Jumaat, 25 November 2011

tetamu

Ibnu Abbas pernah berkata, "Ada tiga kewajiban pada tamu saya. Apabila dia datang aku sambut dengan baik,aku persilakan dia dan aku dengarkan kata-katanya dengan penuh perhatian."

Seseorang itu mempunyai caranya sendiri melayan tetamu. Biasanya, asas dan tahap layanan adalah berdasarkan kategori tetamu; samada ahli keluarga terdekat, saudara jauh, jiran, sahabat karib atau kawan biasa. Juga diambil kira ialah waktu kedatangan dan juga samada kedatangan dimaklumkan terlebih dahulu atau secara mengejut.

Sehubungan itu, kita mempunyai berbagai pengalaman mengenai layanan yang diberikan oleh tuan rumah. Kebiasaannya, kita tidak menghiraukan sangat layanan daripada keluarga jauh atau kawan biasa. Sekadar teh 'o' dan sebiji karipap pun dalam sebarang keadaan dan waktu sudah memadai.

Pun demikian, kita hendaklah memberi layanan yang sebaik mungkin apabila menerima tetamu tanpa mengambil kira status masing-masing.

Namun, kita mungkin akan sedikit mudah sensitif semasa mengunjungi rumah saudara terdekat yang pada sangkaan kita tidak memberi layanan dengan sepatutnya. Kita akan membandingkan atau mengungkit layanan yang telah kita berikan kepada mereka.

Melalui pengalaman, kita juga telah 'mengkategorikan' tahap layanan keluarga terdekat samada 2,3,4 atau 5 bintang. Kita telah tahu rumah manakah yang 'selamat' dikunjungi pada waktu makan.

Andainya tersilap rumah, alamatnya kita sekeluarga akan terpaksa singgah di restoran Mamak yang terletak di kejiranan rumah mereka sebelum memulakan perjalanan balik ke rumah kita! Kita mungkin serik pada hari itu. Namun, ikatan persaudaraan tidak akan membuatkan kita serik mengunjungi rumah mereka selepas itu.  

Tiada keraguan lagi, bahawa kita akan memberi lima bintang kepada keluarga terdekat, yang rumahnya kita kunjungi pada waktu makan tanpa memaklumkannya terlebih dahulu. Sekalipun demikian, dia tetap melayan kita seadanya, sekalipun dengan hidangan 'ad hoc' goreng ikan sepat masin, telor dadar dan ikan sardin mentah yang diramu dengan bawang besar, cili api dan perahan limau kasturi. 

Dia tidak sekadar menyediakan teh 'O' dan goreng keropok pada waktu makan! Dia tahu 'protokol' menyambut kedatangan kita, saudara terdekatnya.

2 ulasan:

  1. Tuan Ujang,

    setuju sangat..

    BalasPadam
  2. Sdr theolrascal,

    Tuan,

    Kita ada pengalaman.Marah,tetapi tidak sampai hati masa dia datang rumah kita.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."