Selasa, 7 Oktober 2014

JANGAN LARI DARI MASJID....

Penceramah jemputan untuk kuliah subuh di masjid kariah saya yang terletak di pinggir Kota Kuala Lumpur awal pagi , 6/10/14, ialah seorang ustaz muda dari Shah Alam, Selangor. Beliau yang di dalam  lingkungan usia bawah 30 tahun kelihatan lebih muda kerana memiliki air muka yang bersih, tidak bermisai dan juga tidak ada janggut.

Dia menyampaikan ceramah dengan yakin di hadapan jumaah yang kebanyakkannya jauh lebih berusia darinya. Ceramahnya diselangselikan dengan kaedah penyampaian secara berlagu. Intonasi suaranya yang turun naik - ada kalanya tinggi dan ada kalanya rendah, persis penyampaian penceramah bebas (wanita) yang kerap muncul di TV dan juga trend penyampaian ustaz moden/imam muda/pencetus ummah dalam program realiti TV.  

Tiada cacat celanya cara dia memimpin kuliah.

Namun, bukan sedikit jumaah yang mengikuti kuliah beliau setelah selesai solat subuh itu merasa gelisah. Hendak meninggalkan majlis ilmu, segan kerana duduk di saf hadapan. Namun, ada juga beberapa orang yang berjaya melolos keluar.  Melalui firasat saya, mereka yang berjaya meloloskan diri itu tidak kemana - saya yang mengenali mereka kuat mengatakan bahawa mereka akan ' settle down ' di restoran mamak yang letaknya tidak jauh dari masjid. 

Sepertimana yang saya nyatakan, tiada cacat celanya cara ustaz muda itu memimpin kuliah. Cuma, mungkin beliau masih belum menguasai ' Faktor X ' dan juga masih belum hadam ' masuk kandang kambing membebek '. Ustaz muda itu juga tanpa disedarinya telah melayan jumaah berusia seperti mengajar anak-anak di sekolah. Dia suka tidak menyempurnakan sebutan sesuatu perkataan dengan harapan jumaah (tua) akan menyambungnya. Contoh, beliau cuma menyebut AKI.......dengan tujuan jumaah akan menyambung ' DAH ' (AKIDAH).

Cara beliau berceramah dengan intonasi suara berformat turun-naik yang boleh dijangka, menyanyi (nasyid) di awal pagi dan mungkin juga turut dibantu oleh eleman usia 'breakdown' dengan pendengar, mungkin adalah factor utama mengapa ceramah beliau kurang ' roh' atau tidak menarik.

Mungkin juga jumaah 'tua' telah selesa dengan aura uztaz lama yang mengamalkan kaedah konvensional - serius, tiada gelak-gelak, tiada nyanyian.....

Seorang AJK masjid yang juga jiran saya secara bergurau ada terniat di hatinya hendak menutup corong suara yang dihalakan keluar masjid kerana kurang setuju dengan cara ustaz itu yang suka sangat mengalunkan nyanyian di awal pagi. Dia mengaku pernah berbuat kerja 'nakal' itu ke atas penceramah tertentu yang pada pendapatnya telah melanggar etika.

Bagaimanapun, duduk di dalam masjid lebih baik dari merayau tidak tentu hala. ' Lari ' meninggalkan masjid adalah satu perbuatan yang tidak senonoh. Bukankah berita-berita mengenai jumaah meninggal dunia di dalam masjid/surau dan lebih-lebih lagi ketika sedang solat adalah satu berita besar yang dibanggakan?

 

2 ulasan:

  1. Saya memahami kenapa jemaah lari walaupun tindakan mereka tidak wajar .. daripada sakit hati dan mengumpat lebih baik mereka belah.

    BalasPadam
  2. Saya pun ada niat nak ' lari' tetapi duduk di depan.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."