Isnin, 8 Disember 2014

LAMUNAN




FOTO HIASAN DARI LAMAN WEB PERKIM

Saya tidak mengetahui gambaran sebenar kehidupan/aktiviti harian seorang pesara. Secara luaran saya perhatikan rakan-rakan pesara biasa-biasa sahaja. Tidak ada sesuatu yang drastik dan radikal berlaku kepada mereka apabila bersara.

Pesara yang biasa ke surau/masjid sebelum bersara melakukan perkara yang sama. Pesara yang tidak berapa tertarik kepada surau/masjid sebelum bersara juga seperti keadaan sebelum bersara.

Itulah gambaran luaran secara umumnya tanpa menafikan ada juga segelintir yang tidak berapa nampak di surau/masjid sebelum bersara sebaliknya menjadi kaki surau/masjid tegar apabila bersara.

Saya yang akan bersara tidak beberapa lama lagi mula membayangkan aktiviti-aktiviti yang akan dilakukan apabila memasukki alam persaraan (jika dipanjangkan umur).    

Saya sangat cintakan alam dan boleh jadi asyik dengan kepelbagaian cara hidup manusia.

Di atas nama cintakan alam saya mungkin akan bermusafir dalam suatu tempoh secara sendirian di wilayah yang masih ‘ suci ‘.

Saya akan bermusafir di desa-desa pedalaman yang berhampiran dengan sungai, sawah padi tradisional dan desa-desa yang terletak jauh di dalam rimba belantara.

Penduduk, budaya dan persekitaran desa-desa tersebut sudah tentu jauh berbeza dengan kampong halaman saya. Saya ingin jauh dari segala gangguan kemodenan dan kebisingan.

Saya akan solat berjumaah dengan penduduk desa-desa itu dan bersembang dengan mereka.

Saya akan bersama mereka berkubang di sawah padi, memancing ikan di sungai atau lubuk dan menghadiri majlis-majlis yang diadakan oleh penduduk kampong.

Saya juga akan menggabungkan diri dengan kumpulan dakwah. Saya akan bersama mereka menyampaikan dakwah di kampong-kampung Orang Asli dan penduduk pedalaman di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. 

Bagaimanakah agaknya mengambil wudhu pada pagi yang dingin dan gelap di telaga atau anak sungai?

Saya juga akan mengikuti kumpulan dakwah bermusafir ke luar negara – India, Pakistan, Indonesia. Disamping berdakwah saya dapat menyelami kehidupan seharian saudara seagama di luar negara.

Apabila mengaitkan dakwah, jiwa emosi saya ditanya, “ Bermusafir kerana dakwah atau ingin melihat tempat orang?”

Saya masih belum mencari jawapannya atau kaedah pencerahan supaya ‘ berdakwah dapat ‘ dan ‘ tengok negeri orang ’ pun dapat.

Saya tidak perlu tergesa-gesa memikirkannya kerana belum waktunya lagi. 

Laman-laman yang dilakar pada kanvas minda itu masih berada di selindung lamunan yang kelihatan menarik dan mengasyikkan.  

4 ulasan:

  1. ujang kutik,

    Lamunan yang menarik. Masa akan menceritakan nya kemudian.
    Teruskan berblogging... kami mengikuti nya dari situ.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      Insya Allah. Semoga Allah memberikan kesihatan yang baik.

      Padam
  2. IM dah boleh digolongkan dalam kategori pesara tapi apa yang IM lakarkan dalam minda dulu tak pun jadi kenyataan...

    berangan lebih retorik dari kenyataan...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr IM,

      Saya tertarik dengan ungkapan " Berangan lebih retorik dari kenyataan."

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."