Khamis, 8 Disember 2011

pepatah : puar condong ke perut

Saya mengenengahkan pepatah yang jarang didengar ini kerana ianya berkait rapat  dengan karenah ahli politik sepanjang zaman. Penulis buku yang memaparkan pepatah ini  pula, Tan Sri Abdul Samad Idris, ialah seorang tokoh politik terkenal tanah air. Anak jati Kampung Bukit Tempurung, Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Selain dari terlibat secara aktif dengan politik, beliau juga dikenali sebagai seorang budayawan, sejarawan , penulis prolifik dan pernah menjadi Pengerusi Finas.Beliau meninggal dunia pada tahun 2003.

Saya tidak mempunyai agenda tersembunyi dalam mengenengahkan pepatah ini. Selain dari ingin berkongsi ilmu, pepatah ini yang tidak tersebar luas umpama permata yang sangat bermaanfaat untuk dijadikan panduan dan pengajaran, samada di kalangan orang awam atau lebih-lebih lagi  pengamal  politik.                

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sebahagian daripada  petikan huraian  pepatah “puar condong ke perut” dari buku “A.Samad Idris Dengan 300 Pepatah –Bhg. Pertama” tulisan Tan Sri Abdul Samad Idris. Cetakan Pertama:1989 adalah seperti di bawah:

Keterangan Mengenai Tumbuhan Puar:

Puar ialah sejenis tumbuhan yang hidup subur di belukar. Batangnya sebesar ibu jari kaki, daunnya agak lebar sedikit dan panjang seperti daun lengkuas. Tumbuhnya tidaklah dalam rumpun seperti lengkuas tetapi bertaburan. Warna daunnya hijau tua dan tinggi pokoknya kira-kira 1 atau 2 meter.

Tumbuhan seperti jenis ini memang kelihatan seperti pokok lengkuas, tetapi disebabkan tumbuhnya berselerak dan tidak berkumpul di dalam rumpun, maka batangnya tidak ada satu pun yang tegak. Semuanya condong belaka.

Ertinya( Pepatah Puar Condong Ke Perut):

Seseorang yang berkedudukkan atau berkuasa memberikan kemudahan untuk kepentingan sanak saudara sendiri, kaum keluarga atau sahabat handai yang rapat. Manakala orang yang lain tidak mendapat apa-apa peluang yang sewajarnya berhak diterima.

Ulasan:

Pepatah ini dikiaskan kepada mereka yang memegang kuasa hanya mementingkan keluarganya sendiri, atau pun di dalam istilah moden, mengamalkan ‘nepotism’. Di zaman dahulu amalan ini memang terdapat di kalangan datuk-datuk, pembesar-pembesar negeri termasuk juga raja-raja yang memberikan segala kemudahan atau pun jawatan-jawatan penting kepada kaum keluarga atau sahabat handai yang rapat, sekalipun ada orang lain yang lebih layak menerimanya.

Pada zaman sekarang, boleh kita andaikan kepada seseorang yang berkuasa dalam pentadbiran termasuk juga wakil rakyat yang memberikan projek-projek pembangunan kepada kawasannya sendiri. Kalau ada bantuan-bantuan atau tender maka disalurkan pula kepada kaum keluarga dan sahabat handainya.

Jika ada yang bersikap demikian, tentulah merugikan semua pihak termasuk diri sendiri. Tidak sepatutnya seseorang pemimpin atau pemegang kuasa pentadbiran bersikap demikian, kerana lambat laun akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan orang ramai………….

6 ulasan:

  1. Bang ,,, ni baru den baco pepatah ni,,,, pertama kali ,,,, hebat n3 ni... jgn lupa kok balik sabtu ni singgah kat cafe den.

    BalasPadam
  2. Tuan,

    ..condong nye puar ke arah perut. Perut sendiri lah tuu...haha.

    BalasPadam
  3. Sdr Pak Oncu,

    Tidak diketahui samada pepatah ini dari Minangkabau,N.Sembilan atau Malaya.

    Namun, ianya relevan seriap zaman.

    Ese memang nak singgah tapi time balik kampung belum kono masanya. Kok balik Sabtu, potang baru sampai kampung.

    BalasPadam
  4. Sdr theolrascal,

    Tuan,

    Memang susah hendak dibiarkan jika di depan mata atau ada peluang. Wang,perempuan.......

    Seseorang mungkin bernasib baik kerana 'tidak berpeluang'.

    BalasPadam
  5. Saudara Ujangkutik,

    Begini hebat fitnah dunia. Harta, wang dan wanita (bagi lelaki).

    Saya teringat kisah di mana Khalifah Umar Abdul Aziz apabila menjadi khalifah tidak membenarkan anak2 dan isteri mengambil harta dari BaitulMal dan kepentingan lain atas namanya sebagai ketua negara. Namun apabila khalifah Umar Abdul Aziz telah wafat, khalifah yang mengganti beliau berhasrat memberikan semula kepentingan2 tadi itu kepada isteri dan anak2 khalifah Umar. Tetapi mereka semua menolak kerana mengetahui akibat mengambil sesuatu yang bukan hak milik mereka.

    BalasPadam
  6. Sdr Pak Mail,

    Semoga sepanjang hidup kita akan bertemu dengan pemimpin yang sedemikian. Walaupun hampir mustahil kita menemui 100% sama, sekurang-kurangnya beliau ada kriteria, ketokohan dan iltizam untuk menjadi pemimpin yang baik.

    Bagaimanapun, sepertimana yang kita maklum, penilaian seseorang amat subjektif sifatnya.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."