. Lauk pauknya adalah; Ikan sembilan (keli) salai, daging salai, gulai tempoyak daun, telur itik, gulai (kuning) ayam kampung, rendang (hitam) dan ikan tenggiri rencah kulit buah rambai.

Mungkin kerana asyik sangat menikmati masakan kampung yang enak, saya tidak teringat merakamkan suasana ' happening ' itu ketika jumaah sedang makan. Saya cuma sempat merakamkan foto Surau Ahmadiah apabila semua jumaah telah beredar pulang ke rumah masing-masing.

Saya masih belum berkesempatan untuk bertanya kenapa surau ini dinamakan ' Surau Ahmadiah'. Adakah ianya ada kaitan dengan amalan Tariqat Ahmadiah yang suatu ketika dahulu diamalkan oleh ramai penduduk Negeri Sembilan atau cuma sekadar nama sahaja? Selain dari zikir tahlil Ahmadiah (Lailahaillallah Muhammadurrasulullah Fikollilamhatin Wanafasin'adadamawasi'ahu'ilmullah) sebanyak tiga kali (yang masih dibaca di masjid/surau di Negeri Sembilan) yang dibaca oleh Tuan Imam ketika memimpin wirid selepas selesai solat fardhu, saya tidak mendapati adanya pengaruh amalan tariqat itu yang lain di surau itu. 

Saya dimaklumkan bahawa sebuah surau baharu dengan kos pembinaan RM250,000.00 akan dibina untuk menggantikan surau bangunan kayu sedia ada dalam tempoh terdekat. Alhamdulillah.

Saya meninggalkan Surau Ahmadiah Kg. Baru Chengkau Ulu dengan tenang dan Insya Allah akan datang lagi. 

  


3 ulasan:

  1. salam;
    mungkin orang dulu2 lebih suka solat disurau yang dibina sendiri dari di rumah.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Tanpa Nama,

      1. Mengikut WhatsAp yang saya terima ' Salam ' membawa maksud ' Celakalah Kamu '. Nasihat pengirim katakanlah ' As Salam ' sekurang-kurangnya. Wallahua'lam.

      2. Suatu ketika dahulu Masjid Tanah, Melaka terkenal kerana banyak surau. Bagaimanapun, banyak di antara surau tersebut tidak lagi berfungsi sekarang.

      Terima kasih.

      Padam
  2. Terima kasih atas teguran

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."