Khamis, 9 Oktober 2014

SAYA DAN LOGHAT NEGERI ASAL USUL

Gambar Hiasan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan
Menteri Besar Negeri Sembilan sekarang, YAB Datuk Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan Ke-7 adalah anak jati Negeri Sembilan yang diketahui sangat pekat loghat Negeri Sembilannya. Beliau yang telah berada dipuncak kerjaya semacam selesa dengan 'pengiktirafan' sedemikian.

Sehubungan ini, sekalipun saya telah berpuluh-puluh tahun merantau di Ibu Kota juga tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan beliau dari segi mengekalkan ' loghat Negeri Sembilan' dalam kehidupan seharian. Sesiapa sahaja akan tahu bahawa saya adalah Orang Negeri Sembilan kerana ' loghat negeri ' saya yang pekat masih terus kukuh melekat dan bergayut di lidah saya ketika bercakap.

Seperti anak-anak Negeri Sembilan lain yang naïf pada ketika generasi saya meningkat remaja, saya juga pernah cuba menyurukkan identiti 'keNegerian' diri  melalui percakapan ketika mula datang tercengang-cengang  di Kuala Lumpur pada pertengahan tahun 70-an kerana mula bekerja makan gaji. Ketika itu saya bersusah payah belajar bercakap bahasa standard yang dituturkan oleh orang Kuala Lumpur . 

Justeru itu, ada rakan-rakan sekampung yang berlagak telah menjadi ' orang Kuala Lumpur ' tiruan dengan cara sengaja bercakap ' loghat orang Kuala Lumpur ' semasa balik bercuti di kampung. Tentulah rakan-rakan yang masih menetap di kampung ' geli geleman ' dan mual.

Dalam tempoh yang panjang saya berkomunikasi loghat orang Kuala Lumpur  ketika bercakap dengan rakan-rakan sekerja tanpa menafikan ' slank negeri ' membayangi patah-patah intonasinya.

Masa berlalu. 

Kini, saya hampir menggunakan loghat Negeri Sembilan sepenuhnya ( hampir 80%) ketika berkomunikasi dengan semua golongan kecuali dalam situasi tertentu.

Namun, saya tidak perasan bilakah bermulanya evolusi saya tidak menggunakan bahasa standard orang Kuala Lumpur lagi.

Sungguh pun demikian, apabila berbual dengan rakan-rakan dan orang kampung di kampung asal, saya menyedari ' lenggok' atau kaedah pertuturan loghat Negeri Sembilan saya tidak lagi asli seratus peratus. Ini termasuklah beberapa ungkapan klasik loghat Negeri Sembilan tidak lagi menghias bait-bait percakapan saya. Di antara perkataan yang telah agak lama saya tidak gunakan semasa berbual ialah; ' Toboh' (tempat), ' Sanun ' (sana), ' Bega (degil), ' Lapun' (pukul) dan banyak lagi.  .

Sebenarnya saya agak sukar hendak menerangkan ' perbezaan lenggok atau kaedah pertuturan loghat Negeri Sembilan' supaya mudah difahami. Secara rengkasnya bolehlah dikatakan bahawa walaupun Loghat Negeri Sembilan digunakan secara meluas, kaedah menuturkan loghat itu di sesuatu tempat atau kampung ada identiti dan ' trade mark' masing-masing. Juteru itu, penduduk kampung asal saya ada identiti atau 'trade mark' nya sendiri'.

Saya berpendapat kebanyakkan anak Negeri Sembilan yang merantau mengalami anjakan yang sama. Cuma mungkin mereka tidak menyedarinya atau buat-buat tidak mengaku kerana semangat keNegerian yang membuak-buak. " Akuilah, dialek Negeri Sembilan yang anda tuturkan telah mengalami sebanyak-sedikit perbezaan dengan yang asal - 'alignment nya' telah lari di sana sini." 
 
Sesungguhnya, sayang saya kepada negeri dan budaya asal usul akan berterusan selagi hayat dikandung badan. Namun, kasih kepada bumi dipijak juga tidak ada kurangnya. Saya sayangkan Negeri Sembilan. Saya juga sayangkan Negeri Selangor, negeri tempat saya berpijak dan menumpang teduh.

Sehubungan ini, tegarnya saya dengan dialek asal-usul ( walaupun ada sedikit kekurangan) dan kecintaan yang mendalam dengan segala sesuatu yang berkaitan dengannya walaupun telah lama tidak lagi berada dalam arus perdana persekitaran asal-usul itu adalah sesuatu yang berlaku secara semula jadi yang tidak dapat dihindarkan. Ianya umpama ' birth mark ' yang tidak akan hilang. 



4 ulasan:

  1. ujang kutik,

    Tulisan tuan ini adalah dalam Bahasa Malaysia standard kelas pertama.

    BalasPadam
  2. Esey memulo dulu mmg ado buek camtu jgk. baru dapek kojo kek kl terus nk ckp kl walaucamno pun lidah den totap menyobut slank n9. lantak la apo diorg nak koba. paling best jumpo pulak org kg sendiri / senogori kek sinia laei sodap la den berburak

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Zaidi,
      Kito kono culture shock. Sumo kono. Hehe.....

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."