Selasa, 29 November 2011

jelatang:menyaring pemimpin negeri sembilan

                                                        Replika Istana Raja Melewar

Tiada khilaf lagi bahawa  semasa zaman anak-anak dan awal remaja, atau secara jelasnya ketika masih di kampung, saya amat mengenali dan biasa dengan pokok ini – POKOK JELATANG. Namun, apabila bekerja di bandar, perhubungan di antara anak kampung yang membesar dengan alam dan saujana hamparan sawah padi ini dengan tumbuhan itu perlahan-lahan dijarakkan. Akhirnya ‘kami’ saling tidak kenal mengenali.

Kendatipun tidak lagi mengenali tumbuhan itu dengan tepat, saya masih ingat bahawa tumbuhan itu akan menyebabkan anggota tubuh menjadi tersangat gatal apabila disentuh  secara fizikal.

Namun demikian, akhirnya setelah begitu lama, kami dipertemukan lagi. Pertemuan yang bermakna dan tanpa dijangka itu berlaku ketika saya melawat Kompleks Replika Istana Raja Melewar di Kampung Astana Raja, Rembau, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Pihak pengurusan Kompleks Replika Istana Raja Melewar ada menanam sebatang pokok jelatang di dalam pasu dan meletakkannya berhampiran dengan replika ‘Batu Timbang’ dalam kawasan kompleks tersebut. Mengapakah pokok ini ‘dimuliakan’ sedemikian rupa?    

Sebenarnya, ada info yang amat menarik mengenai ‘jasa’ tumbuhan yang tidak disukai ini dalam menyaring pemilihan raja-raja yang pernah memerintah negeri Adat Perpatih ini suatu ketika dahulu.

Mengikut sejarah, pada zaman dahulu raja-raja yang memerintah Negeri Sembilan didatangkan dari Pagar Ruyung, Tanah Minangkabau di atas permohonan penghulu (undang) luak atau pembesar-pembesar Negeri Sembilan . Sehubungan itu raja Minankabau di Pagar Ruyung telah mewujudkan satu kaedah yang amat ketat dalam memilih anak-anak raja yang layak dihantar untuk dijadikan raja di Negeri Sembilan.

Salah satu daripada disiplin ujian tersebut ialah tidur beberapa hari (tentunya tanpa baju) di atas batu yang dilapik dengan daun jelatang yang gatal itu. Sesungguhnya, Raja Melewar, yaani Raja Pertama Negeri Sembilan telah berjaya menjalani semua disiplin ujian tersebut termasuk tidur beberapa hari di atas batu yang dilapik dengan daun jelatang.

Raja Melewar atau nama sebenarnya Raja Mahmud menjadi Raja Pertama Negeri Sembilan pada tahun 1773. Beliau meninggal dunia pada tahun 1795. Makam Raja Melewar dan isterinya terletak kira-kira 800 meter dari kompleks ini.

                                                                   Pokok Jelatang


 
                                                      Replika Batu Kasur (Timbang)


 




Pengajaran yang boleh dijadikan ikhtibar ialah setiap sesuatu itu ada kelebihan dan kekurangannya. Dalam konteks catatan ini, pokok jelatang yang gatal itu pun ada manfaatnya jika digunakan dengan baik dan bijaksana.    

Kota,Negeri Sembilan
28 November 2011.

  

4 ulasan:

  1. Tuan Ujang,

    Mungkin masa kini kita perlu cipta '' jelatang '' yang lebih gatal untuk menyaring mereka yang bakal jadi pemimpin..hehe

    BalasPadam
  2. Sdr theolrascal,

    Tuan,

    Kuasa daun rimba lebih power dari kuasa rakyat.

    BalasPadam
  3. Salam.

    Terima kasih sudi menjenguk blog saya hari ni.

    Pemimpin skrg jangankan nak tidur atas batu yg dilapik daun jelatang tapi kalau tilam nipis pun dah bising. Kalau boleh nak tilam yg 12 inci atau tilam air. Skrg ramai yg suka hidup bermewah2.

    BalasPadam
  4. Sdr Yunus Badawi,

    Terima kasih juga dan salam perkenalan.

    Ya, kita menunggu PRU 13.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."