Khamis, 4 Disember 2014

Tetamu VVIP


Zuhur tadi saya solat di Masjid Jamiulhuda Kg. Melayu Ampang lagi.

Saya suka singgah solat di masjid ini kerana sebab-sebab yang saya sendiri tidak ada jawapan yang tepat;
Reka bentuk ruang solat yang terbuka kah? Dua unit kipas gergasi kah? Kolah ambil wudhu yang  besar dan airnya sentiasa bersih kah?

Atau juga masjid itu berhampiran dengan kedai makan/restoran kah?

Usai solat saya singgah makan nasi kukus di warung yang terletak di sebelah pagar masjid.

Sambil makan saya melayan dua ekor kucing gelandangan dengan mengongsi ayam goreng  yang menjadi menu nasi kukus.

Asyiknya saya melayan kucing-kucing malang yang hidup merempat itu sehingga tidak menyedari ' real gelandangan ' telah duduk di kerusi sebelah kiri saya.

Apabila menyedari kehadirannya, saya menjeling dan terniat hendak belanjanya makan.

Sebelum sempat saya hendak berbuat baik saya terlihat tangannya dengan kuku yang panjang dan hitam kotor menarik salah satu bungkusan nasi lemak di atas meja.  Jari-jarinya yang kotor menjemput nasi lemak dalam bungkusan yang tidak dibuka sepenuhnya. Dia makan  nasi lemak itu dengan bersungguh-sungguh sehingga meja makan bersepah dengan remah nasi lemak. Agak menjijikkan.

Namun demikian, niat hendak ' sponsor" makanannya masih tidak berganjak.

Tidak lama selepas itu pekerja warung datang membawa sebiji pinggan untuk mengalas bungkusan nasi lemak yang dimakan oleh orang gelandangan pesakit jiwa itu.

Tuan punya warung itu pula datang dengan membawa air sirap yang telah siap dibungkus.

Si gelandangan mengambil air sirap itu dengan rakus dan meninggalkan nasi lemak yang tidak dihabiskannya.

Dia  tidak mengucapkan terima kasih. Dia juga tidak tersenyum untuk menunjukkan rasa besar hatinya kerana disantuni.

Ketahuilah saya Si Gelandangan itu ialah tetamu VVIP tuan punya warung yang budiman itu.

Saya tidak perlu membayar makanannya kerana telah ada insan yang jauh lebih budiman " memajak ' urusan memberi makan Si Gelandangan bertuah itu.

2 ulasan:

  1. Saudara Ujang kutik,

    In syaa Allah, Allah sendiri akan 'membayar' orang yg budiman itu.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."